Bismillahirrahmanirrahim,Tinta Secebis Harapan kali ini mengajak para membaca merungkai tabir masa dan meneroka waktu, sambil melewati beberapa memori yang terlakar di saat-saat terakhir berlangsungnya peperiksaan di Darul Quran. Selamat Membaca!
Peperiksaan Syafawi Al-Quran semester 4 (ITQAN) baru sahaja melabuhkan tirainya pada 23 Februari yang lalu. Pada keesokan harinya pula, peperiksaan yang sama diteruskan untuk adik-adik semester 2 (IRSYAD). Muqarrar bagi semester 4 sepertimana yang telah ditetapkan ialah sebanyak 6 juzuk bermula daripada juz 16 sehinggalah juz 21 berbanding semester 2 sebanyak 5 juzuk bermula juz 6 sehingga juz 10. Aneka ragam dapat dilihat spontan oleh para siswa siswi Darul Quran yang bakal menduduki “exam” kali ini. Ada yang tidak senang duduk, ada juga yang tidak senang berdiri dan tidak kurang juga yang bermundar-mandir sambil bermujahadah mengulang Quran. Debaran yang kian hangat membara turut dirasai oleh semua pelajar DQ seakan memaksa diri menyentuh Kalam Suci Ilahi bagi meneruskan iadah serta melancarkan muqarrar yang bakal disoal dalam peperiksaan syafawi kelak.
Pelbagai tempat menjadi destinasi pilihan demi mencari ketenangan dalam bermujahadah. Antaranya seperti di kelas-kelas tasmi’, surau pentadbiran, Masjid Darul Quran, maktabah, dan tidak kurang juga yang lebih selesa di asrama. Semuanya bertungkus-lumus bersengkang mata siang dan malam demi me’masyi’kan diri dengan Al-Quran di samping menadah tangan lalu berdoa dengan penuh rasa tawadhuk kepada Allah agar dipermudahkan untuk menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik dan dilancarkan segala urusan atas kehendakNya.
Persoalan siapa yang bakal menjadi mumtahin mereka seringkali menimbulkan tanda tanya dalam minda para huffaz berikutan mumtahin yang dikatakan “ok” merupakan antara faktor penentu kejayaan dalam peperiksaan tersebut berbanding mumtahin yang “syadid”. Pelbagai tafsiran terlakar di benak fikiran masing-masing bagi menentukan mumtahin mana yang bakal menyoal mereka sehinggalah semua persoalan terjawab menjelang tibanya hari peperiksaan.
Sebelumnya, saya juga tidak lupa memohon doa dan restu kedua ibu bapa serta beberapa orang ustaz untuk keberkatan ilmu dunia dan akhirat, juga diberi kemudahan serta ketenangan ketika menjawab setiap soalan yang bakal diajukan. Kawan-kawan juga banyak mendorong serta meberi semangat kepada saya melalui beberapa kiriman sms yang saya terima sehari sebelum peperiksaan bermula. Antaranya kiriman sms daripada ‘classmate’ saya, humaidi dengan smsnya: Tariq Bin Ziyad pernah berkata ketika tiba di perairan Andalusia , “Ke mana lagi kamu mahu pergi? Di belakangmu lautan meluas dan di hadapanmu musuh yang sedang menanti.” Intifadah: Pantang menyerah sebelum melawan. Gelanggang sudah dibuka, sahutlah cabaran itu dengan semangat perwira. Kunci utama: Harapan yang tinggi pada Allah + Doa + Usaha + Tawakal = InsyaAllah Najah! Mesej yang diterima pada jam 9.20 malam bertarikh 22 Februari lalu turut sama dikirim oleh Razif, selaku Ketua Kelas Abu Harith melalui “linkrith” sebagai peringatan dan perkongsian bersama sebelum menghadapi detik-detik menjelang peperiksaan keesokan harinya.
Sebuah lagi kiriman sms telah saya terima daripada seorang sahabat yang telah banyak membantu saya hingga ke hari ini, iaitu Amirul Ghanie lewat jam 3 pagi bertarikh 23 Februari. Mesej yang berbentuk sebuah doa..
“Ya Allah Ya Tuhanku, lenakanlah adik beradikku ini dengan kelembutan bayu malamMu.. Tenangkanlah hatinya denagn keindahan bulan dan bintang yang menemani, serikanlah mimpinya dengan kecantikan cahayaMu. Moga sinar hari esok menjadikan dia mampu untuk menghadapi ujian yang getir.. amin ya rabbal alamin.Setiap kata yang dicoretkan olehnya begitu indah untuk diungkapkan namun hembusan angin di keheningan pagi yang syahdu itu seakan-akan menarik kembali selimut tidur menyelubungi diriku. Pelbagai lagi kiriman sms yang telah saya terima sebagai kata-kata perangsang semangat untuk bertarung di medan mujahadah syafawi Al-Quran.
Berbekalkan kalimah suci Ilahi yang masih segar diingatan, daku melangkahkan kaki keluar menuju ke medan jihad yang mempertaruhkan dua pilihan antara menang atau syahid. Melihatkan nombor giliranku di antara yang terawal telah memaksa diriku untuk mengulang Al-Quran sehabis daya sebelum menjejakkan kaki ke bilik mumtahin. Seorang demi seorang panel masuk ke bilik yang telah ditetapkan untuk mereka sehinggalah tampilnya ustaz Marzuqi yang dahulunya pernah menjadi mumtahinku ketika temuduga pengambilan pelajar Diploma Darul Quran yang lalu, sekali lagi menjadi mumtahin untuk syafawi Al-Quran kali ini. Setibanya giliranku, lantas aku melangkahkan kaki ke bilik tersebut dengan lafaz
bismillah moga diberi kemudahan dan ketenangan hati untuk menjawab nanti.
Berkat usaha dan mujahadah yang telah ku “tadhiah”kan di jalanNya, membuatku berhasil menjawab kesemua soalan yang diajukan bermula daripada juz 16 hingga juz 21. Sungguhpun ada beberapa ayat yang masih kubaca secara tersangkut-sangkut namun ku tetap bersyukur kerana ustaz sedia menolongku menyambung bacaan yang kabur diingatan. Tanpa semena-mena, hadirnya rasa bersalah dihatiku setiap kali mengenangkan usaha ustaz lantas peristiwa itu membuatkan diriku lebih bersemangat untuk berhadapan dengan pelbagai lagi imtihan yang bakal menjelang.
Segalanya telah berakhir. Apa yang mampu aku lakukan kini hanyalah berserah kepada Allah moga diberi kejayaan cemerlang serta dibuka “Pintu Cahaya” kejayan buatku dan para sahabat agar lebih bersedia berdepan mehnah serta fatamorgana dunia yang penuh suka dan duka.
Nukilan yang ku coretkan pada petang 23 Februari lalu adalah sebagai perkongsian pengalaman diriku buat semua pembaca setia blog Umar Mujahid – Tinta Secebis Harapan agar sama-sama mematangkan diri dengan menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Sekalipun luka semalam masih berbekas di hati, hapuskanlah ia dengan memaafkan segala kesalahan dan berbuat baiklah di muka bumi Allah kerana setiap amal yang kita lakukan tidak akan pernah terlepas dalam perhitungan Allah di mizanNya kelak. Andai tangisan menjadi pilihan demi menghapuskan segala kedukaan lalu, menangislah semahumu kerana setiap titisan air mata jernih yang mengalir dari kelopak matamu telah menjadi mahar paling bernilai untuk menjejakkan kakimu ke Taman FirdausiNya kelak.
Akhir kalam, renunglah sepotong firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat ke-216 yang bermaksud,
"… tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."Wallahualam.
Umar Mujahid
3.30p.m
23 Februari 2010
0 comments:
Post a Comment