Huffaz di Darul Quran: “Al-Hafiz” atau “Al-Habis”?


Sebuah isu yang amat menarik untuk dibincangkan bersama terutama dalam kalangan mahasiswa Darul Quran pada hari ini. Persoalan yang telah sekian lama tersimpan di kotak fikiran akhirnya berjaya saya tatahkan di laman maya ini khas buat para pembaca yang budiman. Saya menulis artikel ini atas kesedaran ingin melihat perubahan yang bakal tercetus hasil penghijrahan minda para huffaz yang kebanyakannya masih lena dibuai mimpi indah yang tiada berkesudahan. Dalam situasi di Darul Quran sendiri yang menjadikan Al-Quran sebagai “core subject”, hafazan Al-Quran amat ditekankan berbanding beberapa madah lain yang diambil. Sehubungan dengan itu, peruntukan masa bagi kelas tasmi’ adalah selama 2 jam bermula jam 8.00 pagi sehinggalah jam 10.00 pagi waktu kuliah. Kelas yang seringkalinya mementingkan “modal” di samping “iadah” Al-Quran diwakili oleh seorang pensyarah sebagai guru tasmi’ yang juga bertindak sebagai penilai bacaan hafazan Al-Quran oleh para pelajar di sesebuah kelas. Lazimnya, para pensyarah yang ditetapkan untuk setiap kelas tasmi’ terdiri dalam kalangan pensyarah tetap Darul Quran dan pensyarah jemputan dari luar. Majoriti daripada mereka merupakan bekas mahasiswa Darul Quran yang amat arif dan berpengalaman. Dalam sesebuah kelas tasmi’ pula, kebiasannya terdiri daripada 10 orang pelajar yang akan memperdengarkan hafazan Al-Quran secara bergilir kepada pensyarah tasmi’ mengikut ke”fleksibel”an yang mampu dilakukan.

Kelas yang berakhir sehingga jam 10 pagi ini, menuntut para pelajar untuk memperdengarkan hafazan Al-Quran secara lancar dan sempurna sebelum layak berpindah ke bahagian yang seterusnya. Kerana itu, kita sering melihat para pelajar bertungkus lumus bermujahadah demi mendapatkan “modal” untuk dihantar keesokan harinya. Namun sejauh manakah hafalan yang diperdengarkan itu mampu kekal dalam ingatan atau sekadar memenuhi syarat untuk menghabiskan muqarrarar sebagai tiket untuk menduduki peperiksaan? Adakah matlamat kita di Darul Quran hanya sekadar menghafaz kalam suci Ilahi tanpa sebarang penghayatan atau i’brah yang dapat diteladani? Adakah title “Al-Hafiz” yang kita perolehi daripada masyarakat luar khususnya yang begitu memandang tinggi akan seorang penghafaz Al-Quran hanya tinggal nama? Atau lebih gemar dikenali sebagai “Al-Habis”?

Fikir-fikir dan renungkanlah demi kebaikan bersama. Janganlah menjadi ibarat katak di bawah tempurung yang hanya mampu berpeluk tubuh saat bantuannya diperlukan berbanding turun bermasyarakat bagi mengembangkan minda serta menambah pengetahuan dengan isu semasa dan berita menarik yang acapkali berlaku saban hari tanpa mengira waktu dan tempat.

Berbalik kepada isu yang sedang kita perbincangkan, al-hafiz dari sudut pemahaman saya sendiri merupakan seseorang yang mampu menghafaz hadis tidak kurang daripada 100,000 buah hadis sahih. Namun tilte “al-hafiz” yang kita dapati hari ini, seringkali disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak dengan beranggapan bahawa title ini adalah bagi mereka yang telah pun khatam hafazan Al-Quran 30 juzuk. Walau apa pun jua, sebagai seorang penghafaz Kalamullah dan juga Hamalatul Quran sewajarnya bagi kita untuk beramal dan menghayati setiap segala isi kandungan Al-Quran tersurat mahupun tersirat baik dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara melibatkan syariat dan perundangan Islam.

Hal ini amat berbeda dengan satu lagi title yang cukup sinonim dengan golongan huffaz di Darul Quran iaitulah “al-habis”. Ia kedengaran sinis dalam kalangan sebahagian huffaz namun tidakkah kita sedar bahawa kebanyakan huffaz terdiri daripada mereka yang mendapat title “al-habis” secara tidak langsung berbanding “al-hafiz”. “Al-Habis” juga merupakan seorang penghafaz Al-Quran persis “al-hafiz” tetapi dari suatu sudut pandangan yang berbeza, penghayatan mereka kepada Al-Quran adalah terhad dalam ingatan yang tidak mampu bertahan lama berikutan hafalan yang ditinggalkan setelah berlalunya peperiksaan, yang menjadi perhentian utama dalam medan perjuangan mereka terhadap Al-Quran. Hasilnya, amat sukar bagi mereka untuk mengingati segala hafalan tersebut kerana jarang mengulang dan hanya tertumpu pada awal surah dan maqra’ terutama di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Selain itu, antara punca sukarnya untuk mengingati hafalan adalah disebabkan kelewatan menghabiskan muqarrar yang menyempitkan masa mengulang para pelajar. Ini adalah bertepatan dengan satu kata-kata yang terkenal di kalangan huffaz, “ Mengulang lebih susah daripada mencari “modal”. Perkara ini jauh berbeda berbanding “al-hafiz” yang sentiasa menghafaz setiap kalimah suci Ilahi dengan penuh penghayatan dan tadabbur yang tinggi sehingga mampu mencapai makam tertinggi sebagai penawar bagi “hati”.

Perkara ini juga amat berkaitan dengan konsep “muallim” dan “murabbi” yang hampir mirip tetapi mempunyai dua persepsi yang berbeza terutama daripada sudut penyampaian dan keberkesanan ilmu. Ramai yang masih salah faham terhadap peranan seorang pengajar dan pendidik. Mengapakah masalah ini terjadi?
Sebelum mengulas lebih lanjut mengenai isu pokok yang sedang kita bincangkan, izinkan saya untuk berkongsi suatu ilmu yang telah saya perolehi hasil pembacaan dalam majalah Solusi keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd iaitulah mengenai “Murabbi” dan “Muallim”. Semoga dengan perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini, dapat membuka minda dan hati para pembaca terutama generasi huffaz Al-Quran agar lebih memahami taklifat dan amanah sebagai hamalatul Quran yang sempurna dan bermanfaat terhadap masyarakat umumnya.

Dua perkara yang berbeza

Perlu diingat, bahawa memberi pelajaran dan memberi pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan proses penyampaian ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran tercapai, tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapian pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan mendidik jauh lebih kompleks dan abstrak.
Bagaimana hendak mengukurnya? Ukuran sama ada tercapai atau tidak proses mendidik itu adalah melalui nilaian tahap akhlak seseorang pelajar. Oleh itu, para guru dan ibu bapa yang merupakan pendidik dalam institusi pendidikan yang bernama sekolah dan di rumah, harus sama-sama bermuhasabah.
Apakah pelajar-pelajar di sekolah hanya mendapat pelajaran atau dalam masa yang sama turut juga mendapat pendidikan?

Ya? pencapaian kita mungkin membanggakan, apabila keputusan peperiksaaan UPSR, PMR, SPM, STPM para pelajar semakin meningkat. Namun bagaimana pula peranan sekolah sebagai tempat membina asuhan, tunjuk ajar yang baik dan didikan akhlak?
Ini satu tugas yang bukan sahaja lebih mencabar, tetapi juga lebih utama. Guru dan ibu bapa perlu menjalankan dua peranan sekali gus – yakni sebagai murabbi (pendidik) dan juga muallim (pengajar).

Kita tinjau dulu peranan murabbi. Guru dan ibu bapa mesti berperanan sebagai murabbi, tidak sekadar muallim. Menjawab persoalan mengapa ibu bapa dikatakan bertindak sebagai murabbi di samping muallim ialah kerana peranan muallim berfokuskan pengajaran manakala murabbi berfokuskan pendidikan. Ramai orang tersilap dan menganggap mengajar (peranan muallim) dan mendidik ( peranan murabbi) itu sama. Jika sudah ada muallim (para guru) maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik. Banyak bezanya antara murabbi dan muallim. Muallim adalah individu yang berperanan menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu sama yang berbentuk agama (fardhu ain) ataupun akademik (fardhu kifayah) kepada muridnya.
Matlamat utama pengajar adalah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan diaplikasi semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari akal ke akal – yakni dari muallim ke kepada akal murid dan akhirnya murid meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan.

Tugas murabbi lebih mencabar


Murabbi lebih dari itu. Murabbi berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa murid lebih terkesan dengan ilmu yang diberikan. Ilmu itu kemudiannya dihayati, diyakini dan kemudiannya diamalkan dalam kehidupan. Tegasnya, tugas murabbi lebih ‘advance’ daripada muallim kerana dia perlu memastikan sesuatu ilmu bukan sahaja difahami tetapi dihayati sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak muridnya. Jika tugas muallim banyak berlegar ‘pada akal’, maka tugas murabbi pula adalah ‘di dalam hati’ murid-muridnya. Tamsilan muallim adalah seperti orang yang mengumpulkan bahan-bahan masakan ( misalnya tepung,gula, mentega, garam, dan air ), manakala murabbi pula adalah umpama tukang masak yang mengadun, membancuh, menguli, membakarnya hingga menjadi seketul roti. Jadi bukankah tugas murabbi tugas yang lebih mencabar?

Berdasarkan perkongsian di atas, adakah sudah jelas bagi kita tentang bagaimana konsep muallim dan murabbi saling berhubungkait dengan isu pokok yang sedang kita perbincangkan? Bukanlah niat di hati untuk mencelah isu yang menjadi bahan perbincangan kita dengan perkara lain melainkan untuk i’brah dan peringatan bersama. Melihat kembali kepada “al-hafiz” yang boleh dikatakan mirip kepada tugas sang murabbi dari segi pelaksanaannya, memandangkan peranannya yang lebih membuat jiwa seseorang terkesan berbanding “al-habis” yang boleh disamakan dengan muallim berikutan peranannya yang menjurus kepada pengaplikasian ilmu yang diperolehi terutama menjelang peperiksaan.

Tuntasnya, jelaslah kepada kita bahawa gelaran “Al-Hafiz” bukanlah sebuah gelaran biasa bagi insan biasa melainkan gelaran yang sewajarnya diperolehi oleh insan yang berkelayakan dan dipilih oleh Allah untuk menyebarkan ilmu yang dimiliki kepada seluruh umat manusia sebagai manfaat bersama. Firman Allah S.W.T dalam kalamNya yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia di kalangan kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” Justeru, sebagai penghafaz Al-Quran adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga hafalan dan beramal dengan apa yang terkandung disebalik kesucian dan keindahan “Kalamullah yang tiada keraguan padaNya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”

Sebagai manusia yang dianugerahi Allah akal fikiran yang waras dan dipandu oleh hati yang bersih dan jernih, renung dan bermuhasabahlah sejenak sambil berzikir mengingatiNya, sejauh manakah hafalan Al-Quran yang kita ingati mampu menjamin diri kita untuk menjejakkan kaki ke Taman FirdausiNya kelak? Apakah kita berupaya untuk menjamin ahli keluarga terdekat kita dari kepanasan bahang neraka sebagaimana janji Allah bagi mereka yang menghafal Al-Quran? Sehingga kini persolan tersebut masih menjadi tanda tanya dalam kalangan generasi huffaz masa kini, namun masih hanya ada satu jawapan yang pasti, tepuk dada tanyalah iman!
Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment