Baru-baru ini Darul Quran JAKIM telah menganjurkan satu wacana khas berhubung isu yang kian menjadi perhatian masyarakat Malaysia saban hari, tidak kira di kaca televisyen, corong-corong radio bahkan di dada-dada akhbar iaitulah Isu Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Muslim. Wacana yang diadakan pada Selasa lalu bertarikh 9 Februai 2010 telah menjemput dua pembentang kertas kerja yang tidak asing lagi di Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) iaitu Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid dan Ustaz Mohd Aizam Bin Mas’od. Wacana istimewa yang membariskan dua panelis hebat ini turut mengundang Ustaz Shamsul Bahari yang bertindak sebagai moderator. Perjalanan majilis bermula lancar sejak pendaftaran yang bermula jam 9.00 pagi sehinggalah majlis membuka tirainya tepat jam 10.10 pagi. Pembentangan dimulakan oleh Ustaz Rashidy yang mengutarakan hujah-hujah beliau berdasarkan beberapa petikan kandungan kitab Bible dalam “Arabic” dan “English”. Kesahihan fakta yang tepat dan idea bernas yang dilontarkan beliau memukau hadirin apatah lagi dengan dalil-dalil yang didatangkan daripada “Old Testament” dan “New Testament” dalam Bible yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain. Pengetahuan yang mendalam dalam perbandingan agama merupakan satu nilai “bonus” bagi menyangkal hujah para paderi berhubung isu kalimah “Allah” ini.
Seterusnya, pembentangan telah disambung oleh panel kedua iaitu Ustaz Mohd Aizam Bin Mas’od. Artikel dibawah merupakan kertas kerja yang telah disediakan Ustaz mengenai hujah menolak penggunaan kalimah Allah oleh Kristian. Semoga artikel di bawah dapat membantu kita bagi lebih memahami permasalahan sebenar yang telah berlaku seterusnya menolak segala tuntutan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka dengan hujah yang signifikan dan bernas.
PendahuluanPada 31 Disember 2007, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan pihak Kementerian Dalam Negeri(KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah Allah. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah masih kekal. Pada 3 Januari 2008, Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat 18 Oktober dan 1 November 2006. Pada 19 Mac 2008, gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah Allah. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakn kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Hujah-Hujah Menolak Alasan Pihak Gereja KatolikAlasan Pertama: Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan Allah sebagai terjemahan istilah God dan Tuhan sebagai terjemahan untuk istilah Lord
Hujah Penolakan:Kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada bahasa arab. Kalimah ini tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nama-nama lain daripadanya. Kalimah Allah adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya. Dari segi struktur Linguistik, kalimah Allah lebih superior daripada apa jua perkataan daripada apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah . Oleh kerana itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan Allah kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu Allah.
Alasan Kedua:Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan Allah telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
Hujah Penolakan:Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada god juga tertolak. Ini kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di Negara tertentu mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza. Dalam kes ini latar belakang bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.
Alasan Ketiga:Mendakwa ayat-ayat Al-Quran sendiri telah menunujukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
Hujah Penolakan:Menjadikan Al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi hujah bagi umat Islam. Ia melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan Al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui Allah sebagai nama tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu bahasa. Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai Allah sepertimana yang dibentangkan oleh Al-Quran juga hendaklah diterima. Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz Allah di dalam Al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka berbahasa Ibrani? Jika kalimah Allah dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza. Al-Quran mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya gereja Katolik berpegang kepada konsep Trinity. Ini sekaligus memberi
makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia. Ia berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain.
Alasan Keempat:Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud dalam populasi penganut Katolik di Malaysia
Hujah Penolakan:Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima. Perlu diketahui bahawa bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal , istilah “Malaysia” belum wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada Bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat Melayu Islam. Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlembagaan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.
Alasan Kelima:Mendakwa kerajaan tudak mempunyai hak untuk campurtangan di dalam urusan dalaman gereja berdasrkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a) Perlembagaan Peserkutuan.
Hujah Penolakan:Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4)( untuk mengawal atau menyekat perlembagaan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam). Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan Perskutuan atau kerajaan Negeri ) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat perlembagaan agama-agama bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam. Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain). Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada perkataan God di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negara ini. Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.
KesimpulanBerdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada pihak Kristian. Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.
0 comments:
Post a Comment