Merungkai Tabir Masa


Bismillahirrahmanirrahim,

Tinta Secebis Harapan kali ini mengajak para membaca merungkai tabir masa dan meneroka waktu, sambil melewati beberapa memori yang terlakar di saat-saat terakhir berlangsungnya peperiksaan di Darul Quran. Selamat Membaca!

Peperiksaan Syafawi Al-Quran semester 4 (ITQAN) baru sahaja melabuhkan tirainya pada 23 Februari yang lalu. Pada keesokan harinya pula, peperiksaan yang sama diteruskan untuk adik-adik semester 2 (IRSYAD). Muqarrar bagi semester 4 sepertimana yang telah ditetapkan ialah sebanyak 6 juzuk bermula daripada juz 16 sehinggalah juz 21 berbanding semester 2 sebanyak 5 juzuk bermula juz 6 sehingga juz 10. Aneka ragam dapat dilihat spontan oleh para siswa siswi Darul Quran yang bakal menduduki “exam” kali ini. Ada yang tidak senang duduk, ada juga yang tidak senang berdiri dan tidak kurang juga yang bermundar-mandir sambil bermujahadah mengulang Quran. Debaran yang kian hangat membara turut dirasai oleh semua pelajar DQ seakan memaksa diri menyentuh Kalam Suci Ilahi bagi meneruskan iadah serta melancarkan muqarrar yang bakal disoal dalam peperiksaan syafawi kelak.

Pelbagai tempat menjadi destinasi pilihan demi mencari ketenangan dalam bermujahadah. Antaranya seperti di kelas-kelas tasmi’, surau pentadbiran, Masjid Darul Quran, maktabah, dan tidak kurang juga yang lebih selesa di asrama. Semuanya bertungkus-lumus bersengkang mata siang dan malam demi me’masyi’kan diri dengan Al-Quran di samping menadah tangan lalu berdoa dengan penuh rasa tawadhuk kepada Allah agar dipermudahkan untuk menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik dan dilancarkan segala urusan atas kehendakNya.

Persoalan siapa yang bakal menjadi mumtahin mereka seringkali menimbulkan tanda tanya dalam minda para huffaz berikutan mumtahin yang dikatakan “ok” merupakan antara faktor penentu kejayaan dalam peperiksaan tersebut berbanding mumtahin yang “syadid”. Pelbagai tafsiran terlakar di benak fikiran masing-masing bagi menentukan mumtahin mana yang bakal menyoal mereka sehinggalah semua persoalan terjawab menjelang tibanya hari peperiksaan.

Sebelumnya, saya juga tidak lupa memohon doa dan restu kedua ibu bapa serta beberapa orang ustaz untuk keberkatan ilmu dunia dan akhirat, juga diberi kemudahan serta ketenangan ketika menjawab setiap soalan yang bakal diajukan. Kawan-kawan juga banyak mendorong serta meberi semangat kepada saya melalui beberapa kiriman sms yang saya terima sehari sebelum peperiksaan bermula. Antaranya kiriman sms daripada ‘classmate’ saya, humaidi dengan smsnya: Tariq Bin Ziyad pernah berkata ketika tiba di perairan Andalusia , “Ke mana lagi kamu mahu pergi? Di belakangmu lautan meluas dan di hadapanmu musuh yang sedang menanti.” Intifadah: Pantang menyerah sebelum melawan. Gelanggang sudah dibuka, sahutlah cabaran itu dengan semangat perwira. Kunci utama: Harapan yang tinggi pada Allah + Doa + Usaha + Tawakal = InsyaAllah Najah! Mesej yang diterima pada jam 9.20 malam bertarikh 22 Februari lalu turut sama dikirim oleh Razif, selaku Ketua Kelas Abu Harith melalui “linkrith” sebagai peringatan dan perkongsian bersama sebelum menghadapi detik-detik menjelang peperiksaan keesokan harinya.

Sebuah lagi kiriman sms telah saya terima daripada seorang sahabat yang telah banyak membantu saya hingga ke hari ini, iaitu Amirul Ghanie lewat jam 3 pagi bertarikh 23 Februari. Mesej yang berbentuk sebuah doa.. “Ya Allah Ya Tuhanku, lenakanlah adik beradikku ini dengan kelembutan bayu malamMu.. Tenangkanlah hatinya denagn keindahan bulan dan bintang yang menemani, serikanlah mimpinya dengan kecantikan cahayaMu. Moga sinar hari esok menjadikan dia mampu untuk menghadapi ujian yang getir.. amin ya rabbal alamin.

Setiap kata yang dicoretkan olehnya begitu indah untuk diungkapkan namun hembusan angin di keheningan pagi yang syahdu itu seakan-akan menarik kembali selimut tidur menyelubungi diriku. Pelbagai lagi kiriman sms yang telah saya terima sebagai kata-kata perangsang semangat untuk bertarung di medan mujahadah syafawi Al-Quran.

Berbekalkan kalimah suci Ilahi yang masih segar diingatan, daku melangkahkan kaki keluar menuju ke medan jihad yang mempertaruhkan dua pilihan antara menang atau syahid. Melihatkan nombor giliranku di antara yang terawal telah memaksa diriku untuk mengulang Al-Quran sehabis daya sebelum menjejakkan kaki ke bilik mumtahin. Seorang demi seorang panel masuk ke bilik yang telah ditetapkan untuk mereka sehinggalah tampilnya ustaz Marzuqi yang dahulunya pernah menjadi mumtahinku ketika temuduga pengambilan pelajar Diploma Darul Quran yang lalu, sekali lagi menjadi mumtahin untuk syafawi Al-Quran kali ini. Setibanya giliranku, lantas aku melangkahkan kaki ke bilik tersebut dengan lafaz bismillah moga diberi kemudahan dan ketenangan hati untuk menjawab nanti.

Berkat usaha dan mujahadah yang telah ku “tadhiah”kan di jalanNya, membuatku berhasil menjawab kesemua soalan yang diajukan bermula daripada juz 16 hingga juz 21. Sungguhpun ada beberapa ayat yang masih kubaca secara tersangkut-sangkut namun ku tetap bersyukur kerana ustaz sedia menolongku menyambung bacaan yang kabur diingatan. Tanpa semena-mena, hadirnya rasa bersalah dihatiku setiap kali mengenangkan usaha ustaz lantas peristiwa itu membuatkan diriku lebih bersemangat untuk berhadapan dengan pelbagai lagi imtihan yang bakal menjelang.
Segalanya telah berakhir. Apa yang mampu aku lakukan kini hanyalah berserah kepada Allah moga diberi kejayaan cemerlang serta dibuka “Pintu Cahaya” kejayan buatku dan para sahabat agar lebih bersedia berdepan mehnah serta fatamorgana dunia yang penuh suka dan duka.

Nukilan yang ku coretkan pada petang 23 Februari lalu adalah sebagai perkongsian pengalaman diriku buat semua pembaca setia blog Umar Mujahid – Tinta Secebis Harapan agar sama-sama mematangkan diri dengan menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Sekalipun luka semalam masih berbekas di hati, hapuskanlah ia dengan memaafkan segala kesalahan dan berbuat baiklah di muka bumi Allah kerana setiap amal yang kita lakukan tidak akan pernah terlepas dalam perhitungan Allah di mizanNya kelak. Andai tangisan menjadi pilihan demi menghapuskan segala kedukaan lalu, menangislah semahumu kerana setiap titisan air mata jernih yang mengalir dari kelopak matamu telah menjadi mahar paling bernilai untuk menjejakkan kakimu ke Taman FirdausiNya kelak.

Akhir kalam, renunglah sepotong firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat ke-216 yang bermaksud,"… tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
Wallahualam.

Umar Mujahid
3.30p.m
23 Februari 2010

Mencari Syurga Dalam Senang?


Diceritakan pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senang di tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas.

“Siapa di atas sana tu?” bentak Ibrahim Adham.

“Saya, pengembala kambing,” sahut satu suara dari atas yang menjawab dengan jelas.

“Apa yang kau buat di atas atpa istanaku?” tanya raja lagi.

“Aku mencari kambingku yang hilang,” jawab suara itu.

“Cis, pelik sungguh! Masuk akalkah bahawa kau mencari kambing ku yang hilang di atas atap istanaku?”

Dengan tegas suara itu menjawab, “Begitulah wahai Ibrahim.. adakah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu? Itu sama sahaja dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!”

Selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat.

Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaanya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula megembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda berjuang mendidik diri, darjat ketaqwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda sebagai seorang waliullah yang tersohor.

Pengajaran: Tidak ada jalan mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

Isu Penggunaan Kalimah ALLAH : Hujah Menolak Alasan


Baru-baru ini Darul Quran JAKIM telah menganjurkan satu wacana khas berhubung isu yang kian menjadi perhatian masyarakat Malaysia saban hari, tidak kira di kaca televisyen, corong-corong radio bahkan di dada-dada akhbar iaitulah Isu Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Muslim. Wacana yang diadakan pada Selasa lalu bertarikh 9 Februai 2010 telah menjemput dua pembentang kertas kerja yang tidak asing lagi di Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) iaitu Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid dan Ustaz Mohd Aizam Bin Mas’od. Wacana istimewa yang membariskan dua panelis hebat ini turut mengundang Ustaz Shamsul Bahari yang bertindak sebagai moderator. Perjalanan majilis bermula lancar sejak pendaftaran yang bermula jam 9.00 pagi sehinggalah majlis membuka tirainya tepat jam 10.10 pagi. Pembentangan dimulakan oleh Ustaz Rashidy yang mengutarakan hujah-hujah beliau berdasarkan beberapa petikan kandungan kitab Bible dalam “Arabic” dan “English”. Kesahihan fakta yang tepat dan idea bernas yang dilontarkan beliau memukau hadirin apatah lagi dengan dalil-dalil yang didatangkan daripada “Old Testament” dan “New Testament” dalam Bible yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain. Pengetahuan yang mendalam dalam perbandingan agama merupakan satu nilai “bonus” bagi menyangkal hujah para paderi berhubung isu kalimah “Allah” ini.

Seterusnya, pembentangan telah disambung oleh panel kedua iaitu Ustaz Mohd Aizam Bin Mas’od. Artikel dibawah merupakan kertas kerja yang telah disediakan Ustaz mengenai hujah menolak penggunaan kalimah Allah oleh Kristian. Semoga artikel di bawah dapat membantu kita bagi lebih memahami permasalahan sebenar yang telah berlaku seterusnya menolak segala tuntutan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka dengan hujah yang signifikan dan bernas.

Pendahuluan
Pada 31 Disember 2007, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan pihak Kementerian Dalam Negeri(KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah Allah. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah masih kekal. Pada 3 Januari 2008, Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat 18 Oktober dan 1 November 2006. Pada 19 Mac 2008, gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah Allah. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakn kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.

Hujah-Hujah Menolak Alasan Pihak Gereja Katolik

Alasan Pertama:
Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan Allah sebagai terjemahan istilah God dan Tuhan sebagai terjemahan untuk istilah Lord

Hujah Penolakan:
Kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada bahasa arab. Kalimah ini tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nama-nama lain daripadanya. Kalimah Allah adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya. Dari segi struktur Linguistik, kalimah Allah lebih superior daripada apa jua perkataan daripada apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah . Oleh kerana itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan Allah kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu Allah.

Alasan Kedua:
Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan Allah telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.

Hujah Penolakan:
Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada god juga tertolak. Ini kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di Negara tertentu mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza. Dalam kes ini latar belakang bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.

Alasan Ketiga:
Mendakwa ayat-ayat Al-Quran sendiri telah menunujukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.

Hujah Penolakan:
Menjadikan Al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi hujah bagi umat Islam. Ia melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan Al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui Allah sebagai nama tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu bahasa. Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai Allah sepertimana yang dibentangkan oleh Al-Quran juga hendaklah diterima. Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz Allah di dalam Al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka berbahasa Ibrani? Jika kalimah Allah dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza. Al-Quran mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya gereja Katolik berpegang kepada konsep Trinity. Ini sekaligus memberi
makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia. Ia berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain.

Alasan Keempat:
Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud dalam populasi penganut Katolik di Malaysia

Hujah Penolakan:
Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima. Perlu diketahui bahawa bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal , istilah “Malaysia” belum wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada Bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat Melayu Islam. Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlembagaan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.

Alasan Kelima:
Mendakwa kerajaan tudak mempunyai hak untuk campurtangan di dalam urusan dalaman gereja berdasrkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a) Perlembagaan Peserkutuan.

Hujah Penolakan:
Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4)( untuk mengawal atau menyekat perlembagaan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam). Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan Perskutuan atau kerajaan Negeri ) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat perlembagaan agama-agama bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam. Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain). Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada perkataan God di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negara ini. Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.

Kesimpulan
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada pihak Kristian. Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.

Sabar Itu Indah


Don’t Be Sad..
Menghiasi diri dengan sifat sabar merupakan akhlak orang-orang mulia. Mereka menghadapi kesulitan hidup denagn berlapang dada, tidak mudah menyerah, serta penuh kepercayaan diri. Kerana itu, jika kita bersabar, apa lagi yang boleh kita lakukan?
Apakah anda mempunyai penyelasaian yang lain daripada bersabar? Dan apakah anda mengetahui senjata lain daripada kesabaran untuk menghadapi persoalan hidup?
Suatu ketika seorang tokoh menghadapi pelbagai musibah yang datang silih berganti dalam hidupnya dan juga berbagai kesulitan yang berlumba untuk menghanncurkannya. Setiap kali selesai daripada satu kesulitan, kesulitan lain pula datang mengunjunginya. Meskipun demikian, ternyata ia mampu menepis segala kesulitannya itu dengan penuh kesabaran dan menjadikan kepercayaannya terhadap Allah sebagai perisai diri daripada kehancuran.
Demikianlah yang dilakukan oleh orang-orang yang mulia dan terhormat ini dalam berjuang melawan setiap dugaan dan mencampakkan semua kesulitan hidupnya terkapar di atas tanah.

Ketika beberapa orang sahabat menziarahi Abu Bakar Radiyallahu’anhu yang sedang terbaring sakit, para sahabat bertanya kepadanya: “Apakah perlu kami panggilkan seorang tabib untuk mengubatimu?” Jawab Abu Bakar Radiyallahu’anhu: “Seorang tabib telah memeriksaku!” Para sahabat pun bertanya: “Apakah yang telah dikatakan olehnya?” Jawab Abu Bakar Radiyallahu’anhu: “Inni fa’alun lima uriid” (Sesungguhnya aku boleh melakukan apa sahaja yang aku mahu).

Bersabarlah! Akan tetapi, ketahuilah bahawa anda tidak mampu bersikap sabar kecuali pertolongan dan taufiq dari Allah. Bersabarlah sebagaimana kesabaran orang yang yakin akan datangnya pertolongan Allah, orang yang tahu akan sebaik-baik tempat kembali, orang yang mengharapkan pahala, dan orang yang menghrapakan akan terhapusnya dosa. Bersabarlah! Meskipun anda menghadapi pelbagai persoalan hidup dan menghalangi jalan yang akan anda tempuhi. Sesungguhnya pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangan, akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan.

Saya telah membaca beberapa biografi tokoh terkenal di dunia ini, dan saya terpegun dengan besarnya kesabaran dan agungnya ketabahan mereka dalam menghadapi berbagai macam dugaan yang datang terus-menerus bagaikan air dingin yang menitis di atas kepala mereka. Akan tetapi, daya tahanan mereka tetap kukuh bagaikan kukuhnya gunung. Kebenaran menancap kuat ke dalam diri mereka dan mereka sedar bahawa waktu di dunia ini sangatlah singkat. Dan wajah mereka kembali bersinar memancarkan cahaya seirng dengan datangnya mentari kemenangan, keceriaan dan masa pertolongan. Bahkan ada di antara mereka yang tidak hanya cukup bersabar sahaja, namun justeru menghadang semua bencana itu dan berteriak lantang di hadapan musibah-musibah itu sambil menyatakan tentangannya.

-Dr. ‘Aidh ‘Abdullah Al-Qarni-

Ahmad Hussein Deedat

Pendahuluan
Tinta Secebis Harapan kali ini membawakan kepada semua pembaca blog umar mujahid mengenai sebuah lagi segmen menarik yang diterbitkan berjudul “Kenali Tokoh ”. Semoga dengan tercetusnya artikel ini yang dipetik daripada sebuah karya “50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia” karangan Ahmad Amri Zainal Adnan dan Nurasyikin Ahmad bakal menambah pengetahuan kita mengenai tokoh-tokoh Islam yang telah banyak berkorban dan mencurahkan bakti daripada pelbagai sudut semata-mata demi mengembalikan kegemilangan Islam di persada dunia. Akhir kalam, Selamat Membaca!

Tokoh Intelektual
Ahmad Hussein Deedat dilahirkan pada 1 Januari 1918 di Surat, India. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang miskin. Pada tahun 1927, beliau berhijrah ke Afrika Selatan untuk tinggal bersama ayahnya.

Hikmah di Sebalik Penghinaan
Oleh kerana dibelenggu kemiskinan, beliau tidak mampu mendapatkan pendidikan secara formal sebagaimana kanak-kanak lain seusianya. Namun, semangat untuk belajar dalam diri beliau begitu membara. Pada usia 9 tahun, beliau mula belajar Bahasa Inggeris secara formal. Apabila beliau masuk ke sekolah, beliau berjaya menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik.
Oleh kerana kekurangan wang, beliau terpaksa bekerja pada usia 16 tahun. Pada tahun 1936, semasa beliau bekerja di sebuah kedai buku yang menjual buku-buku agama, suatu peristiwa yang penting berlaku. Perisitiwa itu mengubah hidup beliau. Sekumpulan pelatih missionari Kristian menghina Deedat yang beragama Islam.
Akibat penghinaan yang dilontarkan oleh pelatih-pelatih missionari itu membuatkan Deedat bersemangat mahu menyanggah propaganda pelatih-pelatih missionari apabila mereka bertemu lagi pada masa hadapan. Dengan izin Allah, beliau menemui sebuah buku bertajuk Izharal-Haq yang menerangkan teknik-teknik yang digunakan oleh orang Islam India bagi menghadapi missionari Kristian di sana.
Buku tersebut menjadi inspirasi kepada beliau untuk berhadapan dengan missionari Kristian yang datang ke kedai tempat beliau bekerja. Daripada buku inilah beliau mempelajari teknik berdebat. Seterusnya, beliau membeli kitab Injil Kristian untuk mengkaji kelemahan-kelemahan kitab tersebut. Usaha beliau berjaya dan setiap hujah pelatih missionari Kristian yang berhadapan dengan beliau berjaya dipatahkan.
Lama kelamaan, beliau bukan sahaja berjaya berhadapan dengan pelatih Missionari, bahkan missionari dan paderi di sekitar kawasan tempat tinggal beliau turut merasa terancam dengan kebolehan berhujah Deedat. Pengetahuan Deedat berkaitan agama Kristian dan kebolehannya memetik ayat-ayat dari kitab Injil menjadikannya pendebat yang digeruni lawan.
Menyedari kebolehan yang dikurniakan Allah kepadanya dalam mematahkan dakyah-dakyah Kristian, pada tahun 1942, beliau mula bersyarah kepada kelompok manusia dalam jumlah yang kecil dan lama-kelamaan hingga jumlah hadirin yang mendengarnya berjumlah ribuan orang. Semenjak itu, beliau telah menyampaikan ribuan syarahan di seluruh dunia.
Majlis-majlis debat antara beliau dengan missionri Kristian sering mendapat sambutan luar biasa. Ribuan hadirin yang mendengar hujah beliau telah memeluk agama Islam. Antara yang memeluk Islam termasuk missionari Kristian.

Sumbangan Dalam Dakwah
Sebagai seorang sarjana dalam perbandingan agama beliau bukan sahaja menyampaikan syarahan-syarahan umum, malah beliau juga mengajar kelas yang mengkaji kandungan-kandungan kitab Injil. Selain itu, beliau juga menulis buku dalam pelbagai topik dakwah termasuk kristianisasidan konflik Arab-Israel. Sejumlah lebih 20 buah karya berjaya ditulis dan jutaan naskhah buku beliau diedarkan secara percuma. Antara buku beliau yang terkenal adalah The Choice.
Deedat dan beberapa rakannya yang lain turut menubuhkan Islamic, Propagation Centre International (IPCI) bagi tujuan dakwah. Di atas sumbangan beliau dalam penyebaran dakwah, beliau dikurniakan Anugerah King Faisal pada tahun 1986.

Menderita Lumpuh
Pada tahun Mei 1996, beliau mengalami serangan strok. Akibat daripada penyakit itu, tubuh beliau menjadi lumpuh. Selepas sembilan tahun menderita, pada Ogos 2005 beliau meninggal dunia di rumah beliau di Verulam, Afrika Selatan.

Sebab-Sebab Hati Tidak Bahagia


Antara mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati manusia ialah:

Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang ..(siapa nak dekat kalau asyik nak marah saja..bawak-bawaklah senyum..tentu orang tak takut nak dekat punya..)

Pendendam
Tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti hati sakitkan atau tempelak orang yang didendami itu.

Hasad Dengki
Amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. Ramai juga hafiz/ah yang ada sikap ini sesama sendiri.

Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat kepada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui manusia.

Tamak
Orang yang tidak puas hati dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut.. walau berapa banyak yang diminum tetap tak habis jugak..lagipun orang tamak selalu rugi.. hak milik kita hanyalah apa yang kita telah makan & pakaian yang kita pakai sehingga lusuh & ilmu yang kita curahkan pada orang lain. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan .

Tidak Sabar
“Nafsu itu menjadikan Raja itu hamba & sabar itu menjadikan hamba itu Raja.”

Ego
Sikap bangga diri di kalangan hafiz/ah sering mebuatkan dia sering merendahkan kegiatan - kegiatan dakwah & hanya banggakan Al-Quran yang masyi dalam ingatannya.

Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di hadapan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika ia dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dengan apa yang kita ada.. ramai dikalangan kita yang riak dengan dirinya yang masyi Al-Quran. Ingatlah! Allah akan menarik nikmat itu daripada kamu seandainya kamu menyalahgunakannya.

Cinta Dunia
Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana apabila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu, bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh/ah.. Cinta dunia merupakan “neraka dunia” kerana dunia itu “panas” akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan
Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukan secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dan lain-lainnya . Tetapi ialah MAZMUMAH. Makin tinggi mazmumah seseorang, maka ia tidak BAHAGIA.. sama ada bermujahadah atau biarkan sahaja mazmumah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah, kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya.

Ramai dikalangan hafiz yang bangga kerana dirinya bergelar huffaz. Walhal mereka tidak mengamalkan isi Al-Quran bahkan sanggup melakukan kemungkaran.. SEDARLAH! Kelebihan yang Allah beri kepada kita itu akan membuatkan kita lebih banyak melakukan maksiat & berpeluang untuk memenangi tiket percutian ke NERAKA! Ada juga spesis semut yang Allah jadikan sayap pada badan mereka. Semut yang mempunyai sayap berbangga kerana mampu terbang ke sana sini. Tatkala ia melihat kemilau cahaya mentol berkejarlah mereka menghampirinya . Akhirnya kerana terlalu terpesona dengan keindahan cahaya tersebut, ia merapatkan badannya pada mentol dan akhirnya mati kerana kepanasan. Begitu jualah kita yang Allah lebihkan dengan Al-Quran (hafal tapi tak amal) sebenarnya membuatkan kita lebih tidak rasa berdosa untuk melakukan maksiat kerana kelebihan yang ada pada diri kita. Cuba teliti hati kita, hafal semua Kalam Allah, namun sejauh mana kita mengamalkannya. Ada dikalangan sahabat kita yang tonton video lucah, merokok, couple, dating dan kemungkaran yang tak sepatutnya terdapat dikalangan kita. Sekalipun kita tidak melakukannya tapi adakah kita sensitif terhadapnya?? Sama-samalah kita muhasabah diri kita wahai penghafal Kalamullah.. balik kampung biarlah jadi sinar pada masyarakat, janganlah menjadi onar dengan menjadi sampah masyarakat!

Huffaz di Darul Quran: “Al-Hafiz” atau “Al-Habis”?


Sebuah isu yang amat menarik untuk dibincangkan bersama terutama dalam kalangan mahasiswa Darul Quran pada hari ini. Persoalan yang telah sekian lama tersimpan di kotak fikiran akhirnya berjaya saya tatahkan di laman maya ini khas buat para pembaca yang budiman. Saya menulis artikel ini atas kesedaran ingin melihat perubahan yang bakal tercetus hasil penghijrahan minda para huffaz yang kebanyakannya masih lena dibuai mimpi indah yang tiada berkesudahan. Dalam situasi di Darul Quran sendiri yang menjadikan Al-Quran sebagai “core subject”, hafazan Al-Quran amat ditekankan berbanding beberapa madah lain yang diambil. Sehubungan dengan itu, peruntukan masa bagi kelas tasmi’ adalah selama 2 jam bermula jam 8.00 pagi sehinggalah jam 10.00 pagi waktu kuliah. Kelas yang seringkalinya mementingkan “modal” di samping “iadah” Al-Quran diwakili oleh seorang pensyarah sebagai guru tasmi’ yang juga bertindak sebagai penilai bacaan hafazan Al-Quran oleh para pelajar di sesebuah kelas. Lazimnya, para pensyarah yang ditetapkan untuk setiap kelas tasmi’ terdiri dalam kalangan pensyarah tetap Darul Quran dan pensyarah jemputan dari luar. Majoriti daripada mereka merupakan bekas mahasiswa Darul Quran yang amat arif dan berpengalaman. Dalam sesebuah kelas tasmi’ pula, kebiasannya terdiri daripada 10 orang pelajar yang akan memperdengarkan hafazan Al-Quran secara bergilir kepada pensyarah tasmi’ mengikut ke”fleksibel”an yang mampu dilakukan.

Kelas yang berakhir sehingga jam 10 pagi ini, menuntut para pelajar untuk memperdengarkan hafazan Al-Quran secara lancar dan sempurna sebelum layak berpindah ke bahagian yang seterusnya. Kerana itu, kita sering melihat para pelajar bertungkus lumus bermujahadah demi mendapatkan “modal” untuk dihantar keesokan harinya. Namun sejauh manakah hafalan yang diperdengarkan itu mampu kekal dalam ingatan atau sekadar memenuhi syarat untuk menghabiskan muqarrarar sebagai tiket untuk menduduki peperiksaan? Adakah matlamat kita di Darul Quran hanya sekadar menghafaz kalam suci Ilahi tanpa sebarang penghayatan atau i’brah yang dapat diteladani? Adakah title “Al-Hafiz” yang kita perolehi daripada masyarakat luar khususnya yang begitu memandang tinggi akan seorang penghafaz Al-Quran hanya tinggal nama? Atau lebih gemar dikenali sebagai “Al-Habis”?

Fikir-fikir dan renungkanlah demi kebaikan bersama. Janganlah menjadi ibarat katak di bawah tempurung yang hanya mampu berpeluk tubuh saat bantuannya diperlukan berbanding turun bermasyarakat bagi mengembangkan minda serta menambah pengetahuan dengan isu semasa dan berita menarik yang acapkali berlaku saban hari tanpa mengira waktu dan tempat.

Berbalik kepada isu yang sedang kita perbincangkan, al-hafiz dari sudut pemahaman saya sendiri merupakan seseorang yang mampu menghafaz hadis tidak kurang daripada 100,000 buah hadis sahih. Namun tilte “al-hafiz” yang kita dapati hari ini, seringkali disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak dengan beranggapan bahawa title ini adalah bagi mereka yang telah pun khatam hafazan Al-Quran 30 juzuk. Walau apa pun jua, sebagai seorang penghafaz Kalamullah dan juga Hamalatul Quran sewajarnya bagi kita untuk beramal dan menghayati setiap segala isi kandungan Al-Quran tersurat mahupun tersirat baik dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara melibatkan syariat dan perundangan Islam.

Hal ini amat berbeda dengan satu lagi title yang cukup sinonim dengan golongan huffaz di Darul Quran iaitulah “al-habis”. Ia kedengaran sinis dalam kalangan sebahagian huffaz namun tidakkah kita sedar bahawa kebanyakan huffaz terdiri daripada mereka yang mendapat title “al-habis” secara tidak langsung berbanding “al-hafiz”. “Al-Habis” juga merupakan seorang penghafaz Al-Quran persis “al-hafiz” tetapi dari suatu sudut pandangan yang berbeza, penghayatan mereka kepada Al-Quran adalah terhad dalam ingatan yang tidak mampu bertahan lama berikutan hafalan yang ditinggalkan setelah berlalunya peperiksaan, yang menjadi perhentian utama dalam medan perjuangan mereka terhadap Al-Quran. Hasilnya, amat sukar bagi mereka untuk mengingati segala hafalan tersebut kerana jarang mengulang dan hanya tertumpu pada awal surah dan maqra’ terutama di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Selain itu, antara punca sukarnya untuk mengingati hafalan adalah disebabkan kelewatan menghabiskan muqarrar yang menyempitkan masa mengulang para pelajar. Ini adalah bertepatan dengan satu kata-kata yang terkenal di kalangan huffaz, “ Mengulang lebih susah daripada mencari “modal”. Perkara ini jauh berbeda berbanding “al-hafiz” yang sentiasa menghafaz setiap kalimah suci Ilahi dengan penuh penghayatan dan tadabbur yang tinggi sehingga mampu mencapai makam tertinggi sebagai penawar bagi “hati”.

Perkara ini juga amat berkaitan dengan konsep “muallim” dan “murabbi” yang hampir mirip tetapi mempunyai dua persepsi yang berbeza terutama daripada sudut penyampaian dan keberkesanan ilmu. Ramai yang masih salah faham terhadap peranan seorang pengajar dan pendidik. Mengapakah masalah ini terjadi?
Sebelum mengulas lebih lanjut mengenai isu pokok yang sedang kita bincangkan, izinkan saya untuk berkongsi suatu ilmu yang telah saya perolehi hasil pembacaan dalam majalah Solusi keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd iaitulah mengenai “Murabbi” dan “Muallim”. Semoga dengan perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini, dapat membuka minda dan hati para pembaca terutama generasi huffaz Al-Quran agar lebih memahami taklifat dan amanah sebagai hamalatul Quran yang sempurna dan bermanfaat terhadap masyarakat umumnya.

Dua perkara yang berbeza

Perlu diingat, bahawa memberi pelajaran dan memberi pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan proses penyampaian ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran tercapai, tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapian pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan mendidik jauh lebih kompleks dan abstrak.
Bagaimana hendak mengukurnya? Ukuran sama ada tercapai atau tidak proses mendidik itu adalah melalui nilaian tahap akhlak seseorang pelajar. Oleh itu, para guru dan ibu bapa yang merupakan pendidik dalam institusi pendidikan yang bernama sekolah dan di rumah, harus sama-sama bermuhasabah.
Apakah pelajar-pelajar di sekolah hanya mendapat pelajaran atau dalam masa yang sama turut juga mendapat pendidikan?

Ya? pencapaian kita mungkin membanggakan, apabila keputusan peperiksaaan UPSR, PMR, SPM, STPM para pelajar semakin meningkat. Namun bagaimana pula peranan sekolah sebagai tempat membina asuhan, tunjuk ajar yang baik dan didikan akhlak?
Ini satu tugas yang bukan sahaja lebih mencabar, tetapi juga lebih utama. Guru dan ibu bapa perlu menjalankan dua peranan sekali gus – yakni sebagai murabbi (pendidik) dan juga muallim (pengajar).

Kita tinjau dulu peranan murabbi. Guru dan ibu bapa mesti berperanan sebagai murabbi, tidak sekadar muallim. Menjawab persoalan mengapa ibu bapa dikatakan bertindak sebagai murabbi di samping muallim ialah kerana peranan muallim berfokuskan pengajaran manakala murabbi berfokuskan pendidikan. Ramai orang tersilap dan menganggap mengajar (peranan muallim) dan mendidik ( peranan murabbi) itu sama. Jika sudah ada muallim (para guru) maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik. Banyak bezanya antara murabbi dan muallim. Muallim adalah individu yang berperanan menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu sama yang berbentuk agama (fardhu ain) ataupun akademik (fardhu kifayah) kepada muridnya.
Matlamat utama pengajar adalah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan diaplikasi semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari akal ke akal – yakni dari muallim ke kepada akal murid dan akhirnya murid meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan.

Tugas murabbi lebih mencabar


Murabbi lebih dari itu. Murabbi berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa murid lebih terkesan dengan ilmu yang diberikan. Ilmu itu kemudiannya dihayati, diyakini dan kemudiannya diamalkan dalam kehidupan. Tegasnya, tugas murabbi lebih ‘advance’ daripada muallim kerana dia perlu memastikan sesuatu ilmu bukan sahaja difahami tetapi dihayati sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak muridnya. Jika tugas muallim banyak berlegar ‘pada akal’, maka tugas murabbi pula adalah ‘di dalam hati’ murid-muridnya. Tamsilan muallim adalah seperti orang yang mengumpulkan bahan-bahan masakan ( misalnya tepung,gula, mentega, garam, dan air ), manakala murabbi pula adalah umpama tukang masak yang mengadun, membancuh, menguli, membakarnya hingga menjadi seketul roti. Jadi bukankah tugas murabbi tugas yang lebih mencabar?

Berdasarkan perkongsian di atas, adakah sudah jelas bagi kita tentang bagaimana konsep muallim dan murabbi saling berhubungkait dengan isu pokok yang sedang kita perbincangkan? Bukanlah niat di hati untuk mencelah isu yang menjadi bahan perbincangan kita dengan perkara lain melainkan untuk i’brah dan peringatan bersama. Melihat kembali kepada “al-hafiz” yang boleh dikatakan mirip kepada tugas sang murabbi dari segi pelaksanaannya, memandangkan peranannya yang lebih membuat jiwa seseorang terkesan berbanding “al-habis” yang boleh disamakan dengan muallim berikutan peranannya yang menjurus kepada pengaplikasian ilmu yang diperolehi terutama menjelang peperiksaan.

Tuntasnya, jelaslah kepada kita bahawa gelaran “Al-Hafiz” bukanlah sebuah gelaran biasa bagi insan biasa melainkan gelaran yang sewajarnya diperolehi oleh insan yang berkelayakan dan dipilih oleh Allah untuk menyebarkan ilmu yang dimiliki kepada seluruh umat manusia sebagai manfaat bersama. Firman Allah S.W.T dalam kalamNya yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia di kalangan kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” Justeru, sebagai penghafaz Al-Quran adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga hafalan dan beramal dengan apa yang terkandung disebalik kesucian dan keindahan “Kalamullah yang tiada keraguan padaNya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”

Sebagai manusia yang dianugerahi Allah akal fikiran yang waras dan dipandu oleh hati yang bersih dan jernih, renung dan bermuhasabahlah sejenak sambil berzikir mengingatiNya, sejauh manakah hafalan Al-Quran yang kita ingati mampu menjamin diri kita untuk menjejakkan kaki ke Taman FirdausiNya kelak? Apakah kita berupaya untuk menjamin ahli keluarga terdekat kita dari kepanasan bahang neraka sebagaimana janji Allah bagi mereka yang menghafal Al-Quran? Sehingga kini persolan tersebut masih menjadi tanda tanya dalam kalangan generasi huffaz masa kini, namun masih hanya ada satu jawapan yang pasti, tepuk dada tanyalah iman!
Wallahualam.