KALAM EXCO LATERINFO 09/10Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan baginda Rasullullah S.A.W, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi’ tabi’in serta kaum muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian .
Mengimbas kembali detik-detik bersejarah di zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu di bawah pemerintahan Rasulullah S.A.W. Pelbagai i’brah yang boleh kita teladani dan pelajari daripada sirah nabawiyah terutamanya mengenai sirah Utusan Terakhir dari Allah yang telah bersusah payah menempuh segala mehnah dan tribulasi dalam perjuangan demi menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini.
Setelah wafatnya Rasulullah S.A.W, pemerintahan Islam kemudiannya dipegang oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin yang terdiri daripada kalangan sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A, Saidina Umar Al-Khattab R.A, Saidina Othman Bin Affan R.A dan juga Saidina Ali Karamallahuwajhah. Pelbagai konflik dan peristiwa yang telah berlaku di zaman pemerintahan mereka, namun atas IzinNya serta berbekalkan iman dan taqwa yang mantap di hati, mereka tetap mampu bertahan sehinggalah nafas terakhir.
Bersamalah kita renungi satu firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Qasas yang bermaksud: “...sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja(pada kita) ialah orang yang kuat dan dipercayai.”
Berdasarkan ayat di atas, jelaslah pada kita bahawa seorang pemimpin yang amanah dan berwibawa harus mempunyai dua ciri seperti yang dinyatakan iaitu kuat dan boleh dipercayai. Mengapakah dua ciri ini begitu ditekankan sebagai garis panduan dalam memilih seorang pemimpin? Seringkali persoalan ini menerjah ke dalam ruang kotak pemikiran manusia lalu mengajak mereka untuk berfikir akan hakikat sebenar di sebalik Kalamullah di atas. Kerana itu, renung-renung dan fikirkanlah!
“Patah tumbuh hilang berganti” Seuntai kata untuk dirasa daripada pepatah Melayu yang menjadi tradisi turun-temurun di kalangan masyarakat kita sehingga ke hari ini. Pepatah ini amat berkait rapat khususnya dalam suatu organisasi pemerintahan. Setelah turunnya seorang pemimpin daripada jawatan yang disandangnya, sudah pasti ada pengganti yang bakal menerajui tampuk pemerintahan dari generasi ke generasi yang lain. Begitulah juga hal yang telah terjadi dalam Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ) yang merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan(NGO) yang bernaung di bawah Darul Quran JAKIM, sebuah institut pengajian Al-Quran yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Persatuan yang bermatlamatkan “Ke Arah Melahirkan Generasi Al Quran Yang Unik” telah melangsungkan Annual General Meeting ke-25(AGM 25) pada November yang lepas bagi menentukan calon bagi kerusi Majlis Tertinggi dan Exco-exco yang layak bertanding seterusnya memegang portfolio bagi setiap lajnah yang ada. Pemilihan calon yang dikelolakan sepenuhnya oleh Penyelaras Pemilihan Calon(PPC) dengan menggunakan sistem pilihanraya kampus telah mempertandingkan beberapa calon bagi beberapa buah kerusi baik di sebelah Banin mahupun Banat. Kemuncak AGM yang telah berlangsung pada 21 November 2009, telah mengumumkan barisan pimpinan baru yang bakal menerajui PERKEMAT DQ sesi 09/10 dan antara yang terpilih dikalangan kerusi bagi kerusi Lajnah Penerbitan dan Informasi(LATERINFO) adalah saya sendiri. Maka bermulalah satu episod baru dalam hidup saya sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab atas amanah yang ditaklifkan. Sehingga hari ini, genap dua bulan kami di barisan pimpinan PERKEMAT DQ 09/10 menjalankan amanah yang telah ditaklifkan. Suka duka yang kami harungi bersama seakan menghilangkan segala penat lelah yang kami rasai dalam menjalankan gerak kerja masing-masing. Walau bagaimanapun, saya sedar betapa beratnya suatu amanah yang ditaklifkan ke atas diri yang hina ini, namun takdir telah menentukan segalanya. Kata orang, perjuangan tetap harus diteruskan walau terpaksa mengharungi 1001 halangan kerana di hujung penantian kelak, pasti akan kau temui sinar kebahagiaan atas segala pengorbanan yang kau titipkan.
Akhir kalam, saya berharap buat para sahabat khusunya yang telah sudi membaca kalam ini agar dapat bersama saya dan rakan-rakan yang lain untuk terus mengislahkan diri ke arah yang lebih baik di masa akan datang. Tidak lupa juga buat semua pimpinan PERKEMAT DQ khususnya Majlis Tertinggi dan Ketua Unit Lajnah Penerbitan dan Informasi(LATERINFO) 09/10 yang saya kasihi dan sayangi, agar sentiasa aktif dan berfikiran terbuka dalam menyuarakan pandangan atau cadangan dengan memperbaiki segala kekhilafan lalu sebagai anjakan paradigma(shift your paradigm) ke arah melahirkan genersi Al-Quran yang unik seperti yang diimpikan.
Kekalkan Posisi,
Maksimakan Potensi,
Tingkatkan Prestasi,
Kurangkan Kontoroversi.
Sekian, wassalam.
0 comments:
Post a Comment