Pesanan Buat Sahabat..


Wasiat As-Syahid Imam Hassan Al- Banna
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, seorang pejuang syahid yang juga merupakan pengasas kepada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir suatu ketika dahulu telah mewasiatkan sembilan perkara buat seluruh muslimin dan muslimat.

Pertamanya, adalah mengajak umat Islam untuk bersegera menunaikan solat pada awal waktu ketika mendengar azan walau dalam keadaan apa jua sekalipun kerana di situ ada sumber kejayaan, di situ ada sumber pertolongan dan di situ jua ada sumber taufik.

Kedua, ialah membaca Al-Quran, menatapi bahan ilmiah dan sentiasa meringankan kaki ke majlis ilmu disamping, berzikir dan terus berzikir serta tidak membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Ketiga, beliau berpesan kepada kita agar berusaha untuk belajar dan bertutur dalam bahasa Arab yang betul.

Keempat, janganlah bertengkar dalam apa-apa jua perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberikan apa-apa.

Kelima, janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu tenang lagi tenteram.

Keenam, janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

Ketujuh, janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan nyaring itu adalah perkara yang sia-sia dan ia menyakitkan hati orang.

Kelapan, jauhilah daripada mengumpat hal peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang membawa kebajikan.

Kesembilan, berkenal-kenallah dengan setiap umat manusia yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

Tuntasnya, kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, ayuh sahabat! Gunakanlah masa dengan sebaiknya dan ringkaskan pelaksanakaannya. Sabda Nabi S.A.W, ‘‘Bersegeralah ke arah melakukan amal. Sayangilah masa saudaramu dan hormatilah waktu mereka.’’

0 comments:

Post a Comment