"Erti Hidup Pada Memberi"


Temubual Eksklusif Exco LATERINFO 09/10
Bersama
Ustaz Hasrizal B. Abd Jamil @ Saifulislam.Com

Pada tanggal 16 Januari yang lalu Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ) melalui IQRAC Persijilan DQ-UIAM 09/10 dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar(HEP) telah menganjurkan Bengkel Tinta Dai’e yang bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran. Bengkel yang diadakan selama hampir sehari telah menghadirkan seorang penulis yang terkenal dengan nama penanya “Saifulislam.com” iaitu Ustaz Hasrizal Bin Abd Jamil. Pada akhir sesi bengkel tersebut, atas inisiatif daripada unit redaksi Lajnah Penerbitan dan Informasi(LATERINFO) 09/10 , telah mengadakan satu sesi temubual antara Exco LATERINFO, Muhammad Amal Syakir Bin Abd Samad bersama Ustaz Hasrizal Abd Jamil berkisarkan sebuah topik khas yang berjudul “Erti Hidup Pada Memberi”.

Soalan pertama: Apakah pandangan ustaz mengenai hubung kait atau pengaplikasian
konsep “Erti Hidup Pada Memberi” dengan huffaz di Darul Quran?

Ustaz telah memberikan satu analogi yang cukup menarik berkenaan manfaat yang dapat diberikan oleh sebatang pokok kelapa. Andai manfaat ini dipersoalkan kepada para pelajar khususnya, sudah pasti tiada masalah bagi mereka untuk menyenaraikan manfaat bagi sebatang pokok kelapa. Namun seandainya soalan yang sama dilontarkan kepada pelajar mengenai manfaat yang bakal diperoleh daripada diri sendiri, mampukah seseorang pelajar menjawab soalan tersebut memandangkan kondisi manusia yang jarang berbincang mengenai tujuan kewujudan mereka di dunia ini. Jadi, aplikasinya sinonim dengan para huffaz di mana masalah itu dapat dikurangkan dengan berdiskusi, untuk menetapkan apa sebenarnya yang ingin dicapai apabila menjadi seorang penghafaz Al-Quran. Kalau sekiranya kita menjadi seorang hafiz secara terpaksa bermakna kita akan terseksa semasa dan selepas belajar di samping menanggung “title” seorang hafiz memandangkan ia berlaku dalam keadaan terpaksa. Namun seandainya seorang hafiz itu memikirkan daripada soal apa yang dia boleh terima dan fokus, ruang penerimaan mungkin tidaklah sebanyak yang lain. Bagaimana ingin membuat duit dengan menjadi seorang hafiz? Satu soalan yang kurang enak apabila didengari di gegendang telinga masyarakat tetapi adakah benar soalan ini yang sering bermain di minda seorang hafiz kerana menjadi hafiz bukanlah satu matlamat akhir yang ingin dicapai melainkan satu prasyarat ke arah melahirkan generasi yang sentiasa kehadapan kerana telah ada satu asas yang sangat kuat. Jadi lebih baik difikirkan perkara yang ketiga yang lebih betul sifatnya iaitu apa yang dia hendak beri. Bila dia berfikir mengenai apa yang bakal diberi, maka secara tidak langsung dia akan memikirkan soal peranan dan hak yang patut diterima sebagai seorang penghafaz Al-Quran dan di situ tidak ada jawapan melainkan jawapan seluas kehidupan. Apa yang seharusnya difikirkan oleh seorang hafiz ialah sejauh mana mereka boleh dijadikan produk kepada manusia lain berdasarkan kemahiran atau ilmu yang dimiliki. Tambahan ustaz lagi, minat yang mendalam mampu mengatasi segala mehnah yang mampu menghalang semangat dalam pekerjaan sebagai contoh menceburi sesuatu bidang berdasarkan minat dan potensi yang ada pada diri, sehinggakan kalau demam pun kita akan tetap mahu laksanakan kerja tersebut.

Soalan kedua: Apakah pula pendapat ustaz mengenai sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang
bermaksud “sebaik-baik manusia adalah yang mampu memberi manfaat
kepada manusia lain”
dan kaitannya dengan huffaz khususnya di Darul
Quran?

Satu ciri yang ketara dalam masyarakat pada hari ini ialah kadar unsur yang tinggi di setiap tempat. 20 tahun lalu, Malaysia hanya mempunyai satu unsur iaitu Melayu, unsur Muslim, unsur Syafie tetapi pada hari ini ada macam-macam, sehinggakan semuanya menjadi pelbagai dalam apa jua konteks sekalipun bapa adalah seorang pesawah maka pekerjaan itu turut diwarisi oleh anaknya dan ini jauh berbeda dengan apa yang berlaku pada hari ini dimana anak-anak yang lebih bekerjaya tinggi. Seorang daie perlu menyiapkan dirinya untuk berhadapan dengan masyarakat dari segi kemahiran yang ada. Jangan underestimate andai sesorang itu mahu menjadi seorang imam di sesebuah komuniti hanya berkebolehan sebagai imam ketika solat melainkan menjadi seorang imam yang “multiple skill” kerana andai jemaah yang berada dibelakangnya terdiri daripada juretera, doktor atau sebagainya sedangkan imam tersebut terhad dari segi kemahiran yang ada, maka pandangan umum jelas akan berubah. Kemungkinan para jemaah yang ingin bertanya mengenai muamalat atau saham kalau tidak tahu hukum sekalipun dia tahu ke mana hendak dialurkan pertanyaan tersebut sebagai bantuan terhadap yang bertanya. Yang ketiga pula ialah bahasa, semakin banyak bahasa yang dikuasai semakin banyaklah peluang yang terbuka untuknya. Keempat, seorang hafiz perlu mempunyai daya empati yang tinggi dalam erti kata berusaha untuk memahami orang lain apabila mengharapkan orang lain juga memahami kita. Seorang imam atau ketua akan lebih banyak memainkan peranan sekiranya mereka mampu memahami masalah jemaah di tempat mereka.

Soalan ketiga: Apakah pandangan dan nasihat ustaz kepada para huffaz yang
bakal mendepani masyarakat global selepas keluar dari Darul
Quran?

Pertama sekali iaitu perkara basic menurut ustaz ialah keyakinan diri. Kita mesti keluar sebagai seorang hafiz yang disertai dengan sikap berkeyakinan diri yang tinggi. Keyakinan diri yang tinggi juga boleh memakan diri lalu mengakibatkan diri menjadi degil dan bodoh andai tidak disertai dengan sikap boleh mengajar dan belajar(teachable) kerana kita mesti menerima hakikat apabila kita keluar ke dalam masyarakat, pelbagai perkara yang bakal kita temui. Kerana itu, kita harus bersedia untuk menegur dan membimbing. Dengan kombinasi antara keduanya, insyaAllah kita akan cepat meningkat matang dan berani bercita-cita tinggi untuk mencuba dan sebagainya. Pesanan terakhir dari ustaz agar cuba untuk bertanding dengan diri sendiri bagi mengetahui sejauh mana kebolehan yang kita miliki agar dapat dimanfaatkan oleh manusia lain khususnya demi kebaikan bersama.

0 comments:

Post a Comment