Daku Sayang Padamu, Ibu!


Ku coretkan warkah ini khas buat para pembaca yang melawati blog ini. Ingin daku kongsikan kisah hidupku yang penuh suka dan duka, namun ingin ku tujukan coretan kali ini buat para pembaca mengenai suatu peristiwa sayu yang pernah berlaku dalam hidupku . Pemergian insan tersayang merupakan peristiwa paling pahit yang pernah aku alami sewaktu umurku baru sahaja mencecah 19 tahun. Tanggal 5 Ramadhan merupakan tarikh bersejarah yang tidak akan pernah aku lupakan. Di sebalik kegembiraan seluruh umat Islam menyambut ketibaan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kerahmatan itu, aku dikhabarkan mengenai suatu berita yang bakal memecah kolam air mata yang telah ku takung selama ini. Segalanya bermula pada petang Jumaat, 5 Ramadhan 1429H tatkala madah Bahasa Arab yang diajar Ustaz Ubadah menjadi santapan rohaniku bagi meneruskan pengajian di Darul Quran pada semester 1 yang lalu. Jarum jam di tanganku hampir menunjukkan pukul 6 petang. Pengajaran berjalan seperti biasa. Kelas Bahasa Arab yang terpaksa dijalankan demi menghabiskan muqarrar semester 1 berikutan ketiadaan ustaz selama beberapa minggu begitu berat untuk kuikuti. Namun, azam menguatkan tekad kerana aku masih punya banyak tanggungjawab yang harus diselesaikan sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapaku, seorang pelajar kepada guruku, dan juga sebagai sahabat buat sahabatku yang lain serta tidak lupa sebagai hamba dan khalifah di muka bumi Allah ini.

Ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung di Dewan Kuliah Baru, kocek seluarku terasa satu getaran yang berpunca daripada handsetku yang telah di silentkan sebelum kuliah berlangsung. Sepotong nama jelas terpampang di skrin handsetku. Nama yang cukup kukenali itu terus sahaja melenyapkan geteran pada handsetku apabila tidak menerima sebarang respon dariku. Bukan aku tidak sudi manjawab panggilan paksu , namun memikirkan sesi pembelajaran yang masih berlangsung memaksa aku untuk tidak manjawab panggilan tersebut. Selang beberapa minit kemudian, seluarku terasa bergetar kembali buat seketika. Aku terus mencapai handset yang tersembunyi di kocek seluarku lalu ku lihat pesanan ringkas yang telah dihantar oleh paksu di dalam peti inbox. Aku tergamam seketika melihat sepotong ayat yang seakan-akan mencarik-carik helaian kulitku. “Assalamualaikum, Syakir.. sabar ye! Mak dah x de kat dunia ni.. petang nanti cu ina ambik” Hatiku bagaikan ditusuk sembilu tatkala membaca mesej tersebut seraya kolam air mata yang selama ini bisa kutahan telah pun memuntahkan isinya. Air mata jernih mula mengalir deras dari dua kelopak mataku sehingga membasahi pipi. Hal ini telah di sedari, oleh sahabat karibku, Razif lantas aku menunjukkan mesej yang baru sahaja dikirimkan. Dia cuba menenangkan diriku, namun hatiku terus merintih pilu dan terkilan mengenangkan nasib diriku yang tidak sempat menemui ibuku di saat-saat terakhir hidupnya.

Selesai sahaja kelas pada petang Jumaat yang hening itu, aku langsung menghubungi ibu saudaraku dengan meminjam handset sahabatku kerana telahpun kehabisan kredit. Air mata jelas mengalir di wajahku tanpa perlu diselindung lagi apabila kedengaran suara cu ina di corong telefon yang begitu sebak dengan pemergian ibuku. Tanpa membuang masa, aku terus meninggalkan rakan-rakanku yang lain untuk pulang ke bilik bagi menyiapkan segala keperluan diri untuk pulang ke kampung dengan ibu dan bapa saudaraku yang kebetulan tinggal tidak jauh dari tempat pengajianku. Rakan-rakanku mula mambanjiri ruang kamar yang sebelumnya menjadi tempat kami berbual panjang, berkongsi rasa dan segala cerita tetapi kini hanya ucapan takziah yang mampu kudengari daripada mereka. Waktu berbuka puasa semakin hampir, dan ketika itu kelihatan semua pelajar mula keluar dari asrama menuju ke dewan makan bagi menapau juadah untuk berbuka puasa pada petang tersebut. Aku terus menunggu ketibaan bapa saudaraku di samping memastikan tiada barang penting yang tertinggal sebelum berangkat pulang. Aku turut mengambil kesempatan waktu untuk berzikir dan membaca Al-Quran yang baru ku hafal sebanyak 7 juzuk bagi semester pertama.

Dari luar jendela, jelas kelihatan sebuah kereta Avanza milik paksu yang telah pun menunggu diluar bagi menjemputku pulang. Setelah bersalaman dengan para sahabat, aku terus menemui bapa dan ibu saudaraku yang tidak kurang sebak dan sayu atas peristiwa yang berlaku. Hujan renyai-renyai mula membasahi bumi seakan memahami isi hatiku yang dirundung kesedihan. Setelah beberapa minit keluar dari Darul Quran, paksu memberhentikan keretanya di sebuah kedai makanan yang terletak tidak jauh dari pekan Tg. Malim. Sebaik sahaja azan mahghrib mula berkumandang memenuhi ruang angkasaraya yang kemerah-merahan, kami mula menikmati juadah yang telah dipesan. Perutku tidak mampu menampung banyak makanan mengenangkan ibuku yang telah pun pergi menghadap ilahi. Abah sempat menghubungiku untuk mengetahui lokasi keberadaanku bersama paksu dan maksu. Setelah menunaikan solat maghrib dan isya’ secara jama’ taqdim bersama paksu, kereta Avanza mula meluncur laju di lebuh raya mengharungi kesibukan jalan yang agak sesak di waktu malam. Aku tidak dapat melelapkan mata sepanjang perjalanan kerana tidak sabar untuk menemui ibuku, oh tidak jenazah ibuku yang terlantar di rumah menanti kepulangan anak sulungnya.

Tepat jam 3 pagi, kereta milik paksuku tiba ke destinasi yang dituju. Di kebeningan subuh nan syahdu itu, aku dan angah meminta izin untuk memasuki ruang kamar pembaringan jenazah ibuku setelah mendapati masih ramai tetamu yang setia mengahadiahi ibu dengan bacaan ayat suci Al-Quranul Karim. Sebaik sahaja kakiku melangkah masuk ke ruang kamar tersebut hatiku bertambah sayu melihatkan keadaan ibu yang terbaring kaku di atas pembaringannya. Langkahku teras lemah dan perlahan namun ku kuatkan semangat untuk terus mendekati jenazah ibu. Sebaik sahaja kain yang menutupi wajah ibu ku singkap, air mataku kembali membasahi pipi saat menatap wajah sayu seorang ibu yang amat kusayangi. Memori silam serta kenangan manis bersamanya mula bermain di dalam kotak fikiranku. Ternyata dirinya terlalu berrmakna buat diriku, kasih sayang dan pengorbanan ibu yang telah membanting tulang memerah keringat demi membantu abah menyara keluarga sukar untuk kubalasi walaupun segunung emas dan permata yang menjadi maharnya. Adik-adikku yang telah lama menunggu ketibaanku dan angah mula beransur ke kamar masing-masing untuk berehat setelah kepenatan. Aku dan angah mengambil keputusan untuk terus disisi ibu bagi menghadiahinya ayat-ayat suci Al-Quran dengan harapan agar roh ibu dapat bersemadi dengan tenang di alam sana sebelum tibanya hari yang tidak ada manfaatnya harta dan anak pinak kecuali bagi mereka yang datang kepadaNya dengan hati yang sejahtera. Firman Allah itu masih segar dalam ingatanku sebagai peringatan buat umat manusia agar sentiasa mengingati mati. Selang beberapa jam kemudian, aku dan angah menemui abah yang kini keseorangan tanpa ibu disisi. Abah telah menceritakan perihal yang telah belaku di saat-saat terakhir hayat ibuku yang telah memanggil nama anak-anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir dengan penuh ketenangan atas nama Allah dan RasulNya. Aku dan angah sempat terlelap buat seketika waktu sebelum menantinya waktu sahur.

Tatakala waktu sahur menjengah, angah Ijah iaitu adik kepada abahku yang turut bermalam di rumah telah menyediakan juadah sahur berupa nasi dan telur mata bersambal sebagai alas perut bagi menampung segala kudrat yang bakal kami curahkan semasa pengurusan dan pengebumian jenazah ibu yang tercinta setelah terbitnya fajar waktu dhuha nanti. Aku, abah, adik-adik serta suadara mara yang lain menikmati juadah sahur tersebut sekadarnya sementara menanti waktu subuh yang bakal menjelang tidak lama kemudian. Setelah masuknya waktu dhuha, jenazah ibu mula dimandikan seterusnya dikafankan sebelum disembahyang dan dikebumikan. Di sebalik tabir yang tersingkap, jelas kelihatan susuk tubuh yang kini tidak lagi bermaya untuk melakukan apa-apa, susuk tubuh yang selama ini berkorban dan menjagaku dan adik-adik sejak kecil bagaikan menatang minyak yang penuh. Aku teringat akan suatu hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Sekiranya mati anak Adam maka terhapuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.” Mengenangkan kembali akan hadis tersebut, aku bersyukur kerana ibu mampu menyelasaikan segala amanatnya sewaktu di dunia dan apa yang mampu aku lakukan saat ini adalah dengan mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dirinya di dunia dan akhirat. Setelah jenazah ibu hampir selesai dikafankan, aku beserta ahli kelurga lain mula mendekati jenazah arwah ibu yang terbujur kaku, lantas aku mencium dahi ibu dan ku kucup keningnya sebagai penghormatan terakhir buat arwah. Sekali lagi, air mataku bergenang kembali menyingkap memori silam saat bersama ibu yang tercinta.

Van jenazah telah pun sedia menunggu di luar rumah untuk membawa jenazah ibu ke masjid yang terletak tidak jauh dari rumahku. Di keheningan pagi yang syahdu itu, tidak semena-mena, titisan-titisan mutiara suci mula berguguran dari dada langit yang suram melimpahkan muatannya yang sarat ke bumi seakan menangisi pemergian ibu yang ku sayangi. Aku mengiringi jenazah ibu yang telah pun siap dikafankan ke masjid untuk disembahyangkan. Bibirku tidak putus-putus berzikir dan melafazkan doa demi kesejahteraan ibu di alam sana. Setibanya di masjid, aku diberi peluang untuk mengimami solat jenazah buat arwah ibu. Hatiku meruntun pilu melihatkan jenazah arwah ibu yang kini berada dihadapanku. Suatu ketika ibu pernah menasihatiku dan adik-adik agar turut menuntut ilmu fardhu kifayah terutama mengenai pengurusan jenazah. Katanya lagi, bila ibu sudah tiada di dunia nanti, ibu benar mengharapkan anak-anaknya yang akan mengimami dirinya dan kerana itu, aku telah berada dihadapanmu demi menjalankan tanggungjawab yang pernah kau amanahkan padaku. Setelah menyelasaikan segala rukun dalam solat jenazah serta iringan doa buat arwah, jenazah kemudiannya diusung ke luar masjid untuk dimasukkan ke dalam Van Jenazah.

Destinasi seterusnya,yang juga merupakan destinasi terakhir bagi seluruh umat manusia di dunia ini adalah makam perkuburan. Jenazah ibu telah dibawa ke makam perkuburan yang tidak jauh dari masjid untuk dikebumikan. Aku sekali lagi diberi peluang untuk mengimami bacaan tahlil dan talqin di hadapan pusara ibu yang berbumbung dan berlantaikan sebuah pondok usang yang diwakafkan kepada perkuburan tersebut. Setelah pengebumian jenazah ibu selesai dilaksanakan, maka bermulalah bacaan talqin diikuti dengan tahlil yang dipimpin oleh adikku sendiri. Perasaanku menjadi sebak saat melafazkan kalimah suci ilahi. Adakalanya amat sukar bagiku untuk menahan perasaan tersebut namun ku gagahkan jua demi tanggungjawabku pada ibuku. Titisan mutiara jernih yang lebat kian beransur renyai setelah selesai jenazah ibu dikebumikan. Pusara ibu ku tatap sayu bersama memori terindah yang telah kami lakar bersama sepanjang hayatnya dan kenangan itu tidak akan pernah bisa aku lupakan walau nafas di hujung usia .

Tepat jam 12.00 tengahari, aku pulang ke rumah bersama ayah dan adikku. Aku tertidur keletihan mungkin kerana kepenatan perjalanan semalam yang masih berbaki. Esok, aku akan bertolak kembali ke Darul Quran bersama paksu dan maksu bagi meneruskan pengajian serta menduduki peperiksaan akhir semester yang hanya berbaki selama 4 hari.

Cukup sekadar ini, yang dapat aku nukilkan buat warkah kali ini, warkah yang kutulis dengan linangan air mata yang tiada hentinya apabila setiap saat kenangan bersama arwah ibu menikam memoriku. Tiada apa yang mampu aku lafazkan melainkan doa yang tulus dari seorang anak buat ibu tercinta. “Ibu, ketahuilah bahawa daku terlalu sayang padamu, hampir setahun setengah lamanya kau pergi meninggalkan kami sekeluarga tanpa memberi sebarang khabar berita. Harapan dan doaku, moga dirimu disinar cahaya kebahagiaan ilahi dan ditempatkan bersama para syuhada’ di syurga Firdausi.” Ameen.

0 comments:

Post a Comment