Baru-baru ini Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ)dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar Darul Quran telah menganjurkan sebuah program tahunan persatuan yang dikenali sebagai Inter-Family Games semester 1 FIZIQ 2010/2013 (INTERFAME ‘10). Program yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 9 Julai 2010(Jumaat) sehingga 11 Julai 2010(Ahad) menampilkan sebanyak 29 buah usrah yang terdiri daripada 17 usrah banin dan 12 usrah banat. Bertemakan jalinan ukwah yang mantap dikalangan peserta dan naqib, “Sinergi Huffaz, Mengimplementasikan Nukleus Dakwah” menjadi tema utama program ini dilangsungkan.
Jawatankuasa pelaksana program yang terdiri daripada pimpinan PERKEMAT sendiri bertungkus lumus menjalankan gerak kerja yang diamanahkan semata-mata untuk menjayakan program ini walau mehnah dan tribulasi sering menjadi halangan. Perjalanan gerak kerja yang singkat sebelum cuti mid sem ditambah dengan jangka masa selama seminggu sebelum program berlangsung benar-benar mencabar kemampuan kami. Namun atas semangat yang berkobar-kobar demi melaksanakan “hari keluarga” ini kami mampu melakukannya atas bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.
Jumaat (9 Julai 2010)
INTERFAME yang menyasarkan seluruh usrah semester FIZIQ membuka tirainya pada petang Jumaat lalu dengan majlis perasmian pembukaan bertempat di Auditorium Sheikh Mohd Noor. Selepas mendaftarkan diri, para peserta dikehendaki mengambil tempat di dalam audi sebelum majlis dimulakan. Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah program disusuli dengan ucapan serta perasmian oleh Ustaz Che Ibrahim bin Che Man selaku Pengarah Darul Quran, JAKIM. Seterusnya, majlis dilengkapkan dengan persembahan slide show pengenalan barisan koordinator Program INTERFAME ’10. Dengan perasmian pembukaan tersebut, Program INTERFAME ’10 membuka tirai.
Taklimat program oleh penyelaras program akh Wan Muhammad Bin Wan Yusof bermula sebaik sahaja perjalanan majlis perasmian selesai. Sambutan yang diterima amat menggalakan berdasarkan peratusan kehadiran para peserta. Pelbagai penerangan dijelaskan oleh penyelaras program terutama mengenai tentatif yang bakal berlangsung, serta aktiviti menarik yang bakal menanti mereka pada setiap slot. Turut sama berucap ialah akh Ahmad Humaidi Bin Mohd Sayuti yang bertindak sebagai Unit Disipiln dan Ibadah(DNI) progam ini. Antara isi taklimat ucapannya tentu sekali mengenai taklifat yang perlu diselesaikan oleh para peserta sepanjang program selain warta disiplin dan peringatan mengenai masa kehadiran peserta ke dalam setiap slot.
Tepat jam 4.30 petang, para peserta bersama Koordinator majlis bergerak ke Masjid Darul Quran bagi menunaikan fardhu Asar secara berjemaah sebelum aktiviti seterusnya dilanjutkan. Bermula pada jam 5.30 hingga 6.30 petang, slot riadhah telah diadakan di perkarangan Masjid Darul Quran. Modul yang digunakan ialah permainan “Kesatuan Negara Islam” yang menggunakan peralatan baldi dan air. Selepas acara tamat, para peserta diminta untuk memberi sedikit ulasan terhadap modul yang telah dijalankan.
Kegembiraan jelas tergambar diwajah para peserta sebagai tanda kepuasan bermain bersama dalam slot tersebut. Sahutan mujahid bergema di angkasa diserta laungan keramat Allahuakbar menambah gamit suasana. Pakaian yang lembap dan basah akibat simbahan air langsung tidak dipedulikan malah gembira dan bersyukur kerena diberi kesempatan untuk mengikuti program ini. Para peserta kemudiannya berpeluang menjamu hidangan makan malam yang disediakan di dalam talam mengikut usrah. Pelbagai tempat menjadi destinasi pihan usrah sebelum menjamah nasi yang berlaukkan ikan masak merah. Kedinginan suasana disertai angin sepoi-sepoi bahasa seakan-akan mengusik wajah para peserta yang sedang asyik menjamah hidangan bersama usrah masing-masing.
Azan Maghrib telah pun berkumandang menandakan masuknya waktu Maghrib seiring terbenamnya fajar di ufuk barat. Seluruh jemaah Darul Quran termasuk para peserta menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di masjid. Para peserta juga diberi peluang untuk mencari modal dan mengulang sementara menjelangnya waktu Isya’ setengah jam kemudian. Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh para peserta disamping menyelesaikan taklifat program yang diamanahkan.
Setelah menunaikan solat isya’ berjemaah, semua peserta dikerah untuk bergerak kembali ke auditorium bagi meneruskan slot ceramah yang pertama bertajuk “Muliaku Kerana Syahadah”. Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Ismail Sabri yang merupakan graduan pelajar Darul Quran dan kini merupakan seorang peguam syarie. Pelbagai isi penting telah diterangkan serta dikupas dengan terperinci dalam bentuk yang santai oleh ustaz Ismail demi meriah kefahaman pelajar. Kepentingan syahadah sebagai panduan hidup muslim terasa indah untuk dihayati khususnya dalam kehidupan kita sebagai individu muslim di muka bumi Allah s.w.t.
Slot mujadalah atau debat diteruskan dengan isu hangat yang dikaitkan dengan isu semasa bertajuk “Gejala Pembuangan Bayi-Salah Siapa?”. Modus operandi yang diarahkan kepada peserta ialah di mana mereka dipecahkan kepada lima kumpulan terdiri daripada golongan ulama’, kerajaan, media massa, ibu bapa dan rakan sebaya. Kumpulan banin dan banat diasingkan terlebih dahulu sebelum pecahan kumpulan dimulakan. Pesrta banin di auditorium manakala peserta banat di kelas sebelah kelas Orang Kurang Upaya(OKU). Pelbagai hujah dilontarkan daripada kumpulan ibu bapa kepada kerajaan manakala golongan ulama terus menerus dipersalahkan oleh rakan sebaya dan sebaliknya. Sesi penyalahan terus berjalan semata-mata untuk mencari jawapan sebenar disebalik tajuk perdebatan tersebut. Kesimpulannya, setiap pihak tidak harus menuding jari pada pihak yang lain dan terus-menerus mencari kesalahan orang lain sedangkan lakukanlah perubahan pada diri masing-masing supaya mampu meningkatkan prestasi ke arah yang lebih baik di masa hadapan.
Perjalanan INTERFAME pada hari pertama berjalan lancar diakhiri minum malam bersama usrah serta bermalam di Masjid Darul Quran sebagai persediaan Qiamullail keesokannya.
Sebelum fajar menyinsing dari sebelah timur, kedengaran azan Subuh berkumandang sayup-sayup di angkasa memanggil seluruh jemaah bertandang ke masjid bagi mengerjakan solat subuh berjemaah. Bunyi siren daripada healer kedengaran jelas di asrama untuk mengejutkan para jemaah agar bangun bersiap lantas menyahut seruan Ilahi. Selepas selesai menunaikan solat subuh, para peserta diminta sekali lagi ke auditorium untuk mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh seorang pelajar Universiti Islam Madinah juga merupakan bekas mahasiswa Darul Quran beberapa tahun lalu. Beliau yang disebutkan ialah akh Khairul Nasirin Bin Abdullah dengan tajuk kuliah subuh iaitu “Pepohon Untaian Islam”. Kuliah yang lebih menjurus kepada penerangan ciri-ciri khusus Islam amat penting sebagai pendedahan awal kepada peserta. Kuliah berlangsung selama 45 minit dan berakhir pada jam 7.45 pagi.
Setelah menikmati sarapan pagi di dewan makan, para peserta diberi kelonggaran unutk melakukan aktiviti kendiri khususnya bagi mereka yang tidak terlibat dengan Seminar Kepimpinan Huffaz yang dianjurakan oleh Unit Disiplin Hal Ehwal Pelajar Darul Quran dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran. Seminar yang mewajibkan kehadiran sekalian Exco PERKEMAT, dan perwakilan setiap semester serta terbuka kepada pelajar yang berminat berlangsung selama beberapa jam sehinggalah tamat pada jam 1.00 tengahari.
Selepas menunaikan solat zohor berjemaah, para peserta dikumpulkan kembali bagi meneruskan perjalanan program dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Fadhlan bin Sugiman, bertajuk “Konsep Ibadah Mengikut Perspektif Islam”. Walaupun keadaan sedikit suram berdasarkan waktu kemuncak di mana ramai manusia lebih gemar memejamkan mata, namun semangat mujahadah melawan nafsu memangkin nafas mujahid yang tertanam dalam lubuk hati pesrta sehingga mereka mampu memberi tumpuan sepanjang ceramah disampaikan. Bertemakan pakaian sukan pada petang itu membuatkan suasana sedikit berlainan, sesuai dengan tema program berkaitan hari keluarga.
Program dilanjutkan lagi dengan pembahagian kumpulan usrah banin dan banat untuk menjalankan slot latihan dalam kumpulan(LDK) di tempat-tempat yang ditetapkan. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut usrah dan setiap kumpulan dikehendaki menyelesaikan tugasan yang diberi. Tugasan mereka adalah pembentangan berdasarkan ceramah yang pertama dan kuliah subuh. Setelah pembahagian kumpulan selesai, peserta diberi masa untuk menyediakan pembentangan mereka sebelum dipanggil koordinator dalam sesi pembentangan.
Selang beberapa minit kemudian, setiap kumpulan diminta membentangkan tajuk kumpulan masing-masing kepada peserta lain untuk lebih kefahaman dan penjelasan. Sesi provokasi turut berlangsung demi memberi gambaran dan kefahaman yang lebih jelas daripada para koordinator kepada para peserta. LDK yang berjalan selama hampir sejam diakhiri dengan penerangan kesimpulan tajuk oleh akh Marwan Bukhari Bin Ab. Hamid selaku Exco Lajnah Dakwah dan Tarbiyah setelah kesemua peserta berkumpul kembali ke audi.
Semua peserta menunaikan solat asar berjemaah di surau pentadbiran kerana kelewatan untuk berjemaah di masjid. Walaupun sedikit sempit, namun ruang yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menjimatkan masa. Baki masa yang tinggal membolehkan para peserta melakukan aktiviti sendiri sebelum perjalanan program diteruskan pada malam harinya.
Bermula jam 8.00 malam setelah selesai menunaikan solat maghrib, para peserta mulai memenuhi ruang-ruang kosong yang terdapat di kerusi auditorium. Sebentar lagi, forum perdana yang bakal mengupas sebuah tajuk penting iaitu“Islam Cara Hidupku” akan menampilkan dua orang panelis hebat yang terdiri daripada bekas graduan siswa siswi Darul Quran sendiri. Mereka yang dimaksudkan ialah Ustaz Zool Amali bin Mohd Nor (Mantan Yang Dipertua PERKEMAT DQ 06/07) dan Ustazah Farhana binti Omar (Bekas pelajar Darul Quran JAKIM), manakala moderator yang terpilih merupakan salah seorang fasilitator program iaitu akh Mohd Najmuddin Rabbani.
Pelbagai soalan telah diajukan kepada ahli panel berkenaan tajuk yang dibincangkan. Kupasan yang begitu teratur beserta analogi mudah serba sedikit membantu pelajar menghadam tajuk yang sedang diwacanakan. Gimik “talkshow” yang telah pun diatur awal oleh pihak penyelaras program merupakan suatu revolusi baru yang berlaku ketika sesi forum berlangsung di Darul Quran. Talkshow tersebut diketuai oleh akh Che Faizul Azhar Bin Che Mat daripada semester IRSYAD yang berhasil menarik perhatian umum tentang kehadirannya dalam penuh kejutan. Walaubagaimanapun, perjalanan forum tetap berjalan seperti biasa sekalipun agak memakan masa. Namun input yang diterima cukup menggegarkan paradigma adik-adik semester FIZIQ dalam menilai Islam sebagai agama yang syumul dan diredhai Allah. Majlis tamat jam 10.30 malam.
Taklimat penyelaras program menyusul setelah forum selesai berlangsung berkenaan tentatif bagi keesokan paginya. Setelah menyanyikan lagu tema, para peserta dikerah ke surau pentadbiran untuk segera menunaikan solat Isya’ seterusnya bersama para naqib masing-masing untuk slot Muhasabah. Slot bebas yang tidak mengikat para paserta dan naqib walau ke mana jua, dimanfaatkan sebaiknya oleh kedua belah pihak dan ada di antara usrah yang menjalankan slot terebut di bilik, masjid, tasik dan sebagainya bergantung kepada kreativiti naqib dalam mempengaruhi suasana muhasabah ketika itu. Para pelajar dibenarkan tidur mengikut tempat yang mereka ingini asalkan bersama usrah masing-masing.
Keesokan paginya, perkara yang sama dilakukan seperti subuh yang sebelumnya untuk menunaikan kewajipan diri sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah. Ibadah solat ditunaikan secara khusyuk di kala keheningan subuh masih mencengkam tubuh mereka yang mengabdikan diri kepada Nya. Usai mengerjakan solat subuh berjemaah, para peserta mengambil peluang untuk menambah modal sebagai persediaan kelas keesokan harinya.
Pada jam 8.00 pagi, kesemua peserta banin dan banat dikumpulkan di Dataran Masjid Darul Quran sebelum bertolak ke destinasi masing-masing untuk slot riadhah. Pembahagian kumpulan diteruskan seperti biasa setelah warm up dan stretching dilaksanakan bersama. Beberapa usrah banin dan banat dikehendaki berkumpul di bawah maktabah manakala sebahagian besar yang lain hampir memenuhi ruangan dataran masjid yang agak luas.
Sesi provokasi oleh koordinator berjalan seperti biasa untuk menguji kefahaman adik-adik mengenai tajuk ceramah yang telah dibentangkan iaitu “Konsep Ibadah” dan “Islam Sebagai Ad-Deen”. Pelbagai hujah dikeluarkan untuk menerangkan lebih mendalam tentang persoalan yang bermain di kotak fikiran. Namun kerana masa yang singkat dan faktor cuaca yang semakin terik telah mengakhiri sidang pembentangan LDK dengan kesimpulan yang disampaikan oleh akh Fakhrur Ridzwan Bin Othman, Yang di Pertua PERKEMAT DQ 09/10.
Sebelum bertolak ke Kem Bina Semanagat bagi banin dan Taman Millenium bagi banat, para peserta berpeluang menjamah sarapan pagi untuk mengumpul tenaga ketika menjalani beberapa aktiviti lasak di sana nanti. Peserta banat telah menaiki sebuah bas yang mengangkut sejumlah peserta dalam satu perjalanan ke Taman Millenium manakala pesrta banin hanya berjalan kaki melalui pagar belakang kampus yang telah dibuka.
Setibanya ke destinasi masing-masing, unit riadhah telah mengetuai keseluruhan aktiviti yang bakal dijalankan. Pelbagai cabaran dan halangan menanti para peserta di sekitar kawasan tersebut . Hal ini menjadikan mereka lebih aktif dan bersedia daripada segenap sudut untuk berhadapan dengan segala kemungkinan.
Alhamdulillah, kerana kebanyakan halangan mampu di atasi oleh majoriti peserta walaupun masih ada yang belum mampu melepasinya. Kesungguhan dan semangat jitu jelas terlakar pada rona wajah para peserta ketika melepasi halangan demi halangan sebelum mampu menjuarai kumpulan terbaik dalam INTERFAME 2010.
Aneka modul dan permainan disediakan kepada para peserta atas dasar ukhwah yang cuba diterapkan dikalangan naqib dan peserta serta sesama mereka sendiri. Trademark usrah yang berlainan setiap satunya membangkitkan roh semangat yang padu sebelum meneruskan slot riadhah yang berikutnya. Doa wehdah pengikat ukhwah dilaungkan oleh pengerusi Semester FIZIQ sendiri iaitu Mohd Hasnan.
Tepat jam 12.20 tengahari, para peserta mula bersiap dan berkemas untuk pulang ke auditorium. Sebentar lagi, bakal diadakan majlis perasmian penutup INTERFAME 2010 yang dirasmikan akh Muhammad Fakhrur Ridzwan Bin Othman selaku Yang di-Pertua PERKEMAT DQ sesi 09/10. Majlis tersebut sekali lagi menampilkan dua kompilasi khas daripada akh Najmuddin dan akh Faizul sebagai pengerusi majlis.
Setelah perasmian berlangsung, maka tibalah saat-saat yang dinantikan iaitu penyampaian hadiah kepada usrah-usrah berkenaan. Kesemua usrah banin dan banat berjaya memenangi hadiah yang dijanjikan dengan anugerah usrah yang berbeza setiap satunya. Semoga anugerah yang diterima bakal dijadikan iktibar dalam menambah kemanisan ukhwah dalam sesebuah usrah. Dengan penyampaian hadiah tersebut, maka berakhirlah program INTERFAME FIZIQ 2010 dengan jayanya. Semoga kenangan manis serta pengalaman yang ditimba sepanjang program diadakan mampu mencetus paradigma diri dikalangan peserta untuk melakukan perubahan yang lebih baik di masa hadapan. Majlis tamat pada jam 2.30 petang.
Secara keseluruhannya program ini bertujuan melahirkan para Da’ie yang mampu mencorak ummah pada masa akan datang sama ada dari segi thaqafah, fizikal, mental dan juga spritual di samping memperkasakan usrah supaya para Huffaz sedar bahawa usrah adalah satu elemen yang penting sebagai wadah untuk menggerakkan umat Islam. Seterusya menjadi titik bidayah untuk memantapkan lagi ukhuwwah dalam mencapai Wahdatul Fikr, Wahdatul Qalb dan Wahdatul Amal.
Alhamdulillah, program ini berjalan lancar bermula dari hari pertama iaitu 9 Julai 2010 bersamaan 26 Rejab 1431H (Jumaat) sehinggalah 11 Julai 2010 bersamaan 28 Rejab 1431H (Ahad). Meskipun terdapat beberapa masalah dari segi teknikal namun dengan komitmen dan sikap proaktif daripada semua yang terlibat, masalah tersebut berjaya diatasi dengan tenang dan terkawal. Jutaan terima kasih diucapkan kepada yang terlibat samada secara langsung atau tidak. Semoga dengan usaha sebegini, Allah ‘Azzawajalla akan melimpahkan rahmat dan memayungi kita semua dibawah lembayung rahmat dan kasih sayang-Nya. Wallahua’lam.
Disediakan Oleh,
Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi (LATERINFO)
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ)
Sesi 2009/2010
0 comments:
Post a Comment