Alhamdulillah, segala puja dan puji hanyalah bagi Allah s.w.t di atas keizinan dan kesempatan yang diberikan untuk menitiskan tinta secebis harapan buat para sahabat yang dikasihi dan dirahmati Allah s.w.t sekalian. Perkongsian yang tidak seberapa ini diharapkan bakal menjadi sebuah mahar bernilai di sisi Allah sebagai risalah dakwah buat semua.
Kali ini, saya berhasrat untuk berkongsi sebuah lagi kisah menarik yang mengandungi mesej bermanfaat dan amat berkait rapat dengan kehidupan kita. Ritma kehidupan yang berwarna-warni seringkali mempesonakan kita dengan ragam manusia yang pelbagai. Walau setinggi manapun darjat kita disisi manusia namun penelitian Allah terhadap darjat seseorang hamba disisiNya adalah berdasarkan ketaqwaan yang dimiliki dan atas dasar kecintaan yang mendalam kepada Pemilik Cinta Agung.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud: “…. Sungguh, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa….”
Maha Kuasa Allah atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Namun sejauh manakah pembuktian amalan yang kita pamerkan sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t? Renung dan fikirkanlah. Konklusinya, tepuk dada tanyalah IMAN!
Baiklah, kisah yang ingin saya kongsikan bersama sahabat sekalian berkisar kebijaksanaan seseorang yang berbeza-beza mengikut bidang yang mereka kuasai. Walau selemah manapun seorang insan dalam menerokai erti kehidupan namun mereka masih punya harga diri dan kelebihan yang Allah ciptakan buat sekalian insan. Untuk mengikuti kisah yang lebih lanjut berkenaan perbezaan kebijaksanaan manusia, ikutilah kisah di bawah dan cuba kaitkannya dalam kehidupan kita. Kepada pembaca yang budiman, selamat menghayati dan selamat membaca!
Satu hari seorang professor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang dikayuh oleh seorang pengayuh sampan. Di tengah-tengah sungai, professor bertanya: “Kau pandai menulis dan membaca?”
“Tidak, saya buta huruf,” jawab pengayuh sampan.
“Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu. Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup.”
Tidak lama selepas itu, professor bertanya lagi: “Kamu ada membuat simpanan wang di bank?”
“Tidak, pendapatan saya hanya cukup-cukup makan.”
“Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tiada wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti.”
Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan begitu banyaknya sehingga meneggelami permukaan sampan. Si pengayuh sampan bertanya kepada professor: “Tuan, apakah tuan pandai berenang?”
“Err, err… saya tidak tahu,” jawab professor panik.
Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!”
Begitulah sebuah kisah analogi kehidupan yang mempunyai hubung kait dengan realiti kehidupan insan. Watak professor boleh dikaitkan sebagai golongan ilmuwan sedangkan si pendayung sampan diibaratkan sebagai manusi biasa yang mencari rezeki dengan sumber pendapatan bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Sebagai pengajaran, Allah tidak menciptakan manusia bodoh. Sebaliknya, Allah mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Setiap kita mesti mengenal di mana kebijaksanaan itu dan meningkatkannya ke tahap maksimum. Jangan rasa hina diri sebaliknya binalah keyakinan diri. Allah menciptakan setiap manusia untuk berjaya.
Buka Hati, Buka Minda, Kenali Potensi, Kenali Diri!
Umar Mujahid
Isnin/6.19 petang
12 Julai 2010/29 Rejab 1431 Hijrah
0 comments:
Post a Comment