Isu Penggunaan Facebook: Ketagihan Dikalangan Remaja Masa Kini

Seiring dengan pembangunan teknologi dalam era globalisasi tanpa sempadan, Malaysia akhirnya bangun untuk mengejar hasrat dan cita ke arah merealisasikan wawasan 2020 yang diimpikan. Sejajar dengan matlamat itu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai teknologi yang mampu menyampaikan maklumat walau dalam kadar kelipan mata. Mungkin ramai di kalangan kita yang masih belum mengetahui akan hakikat revolusi teknologi yang kian berkembang, namun inilah realiti yang sedang berlaku khususnya dikalangan anak-anak remaja masa kini yang gemar bergaya dengan telefon bimbit, laptop hatta MP3 keluaran terbaru tanpa mengira perbelanjaan kos yang dikeluarkan untuk membeli barangan tersebut.

Perkara ini sungguh menyedihkan bagi saya sendiri sebagai seorang remaja yang berkesempatan untuk meneruskan kehidupan di dunia beyond the limit. Kalau dahulunya, manusia berhubung dengan isyarat atau perantaraan burung dan sebagainya, namun revolusi teknologi telah mengubah segalanya dalam sekelip mata sehingga ada yang mengatakan “ dunia di hujang jari ”. Perkembangan teknologi yang begitu pesat “bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan” benar-benar membuka mata manusia melalui sistem komunikasi tanpa wayar( wireless ) dan apa yang lebih mengajaibkan, manusia kini mampu berhubung “face to face” melalui kaedah 3G, Yahoo Messsenger, Streamyx dan sebagainya. Gambaran ini jelas menunjukaan bahawa dunia kini dilanda wabak teknologi yang dahsyat sehinggakan ramai dikalangan remaja khususnya terkena suatu sindrom yang dikenali sebagai “techno syndrome”.

Virus yang kian merebak dikalangan remaja kini begitu membimbangkan apabila mereka mudah sekali terpengaruh dengan teknologi yang diperkenalkan serta ingin mencuba perkara baru. Hal ini memungkinkan mereka yang kurang bernasib baik mencari wang untuk mendapatkan apa yang mereka impikan setelah dipengaruhi teman persekolahan yang kadangkala ingin memperdayakan.

Malangya, ada di antara mereka yang sanggup menggunakan jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan mencuri atau melakukan salahlaku jenayah yang lain sehingga merosakkan masa depan mereka sendiri. Bagi mereka yang berkemahiran tinggi dalam bidang IT terutamanya, sering menyalahgunakan teknologi dengan menyebarkan virus-virus yang mampu membantut pemindahan data serta proses penyimpanan dan rekod. Tanpa kita sedari, anak-anak remaja kini telah menjadi penyangak atau penjahat siber di zaman serba maju masa kini. Walaupun hanya segelintir, namun “virus-virus” inilah yang akan terus membiak bagaikan “duri dalam daging” yang mampu memakan diri mereka sendiri.

Memang sudah waktunya zaman berubah, semua yang kelihatan sulit dan sukar pada zaman dahulu seperti mengirim surat, menghubungi seseorang di suatu tempat jauh kini menjadi sangat mudah tanpa menggunakan banyak tenaga yang banyak.

Seiring dengan berkembangnya teknologi, metaformasis pun berlaku. Hanya menggerakkan hujung jari, klik kanan dan klik kiri, sekelip mata apa jua informasi dunia boleh kita genggam. Manusia yang berada di benua yang berbeza, negara yang berbeza dapat kita kirimkan berita dengan mudah tanpa sebarang halangan. Risiko berita tidak sampai atau isi kandungan yang hendak disampaikan berubah juga turut kurang. Tidak perlu lagi sang burung meredah hujan, badai dan kawasan gurun, atau khidmat posmen dengan basikal tuanya, kerana kini sang e-mel, blog, Facebook, Friendster, Twitter, dan My Space, telah mengambil alih tugas menyampaikan info dan berita.

Berbalik kepada isu yang telah di “highlight” kan di atas, Facebook merupakan suatu laman web yang baru diperkenalkan kepada “internet surfer” untuk mencari kenalan baru di samping mengikuti perkembangan masa mengenainya dengan cara yang lebih sistematik dan tersusun berikutan kadar liputannya yang luas sehingga mampu berhubung ke luar Negara. Bertemakan konsep “friendly” yang mengetengahkan kelebihan Facebook sebagai tempat mencari kenalan lama atau baru, ianya juga sesuai dijadikan medium dakwah yang terbaik andai tidak disalah gunakan. Hal ini kerana, uslub dakwah tidak hanya tertumpu kepada dakwah secara lisan dan perbuatan malah pada penulisan. Alangkah baiknya, andai majoriti dikalangan aktivis dakwah menggunakan media untuk menyampaikan buah fikiran melalui blog atau Facebook. Tidak menguasai bidang ini merupakan alas an yang sering dicetuskan oleh mereka yang malas mengikuti perkembangan teknologi di mana rata-ratanya lebih gemar berada di masjid dengan berceramah atau sebagainya tanpa menyedari realiti perubahan yang sedang berlaku di sekelilingnya.

“Demam Facebook” merupakan isu yang kian bermain di bibir mulut insan mutakhir ini. Sehubungan dengan itu, Tinta Secebis Harapan telah berhasrat untuk memaparkan isu ini sebagai satu diskusi dan perkongsian bersama bagi menganalisa tahap ketagihan Facebook dikalangan remaja terutamanya.

“Syafiq, aku dah ada facebook la, nanti jangan lupe add aku ye”,

Ko dah wat facebook ke blum? Ak dah ade tau, siap ramai kawan lagi tu..”

“Eh, rugi tau kalau x wat!”

“Ala, x ssh pun nak wat, free plak tu..”

Dialog di atas merupakan senario yang sering melanda kalangan remaja yang “ketagih” dengan Facebook yang kononnya telah mempertemukan mereka dengan sahabat lama. Kebanyakan mereka masih belum menyedari asal usul Facebook yang merupakan antara rantaian agenda Yahudi untuk menghanyutkan manusia dalam arus duniawi yang melalaikan. Sehingga kebanyakan mereka alpa dalam dunia maya yang mengghairahkan, lantas meninggalkan kewajipan yang relitinya lebih banyak daripada waktu.

Ketagihan yang biasanya berlaku dikalangan remaja dalam isu Facebook ini semakin sukar untuk dibendung seandainya tiada tindakan diambil oleh pihak tertentu sebagai panduan dan nasihat serta tips berguna kepada penggemar Facebook agar tidak melewati batasan-batasan yang ditetapkan demi menjaga kemaslahatan umat di masa hadapan. Sekalipun perhubungan yang dijalinkan melalui gerakan ligat jari yang menari-nari di atas abjad-abjad tertentu membentuk untaian kata yang mampu merubah perasaan seseorang , perkara itu adalah dilarang sekiranya mendekati zina. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Isra’ yang bermaksud: “ Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.”

Berdasarkan ayat daripada Kalamullah di atas, jelas kepada kita bahawa segala perkara yang mendekati zina adalah haram hukumnya di sisi Islam. Bagi mereka yang benar-benar faham akan hakikat ini, seharusnya menegur serta membimbing rakan sebaya yang masih alpa dengan dunia siber malah bukan turut hanyut dengan ajakan sahabat yang ternyata hasil daripada bisikan halus dan godaan syaitan. Perjuangan menegakkan hukum Allah ternyata memerlukan kesabaran dan kekuatan untuk berhadapan segala mehnah tribulasi kerana di hujang penantian kelak pasti kita akan merasai suatu kemanisan yang tidak akan bisa digambarkan melalui kata-kata atau apa jua sekalipun.

Tahukah kita sebenarnya kesan daripada bersilaturahim secara menatap muka lebih menghasilkan kesan yang mendalam daripada hanya menulis dan mengemas kini status, memeri komen tentang gambar, menulis nota teman kita di blog, Facebook atau medium maya yang lainnya. Apa yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam akhirnya sedikit demi sedikit tercapai. Mereka berjaya memisahkan hubungan erat sesama Muslim hanya melalui teknologi. Inilah perang pemikiran. Maka bagaimanakah caranya bagi kita sebagai generasi muda yang proaktif untuk menangani masalah ini?

Jawapannya cukup mudah. Jadikan ia sebagai senjata yang memakan tuannya. Sebarkanlah dakwah Islamiah sebanyak mungkin dengan menggunakan multimedia dan ICT sebagai wasilah dalam menyeru kenalan rapat kepada hakikat Islam yang sebenar dengan cara yang berhikmah tanpa menyerang secara “bertubi-tubi”. Pendekatan secara halus adalah lebih berkesan berbanding pendekatan yang dilakukan secara langsung demi menjaga hati mad’u. Selain itu, Islam telah mengajarkan kita untuk menjaga pandangan terutamanya sewaktu melayari internet yang pada realitinya lebih mendedahkan pelayarnya menemui perkara yang jarang ditemui. Ada kalanya laman web yang tidak kita kehendaki muncul secara tiba-tiba dengan menayangkan peraduan sambil diselitkan gambar lucah bagi meracuni pemikiran umat Islam. Kerana itu, setiap pelayar internet harus lebih berhati-hati dengan agenda kafir yang sedang giat mencari jalan untuk menyesatkan umat Islam dengan perkara yang melalaikan serta merosakkan akidah.

Jagalah batas pergaulan. Jangan berlebih-lebihan dalam berteman dengan kawan jenis di dunia maya kerana kesannya sama seperti kita berteman di dunia nyata. Hati tidak dapat dibohongi dan perasaan tidak dapat disembunyikan. Ihtilat atau batas pergaulan antara lelaki dan perempuan mestilah dijaga sebaiknya sekalipun hanya ber”chatting” di alam maya. Namun, hati-hatilah! Jangan sampai menjerumuskan diri ke jurang neraka kerana tebaran pesona yang tidak sepatutnya dilakukan.

Merujuk kepada artikel yang telah saya “post”kan April lalu, telah menyebut tentang beberapa tips bagi pengguna facebook sebagai garis panduan agar tidak tersasar semasa melayarinya. Terima kasih saya ucapakan buat para pembaca yang mengambil ihtimam dan sudah pun beramal dengan tips yang diberikan, mudah-mudahan Facebook dijadikan sebagai medium dakwah siber di samping menyeru para sahabat dan kenalan ke arah merealisasikan amar ma’ruf dan nahi munkar.

“Syabab Berkualiti, Pencetus Generasi Rabbani”

Umar Mujahid

2.00 pagi

19 Mei 2010/5 Jamadilakhir 1431 H

0 comments:

Post a Comment