Isu Penghalalan Judi: Siapa yang patut dipersalahkan?

Mutakhir ini, kita telah digemparkan dengan beberapa berita yang kian hangat diperkatakan baik di dada akhbar, corong-corong radio, kaca televisyen dan sebagainya. Hari ke hari, masalah umat Islam semakin bertambah bukanlah berkurang jumlahnya, sedangkan pelbagai usaha dilakukan demi membasmi gejala kuning yang kian menular di kalangan umat Islam sendiri. Golongan remaja khususnya semakin jauh dihanyut arus duniawi apabila mereka lebih gemar berfoya-foya bagaikan kutu malam di pesisiran jalan. Kebebasan yang mereka miliki sering kali menimbulkan persoalan dalam benak fikiran kita tentang tanggungjawab kedua ibu bapa mereka?

Pernahkah mereka mengambil tahu tentang keadaan anak mereka sekiranya berada di luar rumah? Tahukah dengan siapa anak mereka berkawan? Dan apa yang lebih dikhuatiri seandainya anak mereka terutama si gadis seringkali pulang lewat ke rumah?

Seperti yang kita sedia maklum, isu pembuangan anak di merata tempat semakin berleluasa baik di ceruk semak, saliran longkang dan yang paling menyedihkan di lubang jamban. Mengikut statistik daripada Hospital Kuala Lumpur, seramai hampir 17 orang anak luar nikah lahir lahir setiap minit. Kejadian luar biasa ini jelas menunjukkan keterlanjuran para remaja hari ini yang terkandas dari lorong akdiah yang sebenar. Mereka seakan-akan hilang pedoman dalam memandu kehidupan kea rah cara hidup berlandaskan ad-deen. Persoalan sekarang, siapakah yang patut dipersalahkan?

Apakah tanggungjawab pemimpin negara ini? Sampai bilakah kita harus menanggung dosa dengan membiarkan maksiat berlaku di merata tempat tanpa usaha mencegah sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah..” Ketahuilah muslimin muslimat sekalian, bahawa bala bencana tidak akan hanya menimpa sebilangan orang yang melakukan maksiat bahkan jua kepada orang yang melakukan amal soleh namun tidak berusaha untuk membawa manusia lain ke jalan yang diredhaiNya.

Realiti yang berlaku kini, jelas membuktikan ketidakcaknaan pemimpin pada hukum Allah yang termaktub dalam sumber perundangan pertama Islam. Judi merupakan sesuatu permainan yang melibatkan pertaruhan wang ringgit atau yang bersamaan dengannya bertujuan mengaut keuntungan hasil kekalahan dan kekecewaan orang lain. Firman Allah s.w.t telah menyebutkan tentang pengharaman arak dan judi secara jelas dalam surah Al-Baqarah ayat ke 219: “Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang khamar dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya.” Dan mereka menanyakan kepadamu (tentang) apa yang (harus) mereka infakkan. Katakanlah, “Kelebihan (dari apa yang diperlukan.” Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadaMu agar kamu memikirkan.

Namun apa yang berlaku pada hari ini menjelaskan kepada kita bahawa hidup tidak selalunya indah, dan langit tidak selalu cerah. Lesen judi bola yang diluluskan oleh pemimpin kita menggambarkan kejahilan agama yang berlaku disebalik fenomena hangat yang terselindung dibalik isu besar ini. Kejohanan Piala Thomas 2010 yang baru sahaja berakhir dengan menyaksikan kekalahan Malaysia kepada China seolah-olah telah menutupi cetusan kontroversi yang berlaku impak daripada isu penghalalan judi tersebut.

Atas kesedaran beberapa pihak yang bertanggungjawab mempertahankan Islam di mata dunia, pelbagai demonstrasi telah diadakan untuk menyatakan ketidak puasan hati rakyat terhadap keputusan melulu yang diambil oleh pemimpin yang tidak asing lagi bagi kita hari ini. Tindakan kerajaan yang menganugerahkan lesen judi sukan kepada kumpulan Berjaya sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang berlangsung awal Jun ini terus dibantah rakyat. Jumaat lepas telah menyaksikan beberapa siri demonstrasi diadakan di seluruh Negara sebaik sahaja selesai solat Jumaat. Di KUALA TERENGGANU, lebih seribu umat Islam berkumpul di hadapan Masjid Pengadang Baru bagi menyatakan bantahan.

Di PULAU PINANG, demonstarsi pembantahan lesen judi bola berlangsung di hadapam Masjid jamek Permatang Janggus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat. Demonstrasi yang digerakkan Pemuda PAS Negeri itu berlangsung selama 45 minit dan dihadiri lebih 400 jemaah. Turut hadir bersama, Ketua Pemuda Pas Negeri, Ustaz Yusni Mohd Piah ketika berucap membidas Pemuda UMNO kerana tidak bangkit menyuarakan bantahan sedangkan isu judi menyentuh sensitiviti umat Islam. “Ia bukan perkara main-main untuk diperjuangkan sebaliknya ia adalah perjuangan akidah kerana perjudian tetap diharamkan dalam Islam tidak ada dolak-dalik dalam soal ini,” tegasnya.

Di IPOH, demonstrasi membantah kelulusan judi bola sepak Piala Dunia diadakan di Masjid Negeri Sultan Idris Shah 2 selepas Jumaat. Himpunan aman anjuran Pemuda PAS Perak itu dihadiri lebih seribu orang yang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan(NGO) termasuk NGO bukan Islam.

Kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap mukallaf dalam menyebarkan serta melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Dalam suatu hadis yang berkaitan dengan kepentingan suruhan amar ma’ruf dan nahi munkar yang bermaksud: “Sesiapa pun daripada kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan(kuasa) kamu, jika tidak mampu cegahlah dengan lisan(percakapan), dan seandainya tidak berkemampuan jua maka bencilah dengan hati kerana ia adalah selemah-lemah iman.”

Menyoroti sirah Nabi Allah Ibrahim a.s yang telah meobohkan berhala sembahan golongan kafir sehingga ditangkap oleh Raja Namrud lalu dikenakan hukuman bakar hidup-hidup. Di sebalik kehangatan bahang api yang mampu membakar apa sahaja yang melintasi, terdapat sekawan burung yang sedang merencanakan sesuatu untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s. Namun seekor daripada mereka telah bertekad untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s walau terpaksa berhadapan kematian melalui kemaraan api yang membahang sekitarnya. Berbekalkan paruh kecil miliknya yang diisi dengan air untuk memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim a.s, burung tersebut Berjaya merembes keluar air dari paruhnya dan setibanya dia bersama sekawaan burung tadi, lalu ditanyakan kenapa dia sanggup mengharungi bahang api yang panas untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s? Burung tersebut lantas menjawab dengan hati yang lapang, bahawa apa yang dilakukan tadi adalah demi melakasanakan kewajipannya menyelamatkan seorang insan mulia disisi Allah agar kelak tidak dipersoalkan di akhirat.

Ayuh! Sedarlah insan dari mimpi lena yang membuai tidurmu agar bangkit bersama-sama untuk berjuang menegakkan agama Allah yang tercinta. Moga dengannya Islam akan kekal terpelihara buat selamanya. Sebagai umat Islam yang sensitif dengan kemungkaran yang berlaku disekeliling kita, jalankanlah tanggungjawab berdakwah sebaiknya agar tidak dipersoalkan di hadapan Allah kelak. Dakwah bukan sahaja berbentuk ucapan(lisan) bahkan juga dari sudut penulisan(khitobah) dan keadaan(hal). Di hadapan kita terbentang jalan yang luas dalam usaha memperlebarkan dakwah Islamiyah, seharusnya sebagai dai’e yang berketrampilan menggunakan style dakwah yang lebih cenderung ke arah kemampuan diri demi merealisasikan dunia baru Islam!

Umar Mujahid

7.52 pagi

29 Mei 2010/15 Jamadilakhir 1431 H

0 comments:

Post a Comment