Tinta Permata Exco LATERINFO 09/10


Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, segala puja dan puji hanyalah bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar, baginda Rasullullah S.A.W, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi’ tabi’in serta kaum muslimin dan muslimat khususnya buat mereka yang sedang berkelana mencari redha Ilahi di bumi Darul Quran yang diberkati.

Dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w yang membawa maksud, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin.”

Hadis di atas amat berkait rapat mengenai kepimpinan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu muslim dalam usaha mengembalikan empayar kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. Malangnya, ramai dikalangan kita yang kurang malah tidak berjaya menghayati mesej sebenar yang sedang disampaikan dalam sumber perundangan kedua Islam di atas, malah mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap apa yang diserukan ke atas mereka. Tugas sebagai pemimpin dianggap terlalu mudah dan dipandang ringan tanpa menyedari akan amanah yang telah digalaskan ke atas bahu mereka. Sedar atau tidak inilah realiti yang sedang berlaku pada kebanyakan pemimpin masa kini yang lebih mementingkan kepentingkan duniawi semata-mata.

Menyebut tentang amanah yang wajib dipegang oleh setiap bakal pemimpin, saya teringat akan satu firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab yang membawa maksud:

“Sesungguhnya kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.”

Berdasarkan ayat yang termaktub dalam Kalamullah ini jelas menyatakan kepada kita tentang tanggungjawab seorang pemimpin yang wajib bertanggungjawab ke atas pimpinannya dan sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, haruslah tetap pendirian dan menetapkan keputusan rasional berdasarkan dalil dan hujah daripada Al-Quran dan As-Sunnah serta syura pimpinan, bukanlah mengikut emosi semata-mata. Keperluan dan cadangan ahli juga seharusnya tidak dipandang enteng oleh pimpinan kerana tiadalah pimpinan tanpa sokongan ahli.

Memetik beberapa frasa yang terkandung dalam Travelog Tarbiah, “Rindu Bau Pohon Tin” karya Ustaz Harizal B. Abd. Jamil, pemimpin harus memimpin dengan pemikirannya yang berbaloi dibaca dan dikaji. Bukan pemimpin yang dungu oleh teks yang disediakan orang lain atau tidur di lensa massa.

“If you would not be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing.”-Benjamin Franklin(1706-1790)-

Sheikh Mohammad bin Rashid Al-Maktoum, pemerintah Dubai telah mencatat beberapa bilahan kata yang mampu menambat perhatian dalam karyanya, Ru’yati: al-Tahaddiyyaat fe Sibaaq al-Tamayyuz. Katanya: “Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpannya dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi.

Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus tahu berlari kerana dia tahu alpanya akan mengundang bencana. Dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi,

Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas daripada sainganmu … untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai…” (terjemahan bebas)

Kata orang, perjuangan tetap harus diteruskan walau terpaksa mengharungi 1001 halangan.. kerana di hujung penantian kelak, pasti akan kau temui sinar kebahagiaan atas segala pengorbanan yang kau titipkan.

Akhir kalam, saya berharap buat para sahabat agar dapat bersama saya dan sahabat-sahabat lain untuk terus mengislahkan diri ke arah yang lebih baik di masa akan datang. Tidak lupa juga buat semua pimpinan PERKEMAT DQ 09/10 khususnya Majlis Tertinggi dan Ketua Unit Lajnah Penerbitan dan Informasi(LATERINFO) 09/10 yang saya kasihi dan sayangi, agar sentiasa aktif dan berfikiran terbuka dalam menyuarakan pandangan atau cadangan dengan memperbaiki segala kekhilafan lalu sebagai anjakan paradigma(shift your paradigm) ke arah melahirkan generasi Al-Quran yang unik seperti yang diimpikan.

“Great Power Comes With Great Responsibility”

Sekian, wassalam.

Disediakan Oleh,

Muhammad Amal Syakir Bin Abd. Samad

Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi

PERKEMAT DQ 09/10

0 comments:

Post a Comment