Semasa saya sedang leka menatap dan meneliti setiap artikel keluaran majalah Solusi, mata saya tertumpu pada sebuah kisah yang dicoretkan dalam sisipan artikel berkenaan Muhasabah Diri dan Ibu Bapa oleh seorang Pakar Motivasi terkenal, Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah. Bersempena dengan hari Ibu yang baru sahaja disambut di serata tempat di Malaysia, ingin saya kongsikan kisah tersebut sebagai bahan perkongsian yang bakal menggerakkan naluri insan untuk lebih mengenal erti pengorbanan dan akhir perjalanan seseorang yang bergelar ibu...
Seorang ibu muda yang baru ingin menjejakkan kaki ke alam baru yang bertanya, “Adakah perjalanan ini jauh?” Kedengaran suara yang memeberi respons terhadap persoalan tersebut berkata, “Ya, dan ia satu perjalanan yang berliku, tetapi hujang perjalana inilah yang paling bermakan berbanding permulaanya.”
Ibu muda tersebut memulakan perjalanannya. Kasih sayang terhadap cahaya mata yang masih kecil tak berbelah bahagi. Bermain bersama anak-anak, memetik buah-buahan sepanjang perjalanan untuk anaknya, memandikan anaknya apabila mereka melalui air terjun yang jernih dan sebagainya. Ibu muda tersebut sangat bahagia dia menangis sambil berkata, “Tiada yang lebih indah dan membahagiakan selain ini.”
Apabila menjelang malam, hujan dan ribut melanda. Lorong yang mereka lalui gelap. Anak-anak ketakutan dan berada dalam keadaan sejuk. Si ibu membalut badan anaknya dengan gebar dan memeluknya. Si anak memberitahu ibunya, “Ibu, kami tidak takut lagi sebab ibu ada bersama kami.”
Menjelang pagi, sib u bangkit dari lena, sang matahari memancarkan bahang sinarnya. Tiada lagi rebut seperti semalam. Di hadapan mereka terdapat sebuah bukit. Mereka maendaki ke puncaknya. Si ibu dan anak lelah. Tetapi ibu berpesan, “Bersabar sikit ya sayang, nanti kita akan sampai ke puncak.” Anak-anak tidak berputus asa dan terus mendaki. Apabila tiba di puncak, anak berkata, “Ibu, kami takkan sampai ke sini tanpa ibu.”
Siang mengundur diri, kegelapan malam membalut seisi alam. Si ibu berbaring memandang kerlipan bintang sambil berkata, “Hari ini lebih bermakna berabnding semalam dan aku rasa amat bahagia. Anak-anakku telah belajar untuk bersabar ketika berhadapan dengan kesusahan. Semalam aku telah berikan mereka keberanian dan hari ini aku telah berikan mereka kekuatan.”
Hari berikutnya awan gelap menyelubungi alam semesta. Itulah awan kejahatan dan kebencian. Anak-anak teraba-raba dalam kegelapan dan terjepuk jatuh ke tanah. Si ibu berkata, “Anak-anakku, jadilah seorang yang berni. Allah akan sentiasa bersama kita.”
Anak-anak mula sedar dan kembali tenang. Kata-kata itu menjadikan mereka terpandu dalam kegelapan. Pada waktu malam, si ibu bermonolog sendirian, hari ini adalah hari yang terbaik dalam hidupku. Aku telah tunjukkan mereka jalan yang benar.”
Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Dan tahun berganti tahun. Si ibu kini makin tua dan lemah. Anak-anak pula makin membesar dan mejadi insan yang mampu berdiri di atas kaki sendiri. Kini tibalah masanya si ibu akan kembali ke dunia yang kekal abadi. Dia berkata, “Aku telah sampai ke penghujung pengembaraanku. Kini aku sedar penghujung perjalanan ini lebih bermakna bagiku berbanding permulaannya. Kini anak-anakku telah kuat. Tidak selemah sewaktu usia merek masih setahun jagung. Mereka mampu berhadapan dengan dugaan dan terbimbing ke jalan yang lurus. Kini aku boleh pergi dengan tenang kerana doa-doa mereka akan menemuiku.”
Demikianlah berakhirnya sebuah kisah hidup seorang ibu yang sanggup berkorban semata-mata demi melihat kebahagiaan yang dikecapi anak-anaknya kini. Perjalanan yang dilalui bukanlah suatu jalan lurus yang terbentang luas di hadapan mata, melainkan jalan berliku yang dipenuhi onak dan duri sebagai mehnah yang harus didepani seorang ibu dalam mendidik dan menjaga anak-anak, supaya menjadi orang yang berguna di kemudian hari. Sewajarnya, kita sebagai anak-anak menghargai kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan kita dengan segala kudrat yang ada dengan harapan melihat kita berjaya kelak. Namun seandainya susu yang dititiskan dibalas dengan tuba, maka nantikanlah balasan yang bakal Allah timpakan buat mereka yang menderhakai ibu bapa.
Khas buat arwah ibuku, terima kasih atas segala pengorbanan yang kau curahkan kepada kami sebagai anak-anakmu. Setiap curahan keringat dan linangan air mata yang telah kau titiskan merupakan mahar bagimu menjejakkan kaki di jannahNya. Segala kenangan yang kuukir bersamamu akan sentiasa ku pahatkan dalam lakaran memori terindah dalam diari kehidupan seorang anak yang begitu merindui ibunya. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas arwah ibuku, Asmah Binti Abdullah serta ditempatkan bersama para syuhada’ di Taman Firdausi Ilahi.
Terima kasih atas segalanya, ibu..
Umar Mujahid
8.18 malam
20 Mei 2010/6 Jamadilakhir 1431 H
0 comments:
Post a Comment