“Masa menjawab telah tamat. Sila letakkan pen dan kertas jawapan di atas meja. Kertas jawapan akan dikutip sekarang.” Pengumuman itu masih terngiang-ngiang diingatanku di kala saat terakhir menjawab kertas soalan Bahasa Arab Tinggi yang menjadi subjek terakhir bagi Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2007. Hatiku melonjak kegembiraan setelah berhempas pulas bersengkang mata demi melaksanakan tanggungjawab terakhir sebelum melangkah keluar dari bumi “SBPI Gopeng” yang daku cintai. Pelbagai kenangan yang menggamit memori telah kulakar bersama rakan-rakan sepanjang pengajianku di sana. Suka duka yang kami tempuhi bersama terasa begitu manis untuk disulam kembali setelah melangkah keluar demi mengejar cita yang diimpikan selama ini.
Pada tengahari keesokan harinya, keluargaku telah pun menunggu di perkarangan sekolah bagi menjemputku pulang ke kampung halaman yang begitu dirindui setelah bertahan selama hampir beberapa bulan di situ. Kebanyakan waktu telah kuhabiskan untuk mentelaah pelajaran dan mengikuti kelas tambahan yang diadakan para guru semata-mata demi melihat kejayaan kami semua. Pengorbanan dan jasa guru yang tidak terkira membuat hatiku terharu lantas membakar semangatku dan rakan-rakan untuk terus bergerak maju dan bersungguh-sungguh demi merealisasikan cita dan matlamat dalam kehidupan.
Segalanya telah pun berakhir semalam setelah kertas peperiksaan terakhir dikutip oleh pegawai peperiksaan. Nasihat seorang sahabat yang masih segar dalam ingatanku ketika itu agar sentiasa mengamalkan prinsip “DUIT” dalam apa pun jua pekerjaan yang ingin dilakukan. Menurutnya lagi, D merujuk kepada Doa manakala U pula adalah Usaha. I di tempat yang ketiga merujuk kepada Ikhtiar dan T ialahTawakal. Sejak hari itu, aku sering mempraktikkan prinsip itu dalam setiap gerak perlakuan yang dilakukan agar tidak lari daripada landasan yang ditetapkan. Sehingga saat ini, apa yang dapat aku lakukan hanyalah dengan berdoa dan tawakal kepada Yang Maha Pencipta, moga diberi kesenangan dan kemudahan kepada pemeriksa kertasku menanda setiap jawapan yang telah kutatahkan keatasnya. Perjalanan yang mengambil masa selama hampir 2 jam amat meletihkan lalu membuatku tertidur sepanjang perjalanan sehinggalah tiba di kampung halaman pada sebelah petangnya.
“Kehidupan harus diteruskan walau mehnah menjadi penghalang”, kedengaran satu suara membisikkan sesuatu di gegendang telinga membuatku terpana seketika sambil mengingati kembali kalimah tersebut. Rupanya, telahan kubenar apabila memoriku berjaya menangkap tutur bicara seorang guru yang telah berjaya membakar semangatku suatu ketika dahulu setelah mengalami kegagalan yang pernah membuatku kecewa dalam kehidupan. Biarlah namanya menjadi rahsia yang akan terus kupahatkan di hati sebagai pesanan bermakna seorang guru yang tidak jemu mencurahkan bakti kepada para pelajar terutama kepada diriku, insan yang lemah disisiNya.
Kenangan dan pengalaman yang telah kami lalui bersama sewaktu di zaman persekolahan masih segar dalam ingatan seolah-olah membisikkan lagu kedamaian yang subur dengan rentak iramanya yang mempesonakan. Di keheningan pagi nan syahdu itu, azan subuh sayup-sayup berkumandang di angkasaraya menyeru manusia untuk bersama-sama menunaikan solat subuh berjamaah. Walaupun, tubuhku terasa berat untuk bergerak namun ku gagahkan jua demi melawan nafsu dan bisikan syaitan yang bersarang di hati. Usai sahaja menunaikan solat subuh berjamaah di masjid berhampiran, aku terus menunggang motorsikal membelah angin pagi yang terasa begitu mengasyikkan. Tepat jam 8.00 pagi, perkarangan rumahku mula dipenuhi kenderaan ibu bapa yang keluar masuk menghantar anak mereka ke Pusat Asuhan Tunas Islam( PASTI ) Simpang Lima milik ayah dan ibuku. Berkat titis keringat yang mereka curahkan, akhirnya PASTI yang menampung kira-kira 20 orang pelajar berjaya ditubuhkan berlokasi di tingkat atas rumahku. Ibuku sendiri merupakan tenaga pengajar tetap di PASTI tersebut. Secara umumnya, ibu telah memegang beberapa pekerjaan yang perlu ditunaikan sebagai seorang isteri kepada ayah, ibu kepada anak-anaknya dan seorang guru kepada anak muridnya.
Suasana begitu riuh rendah dengan telatah lucu adik-adik kecil yang mula membiasakan diri di “rumahku”. Ada di antara gelagat mereka yang berjaya mencuit hatiku dan tidak kurang juga ada yang turut menangis setelah ditinggalkan ayah dan ibu mereka. Mengimbau kembali, detik-detik di alam pra-persekolahanku di sebuah tadika yang terletak tidak jauh dari rumah membuatku terkenang segala memori silam yang pernah aku lalui beberapa tahun yang lalu. Ah, malu sekali rasanya untuk kusingkap kembali kisah lama yang menggamit memori itu. Pelajaran bermula sebaik sahaja kanak-kanak itu melafazkan salam kesejahteraan umat Islam “Assalamualaikum, cikgu” kepada ibuku selaku guru di PASTI ini.
Tatkala itu, aku mengambil kesempatan untuk mengikuti suasana pengajaran memandangkan belum punya kesempatan untuk bersama anak-anak kecil tersebut sebelum ini. Pembelajaran dan pengajaran bermula seperti biasa sebelum menanti waktu rehat yang bakal menjelang tidak lama lagi. Pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris menjadi subjek utama yang diajar ibu kepada mereka setelah berselawat dan bernasyid pada awalnya. Setiap mereka dibekalkan dengan buku teks sebagai rujukan dan buku latihan sebagai medan pengujian terhadap kemahiran dan kefahaman mereka. Sedang adik-adik kecil tersebut menyiapkan latihan yang diberi, mataku tertumpu pada seorang anak perempuan yang berumur 6 tahun. Lantas aku cuba mendekatinya untuk mengetahui siapa gerangan adik tadi. Namanya Zulaikha atau lebih dikenali dengan nama manjanya, Ika. Iras wajahnya jelas mengingatkanku pada seseorang yang kian kabur diingatan. Memoriku cuba manangkap wajah insan tersebut namun tidak berhasil. Apakah ia hanya lintasan minda atau fantasi semata-mata?
Hari berganti hari, malam berganti malam, detik demi detik, diriku mula rapat dengan adik Ika. Dia sudah ku anggap persis adik kandungku memandangkan aku tidak punya adik sebayanya. Tawa manjanya masih segar diingatanku dan apa yang membuatku senang dan gembira apabila kebanyakan adik-adik di PASTI mula membiasakan diri mereka bersamaku dengan pelbagai telatah lucu yang mereka pamerkan, bagaikan seorang ayah yang melayan kerenah anak-anak lagaknya.
Kehadiran adik Ika ke PASTI tidaklah lama seperti yang dijadualkan memandangkan aku dikhabarkan bahawa dia bakal berpindah ke tempat kerja ayahnya di selatan tanah air. Hatiku pilu mengenangkan perpisahan bersama insan yang kusayangi. Segala kenangan bersama adik Ika akan sentiasa ku pahatkan dalam memori ingatanku.
Namun, tidak lama kemudian perhatianku mula beralih kepada dua beradik perempuan yang telah hadir bersama ayah mereka untuk mendaftarkan diri bagi sesi baru. Mereka sememangnya merupakan pelajar PASTI ini sejak sesi lepas, dan kelewatan mereka adalah untuk menemani ibu mereka yang baru sahaja melahirkan cahaya mata. Kehadiran mereka ke PASTI membuatku cuba mengenali mereka dari adikku, Zawani. Ternyata dia lebih mengenali adik-adik PASTI ini memandangkan sesi persekolahannya bermula pada petang. Kakaknya bernama Nabihah Husna yang berumur 6 tahun sedangkan adiknya Hasya Adibah lebih muda dua tahun namun telah memulakan persekolahan lebih awal. Menurut adikku lagi, mereka sebenarnya telah mengasuh dengan Opah sejak beberapa tahun yang lalu ketika kakak sulung mereka, Auni Nasuha berpindah sekolah ke PASTI Simpang Lima. Kebetulan, dalam masa yang sama adikku juga telah menumpang Avanza biru milik ibu mereka yang juga merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang.
Kini mereka juga sudah punya seorang adik lelaki yang baru lahir ke dunia November yang lalu. Nabil Harris merupakan nama adik mereka dan turut sama diasuh di rumah Opah. Dari rumah Opah yang bersebelahan dengan rumahku, jelas kedengaran suara tawa dan riuh rendah anak-anak kecil yang kaya dengan pelbagai ragam. Semuanya comel-comel belaka membuatku sering bertandang ke sana untuk mencuri sedikit keceriaan dan kebahagian yang sedang mereka rasakan. Secara tidak langsung aku dapat mengeratkan ukhwah persaudaraan yang kian jauh semenjak aku bersekolah asrama beberapa tahun sebelumnya. Pada mulanya aku agak keberatan untuk ke rumah Opah kerana bimbang andai kedatanganku mengganggu, namun gerak hati seringkali mendesak jasadku untuk bertandang ke sana.
Semuanya bermula apabila abahku meminta aku menyiapakan jadual kuliah masjid bagi bulan yang seterusnya. Memandangkan komputer yang sedia ada di rumahku tidak berapa baik dari sudut kondisinya maka aku telah mengambil keputusan untuk menggunakan komputer di rumah Opah yang baru sahaja diservis. “Bagaikan mengantuk disorangkan bantal”, arwah ibu mengajakku untuk ke rumah Opah bagi menghantar beberapa perkakasan dapur di samping membincangkan beberapa perkara. Tanpa melengahkan masa, aku lantas menggunakan kesempatan yang ada untuk menggunkan komputer sekaligus menyelesaikan tugas untuk menyiapkan jadual kuliah bulanan tersebut.
Setibanya aku di rumah Opah, kehadiranku di sambut mesra oleh adik-adik comel yang mengasuh disitu. Antaranya Hasya, Husna, dan tiga orang adik-beradik yang terdiri daripada Anis Mastura, Athoi’llah dan yang paling sulung, Fateh. Kemeriahan yang tercipta memberikanku kebahagian yang sukar diungkapakan bagaikan sudak memiliki anak sendiri. “Ah, tidak sabar rasanya untuk menimang cahaya mata sendiri”, hatiku bermonolog sendirian sambil mengimbas detik-detik manis yang terlakar di antara aku dan mereka. Ada juga diantara mereka yang suka bermanja denganku sambil bersandar di pangkuan riba. Hakikatnya, aku senang sekali dengan perlakuan mereka yang sebenarnya dahagakan kasih sayang ibu & ayah yang sibuk bekerja sehingga menyempitkan waktu untuk diluangkan bersama anak-anak. Setelah jadual kuliah tersebut dicetak, aku meluangkan sedikit masa sebelum tibanya waktu asar hari itu bersama mereka. Sambil melayan kerenah anak kecil tersebut, aku turut berbual dengan Opah tentang keluarga dan sebagainya. Kini aku bisa merasakan hubungan kekeluargaan yang terjalin kian rapat dan semakin utuh. Alhamdulillah!
Hubungan kekelurgaan tersebut bukan sahaja kian mekar sehinggakan keluarga Una dan Hasya sudah ku anggap seperti keluargaku sendiri. Teacher Huzaimah, ibu kepada Una dan Hasya turut mengenaliku melalui adikku yang menumpang kenderaanya setelah tamat sesi persekolahan. Setiap petang, Teacher Huzaimah pasti pulang ke rumah Opah terlebih dahulu untuk mengambil anak-anaknya dan sejak saat itulah diriku mula dikenali. Baik pagi di PASTI, tengahari mahupun petang, aku sering menghabiskan waktu bersama mereka sementara menunggu tawaran universiti tempatan atau dari pihak institusi yang berkenaan. Ketika arwah ibu sibuk menguruskan persiapan masakan di dapur, aku sempat menolongnya dalam beberapa slot untuk mengajar di samping menghiburkan adik-adik di PASTI. Mereka kelihatan gembira sekali apabila aku mengajak mereka untuk nasyid bersama apatah lagi sebagai pesediaan untuk Hari Ihtifal PASTI yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Setelah mengadakan perbincangan bersama arwah ibu dan keluarga, kami bersetuju untuk mempertandingkan lagu “Sepohon Kayu”, dendangan kumpulan nasyid Saujana yang turut popular dengan lagu “Keluarga Bahagia”. Kami tertarik dengan lagu tersebut berdasarkan beberapa kriteria yang bersesuaian dengan tahap kemampuan adik-adik. Nasyid yang beriramakan kontemporari dengan nada suara yang sederhana serta mesej yang berguna untuk umum telah berjaya dipertandingkan pada hari pertandingan setelah melalui latihan kerap bersama aku, adik dan ibu. Beberapa acara turut dipertandingkan pada hari Ihtifal PASTI yang diadakan di Bagan Serai. Antaranya seperti pertandingan azan, hafazan, nasyid, tilawah Al-Quran dan beberapa acara sukaneka untuk ibu bapa.
Kebanyakan acara telah kami sertai melalui penyertaan adik-adik. Berkat usaha gigih yang ditunjukkan adik-adik, akhirnya PASTI kami berjaya memenangi beberapa acara dalam Ihtifal seperti pertandingan azan oleh adik Fateh di tempat kedua. Walaupun kami tidak berjaya mendapat tempat untuk pertandingan nasyid namun usaha kami tidak sia-sia melihat keazaman adik-adik yang berjaya mempersembahkan nasyid “Sepohon Kayu” dengan baik sekali. Dalam diam, hatiku terkesan dengan mesej yang disampaikan serta terharu dengan persembahan mereka yang cukup menggembirakan. Harapanku, semoga Pasti Simpang Lima bakal menempa nama dalam Ihtifal berikutnya di masa akan datang. Pada penghujung ihtifal tersebut, masing-masing telah menerima cenderamata kenang-kenangan daripada pihak majlis. Sesungguhnya, pengalaman yang terlakar sepanjang majlis Ihtifal memberikan 1001 makna yang mendalam dalam jiwa masing-masing. Semoga Ihtifal berikutnya berupaya menampilkan pelbagai lagi bakat baru di kalangan anak-anak kecil bertepatan seuntai kata pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Masa berlalu begitu pantas sedang aku tidak bisa merasakannya, keputusan SPM bakal diumumkan beberapa hari lagi. Hal ini menambah debaranku selaku calon SPM tahun itu. Keputusan inilah yang bakal menentukan masa depanku sama ada dapat melanjutkan pelajaran ke tempat yang lebih baik atau sebaliknya. Pada pertengahan Mac yang lalu, aku telah menerima keputusan SPM dengan penuh rasa terharu dan bersyukur walaupun tersimpan sekelumit kecewa di hati dibandingkan dengan keputusan sahabatku yang lain. Ternyata keputusan mereka jauh lebih baik dariku dan kebanyakannya bercita-cita untuk menyambung pelajaran di luar negara dalam jurusan yang diminati. Dengan keputusan yang kugenggam erat di tangan, daku berdoa dan berharap agar dapat ditempatkan di sebuah institusi pengajian tinggi bagi meneruskan pengajianku di peringkat diploma atau ijazah.
Selang beberapa bulan, aku telah menerima tawaran kemasukan ke Darul Quran JAKIM, yang merupakan sebuah institusi pengajian tahfiz Al-Quran di peringkat Diploma setelah melalui temuduga kemasukan di Masjid Negeri Sultan Azlan Shah, Ipoh yang lalu. Hatiku terharu berbaur gembira setelah mendapat tawaran tersebut lantas daku persiapkan segala dokumen penting untuk sesi pendaftaran yang bakal berlangsung di Dewan Muktamar Darul Quran pada hari Ahad 11 Mei 2008.
Di sebalik kegembiraan persiapan untuk melanjutkan pelajaran di Darul Quran, hatiku membisik rasa rindu pada Hasya dan Husna yang seringkali membuatku tersenyum dengan telatah lincah mereka. Kerana itu, aku telah membuat keputusan untuk meluangkan sepenuh masa bersama mereka sebelum pergi. Baki masa selama seminggu sebelum bertolak ke Darul Quran, telah daku luangkan sepenuh masa untuk membahagiakan mereka. Mungkin saat itu, mereka masih belum tahu tentang pemergianku ke DQ dalam masa yang terdekat.
Jarak waktu yang semakin hampir menambah kepiluanku untuk meninggalkan anak-anak kecil tersebut. Sungguh, hatiku benar-benar telah terpaut dengan kanak-kanak tersebut walaupun seringkali aku cuba menafikan dakwaan itu, namun realitinya sudah terang lagi bersuluh. Kehadiran mereka ke rumahku sering daku nantikan. Katil double decker yang tersusun kemas di bilikku menjadi tempat permainan kegemaran mereka sambil memanjat sana-sini memandangkan di sekitar rumahku tiada taman permainanan untuk melepaskan keseronkan yang mereka dambakan. Adakalanya, kami duduk bersama sambil menonton televisyen, menghayati keindahan alam sambil main kejar-mengejar di padang rumput dan antara detik manis yang telah kurakam bersama mereka adalah perkongsian dan luahan perasaan mereka padaku. Perkongsian dua hala yang berlaku antara kami jelas menggambarkan kesunyian yang mereka alami dengan kesibukan ibu bapa yang bekerja dan hanya berjumpa di malam hari. Bagi diriku sendiri, pelbagai pengalaman telah kuceritakan kepada mereka sebagai iktibar dan pengajaran menghadapai hari-hari yang mendatang.
Esok, aku dan keluarga akan bertolak ke Kuala Kubu Bharu, sebagai persediaan awal sebelum pendaftaran bermula. Perjalanan yang memakan jangka masa panjang, memerlukan persiapan rapi supaya tidak terlewat sampai ke destinasi. Hari itu, aku melapangkan diri untuk bertemu dengan “Permata Hatiku” sambil menatap wajah setiap seorang daripada mereka. Moga dengan itu, dapat kujadikan penghilang rindu apabila di sana nanti. Petang itu, aku telah menghadiahi mereka dengan ciuman terakhir sebagai tanda sayang dan rinduku pada mereka. Benarlah sebuah pepatah Melayu yang mengatakan, semakin jauh semakin rindu.
Hal ini benar ku rasakan kini walau setelah genap dua tahun daku melanjutkan pelajaran di Darul Quran. Setiap cuti semester, aku sering mencuri peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi bertemu dan melepaskan rindu bersama. Adakalanya, aku dan adik telah bertandang ke rumah mereka semata-mata untuk melihat wajah permata kesayanganku sungguhpun hanya dari kejauhan.
Kini, Una sudah pun belajar di Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Tanah Kebun mengikuti jejak langkah kakaknya di situ. Manakala Hasya yang masih berumur 6 tahun masih setia sebagai pelajar PASTI sebelum melangkah keluar mengikuti kakak-kakaknya di sekolah rendah. Walaupun hubungan kami sudah tidak serapat dahulu, namun kenangan yang terjalin bersama mereka akan sentiasa daku pahatkan sebagai kenangan terindah dalam “Diari Permata Hatiku”.
Umar Mujahid
12.45 pagi
26 Mei 2010/12 Jamadilakhir 1431 H