SALAM PERANTAUDQ@COM kini dibuka buat seluruh ALUMNI DQ!


Alhamdulillah, pertamanya marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T atas segala nikmat dan kesempatan yang telah dikurniakan kepada kita. Selawat dan salam dipanjatkan buat junjungan baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat seterusnya kepada seluruh muslimin dan muslimat yang dimuliakan.

Bersempena dengan Program Ihya’ Ramadahan al-Mubarak, Lajnah Penerbitan dan Informasi (LATERINFO) melalui Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ) 09/10 kini memperkenalkan SALAM PERANTAUDQ@COM buat seluruh bekas siswa dan siswi Darul Quran JAKIM yang kini masih melanjutkan pelajaran di dalam dan luar Negara. Idea ini merupakan ilham cetusan barisan Majlis Tertinggi LATERINFO khusus buat mereka yang ingin mengirim dedikasi masing-masing kepada keluarga, pensyarah ataupun sahabat handai walau di mana sahaja mereka berada.

Setiap dedikasi yang berjaya diterima akan disiarkan di dalam Blog PERKEMAT DQ (www.perkematdq.blogspot.com) sebagai tatapan dan penghargaan kepada mereka yang bertuah untuk menerima dedikasi daripada ALUMNI DQ. Berikut merupakan syarat-syarat pengiriman dedikasi SALAM PERANTAUDQ@COM:

1. Terbuka kepada semua bekas pelajar Darul Quran(ALUMNI DQ) yang masih menuntut mahupun yang bekerja( DIPLOMA @ PERSIJILAN).

2. Sasaran dedikasi adalah fleksibel bersesuaian kehendak pengirim sama ada kepada keluarga, pensyarah-pensyarah, sahabat-sahabat atau sesiapa yang berkenaan.

3. Setiap dedikasi hendaklah dihantar terus melalui emel PERKEMAT DQ menerusi alamat di bawah:

perkematdq@gmail.com

4. Sila sertakan bersama nama penuh pengirim, nama penerima dedikasi, nama kampus bagi mereka yang menuntut dan gambar menarik berformat JPEG mengikut kehendak pengirim.

5. Dedikasi tersebut hendaklah tidak terlalu panjang (sederhana).

6. Tarikh tutup kiriman dedikasi adalah pada 21 RAMADHAN 1431H bersamaan 31 OGOS 2010.

Untuk makluman, setiap dedikasi yang diterima akan diterbitkan secara bersiri dalam blog PERKEMAT DQ mengikut minggu sebelum berakhirnya Ramadhan. Justeru, kami daripada pihak LATERINFO@artcrewz mengharapakan kerjasama yang baik daripada semua untuk menghebahkan berita ini kepada seluruh ALUMNI DQ sama ada melalui lisan, facebook, blog, SMS atau sebagainya bergantung kepada alternatif masing-masing.

Segala kerjasama dan sokongan padu daripada antum semua dalam menjayakan SALAM PERANTAUDQ@COM amatlah diharapkan, dan didahului dengan ucapan terima kasih wa jazakumullahu kahiran jaza’

Wassalam.

Disediakan Oleh,

Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi (LATERINFO)

Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ)

Sesi 2009/2010

umarmujahid90.blogspot.com

Warkah Ihya' Ramadhan


Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar baginda Rasullullah s.a.w, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi’ tabi’in serta kaum muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka terampunlah bagi mereka dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bulan berganti bulan, hari berganti hari, siang berganti malam, detik beransur ke detik dan kini kita telah pun berada dalam fatrah awal Ramadhan yang disebutkan dalam sabdaan Baginda s.a.w sebagai fatrah rahmat. Kehadiran Ramadhan seringkali dinanti-nantikan oleh seluruh umat Muslimin seantro dunia demi menyempurnakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Sedangkan pemergian Ramadhan ditangisi oleh para ulama salafus soleh yang sering merindui Ramadhan sebagai bulan suci lagi diberkati bagi seluruh umat Islam.

Namun realiti kini tidak seindah dahulu, bila mana manusia sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk menambah perhiasan rumah mereka menjelang raya. Ada pula dikalangan masyarakat kini yang gemar berboros ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan yang berdekatan. Adakah mereka menilai daripada sudut keperluan atau kehendak atau menuruti kehendak nafsu semata-mata? Tepuk dada tanyalah iman!

Bersempena dengan ketibaan Ramadhan yang menjanjikan 1001 ganjaran bagi seluruh umat Islam, marilah kita menyingkap tabir masa melontar diri ke suatu zaman kegemilangan Islam yang digagaskan oleh Penghulu segala nabi iaitulah Nabi Muhammad s.a.w. Peperangan Badar merupakan peperangan akbar pertama yang berlaku dalam sejarah Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Peperangan yang tercetus daripada perasaan hasad dengki dan dendam puak kafir Quraisy dalam usaha menghalang dakwah Rasulullah s.a.w telah mempertemukan mereka di gelanggang pertempuran Badar. Sungguhpun bilangan tentera Islam hanyalah berjumlah 313 orang tentera dibandingkan 1000 tentera kafir Quraisy yang lengkap bersenjata, namun atas dasar kekuatan jihad yang membara dan keimanan serta kepercayaan yang tinggi kepada Allah dan RasulNya maka kemenangan akhirnya berpihak kepada tentera Islam.

Apa yang ingin ana fokuskan di sini adalah bagaimana tentera Islam mampu menewaskan tentera kafir Quraisy yang berjumlah lebih 3 kali ganda serta lengkap bersenjata di bulan Ramadahan? Pernahkah antum semua memikirkan hal ini? Ketahuilah bahawa dalam jiwa tentera Islam ketika itu tertanamnya ruh jihad yang memaksa mereka berkorban segala-galanya demi membela Islam walau terpaksa menahan lapar dan dahaga dalam peperangan Badar. Berbekalkan semangat kental dan sabar menempuh ujian dan halangan, akhirnya tentera Islam mampu mempertahankan kegemilangan Islam walau mehnah dan tribulasi sering menghimpit dari segenap penjuru.

Berkenaan isu Peperangan Badar, Allah S.W.T telah menurunkan surah al-Anfal dalam ayat ke 26 sebagai mengulas lanjut berhubung ketuhanan. Pertama sekali, Allah mengalihkan perhatian umat Islam supaya merenung kepada kelemahan dan kealpaan mereka dari sudut akhlak yang masih ada saki bakinya pada diri mereka. Sebahagian kelemahan akhlak itu telah dapat dibuang daripada mereka agar dengan itu mereka akan berusaha gigih untuk menyempurnakan jiwa mereka serta membersihkannya daripada kelemahan-kelemahan ini.

Yang keduanya, Allah menjelaskan bahawa kemenangan yang diperolehi itu adalah kerana bantuan dan pertolongan Allah secara ghaib kepada umat Islam. Allah menyebutkan hal tersebut supaya mereka tidak terpesona dan tertipu dengan keberanian mereka yang akan menjebakkan mereka dalam perasaan angkuh dan sombong.

Secara ringkasnya, pada tahun kedua hijrah Allah memfardhukan puasa ke atas orang Islam. Begitu juga zakat fitrah dan diterangkan kadar nisab zakat tersebut. Dengan memfardukan zakat fitrah dan menjelaskan kadar nisab zakat yang lain dapat meringankan bebanan yang dideritai oleh ramai orang Muhajirin yang menjadi pelarian di mana mereka itu adalah orang-orang fakir yang tidak mempunyai daya upaya untuk mendapatkan mata pencarian di muka bumi.

Tuntasnya, Ramadhan merupakan bulan rahmat bagi umat Islam untuk mengerjakan ibadah sebanyak-banyaknya kerana ganjaran pahala yang berlipat ganda sepertimana yang telah dijanjikan Allah S.W.T. Manfaatkanlah fatrah Ramadhan sebagai usaha untuk mengislahkan diri dan menambah amalan sunat seperti bertadarus Al-Quran, solat sunat tarawih, berzikir, qiamullail dan bersedekah. Hubungkanlah silaturrahim yang baik di antara sesama muslim dan jauhilah hasad dengki dan permusuhan kerana ia merupakan bisikan syaitan yang ingin menghancurkan dirimu.

Akhir kalam, saya mengambil kesempatan ini mewakili seluruh jawatankuasa LATERINFO@artcrewz 09/10 untuk memohon jutaan keampunan dan kemaafan di atas segala kesilapan dan kekhilafan yang berlaku sepanjang sesi ini. Salam ramadhan al-mubarak buat semua warga Darul Quran. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wassalam.

Disediakan oleh,

Exco Lajnah Penerbitan Dan Informasi(LATERINFO)

PERKEMAT 09/10

umarmujahid90.blogspot.com