Journey To The City Of Heritage


Gerimis subuh masih menitiskan mutiara jernih yang bertakung disebalik kegelapan awan yang enggan mendedahkan sinaran mentari pagi. Kesejukan jelas menyelubungi sesiapa sahaja yang merasai suasana hening tatkala itu. Usai mengerjakan solat subuh, aku menyusun sepuluh jari membentuk tadahan doa kepada Ilahi atas restu dan kemudahan yang telah diberikan kepadaku sehingga selamat tiba di kampung halaman semalam. Kampung Simpang Lima yang telah menyimpan seribu satu kenangan manis dan pahit sentiasa menantikan kepulangan anak jatinya yang merantau jauh di negeri orang untuk kesekian kalinya.

Kembara musafir yang telah menghantar diriku jauh dari keluaraga tercinta bukanlah atas tujuan yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Namun kembara inilah yang bakal merubah diriku untuk menjadi lebih dewasa dan matang dalam mendepani masyarakat dunia yang kian mencabar. Inilah realiti kehidupan yang harus kita jalani. Pengembaraan mencari ilmu bukanlah suatu yang mudah untuk dikecapi kerana untuk mencapai kesenangan, pengorbanan haruslah direlakan. Dalam mengejar impian dan matlamat, redha Allah tetap ku dambakan disamping restu keluarga yang akhirnya mendamparkan diriku di Bumi Barakah Darul Quran JAKIM yang tetap berdiri megah di Kuala Kubu Bharu sehingga kini.

Cuti pertengahan semester (mid-sem) baru sahaja membuka tirainya pada 26 Jun yang lalu. Kelibat siswa siswi Darul Quran jelas kelihatan di stesen bas dan KTM berdekatan sambil menantikan kenderaan awam yang bakal membawa mereka pulang ke kampung halaman setelah berjuang menuntut ilmu di tempat orang. Sekalipun sibuk dengan tugasan lajnah dan program yang tidak pernah hentinya dijalankan di kampus, aku telah mengambil kesempatan itu untuk meluangkan masa bersama keluarga dan merehatkan minda daripada kesibukan dunia yang kadangkala menjauhkan diriku daripada keluarga tercinta. Aku sedar bahawa diriku harus lebih bijak dalam menyeimbangi tugasan duniawi seiring menjaga hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan sesama alam.

Tepat jam 10.30 malam, aku tiba di Stesen KTMB Parit Buntar setelah melalui perjalanan yang meletihkan selama 5 jam di dalam kereta api. Walaupun tiba sedikit lewat berbanding waktu yang dijadualkan, aku tetap bersyukur kerana selamat tiba ke destinasi. Kedua ibu bapaku telah menjemputku pulang dari stesen untuk pulang ke rumah. Perjalanan yang memakan masa tidak kurang 10 minit akhirnya menjejakkan kakiku ke tanah tumpah darah yang melontar diriku ke masa lampau mengimbas detik-detik terakhir hayat seorang ibu. Tarikh keramat 5 Ramadhan dua tahun yang lalu, telah merakam sejarah pilu yang menitiskan air mata kesedihan saat arwah ibuku menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ah, terlalu sukar untukku mengimbas kembali detik yang seringkali mencengkam memori dengan linangan mutiara yang yang sukar ditafsirkan. Sekuntum doa dan al-Fatihah daku panjatkan kepada Allah buat arwah ibu yang tercinta. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin di Jannah FirdausiNya.

Sampai di tingkat atas, lampu pendafluor yang masih menyala di samping iringan nasyid menandakan masih ada sosok tubuh yang berjaga. Pintu bilik ku buka perlahan-lahan sehinggalah sosok itu jelas terlihat dihadapan mata. Angah masih setia di hadapan komputernya untuk menyiapkan tugasan STAM yang diterima. Setelah bersiram, aku mempersiapkan diriku bagi mengerjakan solat yang tertangguh selama berada di dalam kereta api tadi. Usai solat, aku mengambil sedikit masa untuk berkongsi cerita dan pengalaman yang telah ku lalui sepanjang kembaraku menenunt ilmu. Beberapa video menarik telah kupaparkan padanya sebagai perkongsian seketika yang penuh bermakna. Video himpunan prihatin huffaz yang ku mainkan menerusi Windows Media Player membuka matanya tentang tindakan pengecaman yang telah dijalankan di Darul Quran dalam usaha membantah kekejaman dan kezaliman pengganas Yahudi dan Isreal Laknatullahi a’lahim ajma’in ke atas misi keamanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebulan yang lalu.

Keesokan harinya, aku meluangkan masa bersama adik-adikku yang telah lama menantikan kepulanganku ke rumah. Maka aku berhasrat untuk membawa mereka mengambil angin di Taiping pada sebelah petang. Setelah menemani adikku melayari internet di Nadia.Com, aku sempat memberhentikan kenderaan di sebuah tapak Parking berdekatan sebuah Pasaraya Billion untuk berkunjung ke Karnival Telefon Bimbit dan Digital walaupun kebanyakan gerai masih belum dibuka. Beberapa jenis handset mewah dipamerkan untuk tatapan pengunjung yang hadir. Kebanyakan handset mahal dan berjenama membuatku mataku rambang seketika. Mujurlah wang yang tersimpat di kocekku tidak mengizinkan aku berada lama di situ. Tidak lama kemudian aku terus memecut kereta pulang ke rumah bagi membuat persiapan ke Taiping selepas zohor.

Jarum jam yang menunjukkan 3.00 petang menjadi saksi permulaan perjalananku dan adik-adik menaiki kenderaan ayahku yang masih bekerja. Ibuku pula berada di rumah Tok Wan di Taman Semarak untuk mengambil adik tiriku yang menetap sementara di sana. Perjalanan petang itu lebih mudah dengan kekangan kereta yang meluncur laju di jalan raya yang selalunya agak menyibukkan. Cuaca yang agak baik dengan sinaran mentari tetap memanahkan cahayanya ke batang jalan lalu menghasilkan fatamorgana yang seringkali memperdayakan mata yang melihatnya.

Pelabagai kerenah dan ragam pengguna jalan raya dapat ku lihat sepanjang perjalanan menuju destinasi. Mat Rempit yang sentiasa bermegah-megah dengan aksi ngerinya tidak turut ketinggalan memecah suasana yang sebelumnya tenteram dengan keadaan trafik yang berjalan lancar. 45 minit telah pun berlalu dan kenderaan yang kami naiki kini telah selamat tiba di persimpangan Kamunting-Taiping yang terkenal dengan pelbagai warisan tinggalan. Zoo Taiping, Night Safari, Muzium Warisan dan Taman Tasik Taiping merupakan antara tarikan menarik bandaraya bersejarah ini kepada para pengunjung luar dan dalam yang tidak jemu-jemu berkunjung ke sini.

Taiping Lake Garden yang menyimpan 1001 rahsia kedamaian

Destinasi pertama kami ialah Taman Tasik Taiping yang terkenal dengan air terjun yang mengalir deras di Burmese Pool. Kami memberhentikan kenderaan di tempat parking yang disediakan untuk membasahkan tubuh di sebalik aliran air terjun yang mendamaikan. Bayaran RM 2 telah dikenakan kepada kami sebagai bayaran meletak kenderaan. Pengunjung yang hadir seakan-akan membanjiri kawasan air terjun tersebut ditambah dengan kunjungan adik-adik kelas KAFA yang menaiki beberapa bas persiaran. Setelah puas melalui mini junggle tracking untukmencari tempat yang sesuai melabuhkan diri, akhirnya tempat yang sesuai dapat kami temui walaupun kelibat orang ramai kelihatan tidak jauh dari situ.

Aliran deras menerusi batu-batu besar memukul tubuhku yang bersandar menghalangi aliran tersebut. Namun ia terasa begitu menyeronokkan dan melegakan untuk merehatkan minda yang agak berserabut akhir-akhir ini. Beberapa keping gambar sempat ku tangkap sebagai kenangan manis bersama adik-adik di situ. Setelah puas bermandi-manda kami bergerak ke toilet untuk membasahkan tubuh bagi kali kedua. Beberapa minit kemudian kami bertolak ke destinasi seterusnya setelah tubuh mulai kering.

Seterusnya kami menuju ke Hypermarket Tesco Taiping yang terletak berhampiran dari Taman Tasik. Beberapa pusingan ku ambil memandangkan tapak parking yang disediakan agak padat dengan kenderaan lain ditambah pula dengan kenderaan yang berlumba-lumba merebut tapak yang sesuai untuk parking. Setelah puas berlegar-legar mencari tapak yang sesuai, aku membuat keputusan untuk memarkir kenderaan di luar pasaraya. Kewajipan menunaikan Solat Asar tetap kami dahulukan sebelum membeli-belah di Pasaraya Tesco tersebut. Usai menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim, kami bergerak ke bahagian jualan pelbagai barangan seperti pakaian, makanan, barang mentah dan barang elektrik dan digital. Aku tidak melepaskan kesempatan untuk membeli sebuah kit folder untuk laptop setelah lama ku idamkan.

Penat berjalan di sekitar pasaraya, kami melepaskan lelah di Medan Selera yang luas sambil memesan beberapa menu hidangan yang menyelarakan untuk mengisi perut yang kosong. Aku sempat memesan sebuah menu yang boleh dikira istimewa bagiku memandangkan pertama kalinya aku memesan makanan tersebut. Entah perasaan apa yang hadir ketika itu membuatku memesan nasi ayam candawan yang dimasak dalam periuk besi yang leper. Tanpa menghiraukan kepanasan yang meluap-luap setelah baru dimasak, aku terus merasainya. Tidak semena-mena mengalir air mataku bukan kerana sedih melainkan menahan kepanasan yang berlegar-legar di ruang mulutku.

Suasana menjadi gamit seketika sambil kami tertawa bersama dengan sikapku sebentar tadi. Walaubagaimanapun, kami tetap menghabiskan makanan masing-masing sebagai simpanan tenaga untuk perjalanan seterusnya. Kemudian aku membawa kenderaan meluncur laju di jalanraya yang semakin sibuk memandangkan mentari senja hampir membenamkan dirinya di ufuk barat tidak lama lagi. Destinasi seterusnya menjadi sukar kerana setelah sekian lama tidak ku datangi ke tempat tersebut. Tempat bermain bowling terus ku cari di merata-rata tempat sekelilng Taiping. Walaupun pada mulanya aku hampir berputus asa mencari tempat tersebut, namun akhirnya kami berhasil menemukan destinasi terakhir tersebut sebelum azan maghrib berkumandang.

Kami sekeluarga menuanikan solat maghrib berjemaah di sebuah Masjid Jamek Taiping. Setelah merehatkan minda dan meregangkan otot melalui ibdah wajib bagi seorang muslim, kami segera bertolak ke tempat bowling tersebut sebelum lewat malam menjelma. Ternyata, tempat itu mengenangkan aku kepada arwah ibu yang telah pergi dulu di saat kami bersama-sama sekelurga bercuti di Taiping dan menginap di sebuah Hotel Swiss yang berdekatan. Tempat Bowling itu menjadi saksi kehadiranku dan keluarga sebelum ini dan untuk kesekian kalinya ku hadir sekali lagi ke sini walaupun tanpa arwah ibu. Kesedihan itu berjaya ku rawati dengan games bowling yang ku tempah untuk dua pemain. Aku dan adik-adik berpeluang meleretkan bola bowling tersebut merentasi lorong-lorang yang telah dibuka untuk menjatuhkan 10 pin yang berada di akhir lorang tersebut. Beberapa percubaan telah ku lakukan untuk menjatuhkan pin-pin tersebut namun tidak berhasil kerana masih tertinggal satu pin yang menggagalkan aku memperoleh mata strike. Namun gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya, akhirnya aku berjaya memperoleh strike di akhir percubaan dan kegembiraan jelas kurasai ketika itu. Tidak kurang juga buat adik-adikku yang lebih merasai kegembiraan itu setelah sekian lama tidak berziarah.

Kegelapan malam semakin menyelubungi suasana sepi di Taiping. Tanpa membuang masa kami bertolak pulang setelah keletihan berjalan-jalan di sekeling Taiping. Aku mengambil jalan yang berlainan dari yang biasanya memandangkan jalan tersebut lebih hampir ke jalan keluar berbanding melalui Kamunting. Perjalanan tetap diterusakan ke destinasi tetap kami iaitu rumah. Perjalanan malam itu juga tidaklah terlalu sukar kerana keadaan trafik masih terkawal dibantu dengan lampu-lampu jalan yang terang benderang. Sekalipun lampu kereta yang kami naiki agak malap namun kami bersyukur kerana selamat sampai ke rumah pada jam 10.00 malam. Rintikan hujan tetap menghiasi perjalan kami dengan titis-titis air yang menyanyikan rentan kegenbiaraan menyahut kegelapan malam yang kadagkala mendatangkan kengerian kepada sesiapa sahaja.

Menyentuh tentang kegelapan malam, membuatku ku termenung sejenak pada firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Falaq yat 1-5 yang bermaksud: 1.“Katakanlah, “Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh (fajar), 2. Dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan, 3. Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita, 4. Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (talinya), 5. Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”

Maha Suci Allah yang Maha Kuasa menciptkan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang sesuai dengan kehidupan manusia di mana siangnya dimanfaatkan untuk mencari rezaki yang terhampar di bumi sedangkan pada malamnya dimnafaatkan untuk berehat dan mengerjakan ibadah sepertiga malam sebagai tanda kesyukuran dan tanda pengabdian atas rasa kehambaan kepada Allah.

Perjalanan selama hampir sehari begitu memenatkan kami namun ia cukup memuaskan hati kerana pada hari ini kami telah meluangkan hampir sepenuh masa bersama. Hal ini telah lama ku dambakan setelah sibuk meguruskan tugasan harian di Darul Quran. Apa yang lebih menggembiranku adalah dapat membawa adik-adik berjalan-jalan di sekitar bandaraya bersejarah Taiping. Semoga pengalaman dan kenangan yang kami peroleh hari ini akan menjadi memori indah yang bakal terlakar dalam kamus kebahagiaan masing-masing.

Umar Mujahid

Isnin/11.42 pagi

28 Jun 2010/15 Rejab 1431 Hijrah

0 comments:

Post a Comment