Asssalamualaikum w.b.t,
Jutaan kemaafan daku pohonkan kepada semua pembaca setia blog Tinta Secebis Harapan atas kelewatan mengupdate blog berikutan pelbagai masyaqqah yang harus ku selesaikan. Namun warkah kali ini ku tatahkan khas buat arwah ibu yang amat ku cintai dan sayangi sepenuh hati. Walaupun ibu telah pergi meninggalkan kami selama genap dua tahun lamanya namun jasa dan pengorbanan ibu tetap tidak pernah luput daripada ingatan anak-anak yang sering merindukanmu.
Ramadahan bakal berlalu, dan fajar syawal pula bakal menyusul tiba. Tanggal 5 Ramadhan 1429 H bersamaan hari Jumaat merupakan hari pemergian arwah ibu di saat-saat getirnya mengharungi detik kematian. Sungguhpun diriku tidak berkesempatan menemuinya di saat-saat akhir ibu memanggil anaknya namun ku relakan pemergian ibu atas takdir Ilahi yang Maha Berkehendak. Linangan air mata yang mengalir deras tanpa hentinya daku titiskan atas pemergian ibu yang ku cintai. Setiap kali mengenangkannya, sebak di dada seringkali mencengkam sukma lantas melontar diriku jauh ke pangkuan ibu saat bersamanya suatu ketika dahulu. Sejak kecil ibu menatang kami bagaikan minyak yang penuh. Kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan kepada anak-anaknya tidak akan mampu dibalasi walau segunung permata menjadi galang gantinya.
Ibu, warkah ini kutuliskan buatmu dengan perasaan hiba yang tidak akan pernah lenyap setiap kali memoriku mengimbas detik kenangan manis kita bersama. Suka duka yang kita tempuhi bersama seawal kelahiranku sehinggalah dewasa telah mengajarku erti ketabahan dalam kehidupan. Oh ya bu, lupa untuk ku khabarkan kepadamu bahawa daku telah berhasil mengkhatamkan hafazan Al-Quran pada hari dikau melahirkanku. Ku sengaja memilih tarikh itu agar aku bisa mengingatimu yang telah bersusah payah melahirkanku, menyusu dan membesarkanku dengan jerih payah keringat seorang ibu juga guru suatu ketika dahulu.
Tanggal 11 Mei 2008 yang lalu, kau telah menemaniku ke Darul Quran buat kali pertamanya dengan harapan agar aku bisa menamatkan hafazan Al-Quran 30 Juz dengan jayanya. Daku sedar dirimu sering merisaukan tentang diriku namun kerisauanmu terubat dengan panggilan dariku genap seminggu aku di sana. Pelbagai cerita yang ku kongsikan denganmu sebaik sahaja gagang telegon berada di telingamu. Kerinduan pada keluarga masih tetap kurasakan walaupun aku sudah terbiasa tinggal di asrama selama 5 tahun semasa pengajian menengahku. Daku meneruskan pengajian di Darul Quran seperti biasa namun panggilan ku kerumah tidak disambut oleh ibu seperti biasanya.
Perasaan sebak menyelubungi diriku lantaran mengetahui keadaan ibuku yang sakit dan lemah seluruh badan. Terketar-ketar suaranya saat berbicara denganku sehingga titisan mutiara jernih terasa begitu murah dialirkan mendengarkan suara ibu yang sayu menahan keasikitan yang dialaminya. Namun dalam keadaan sebegit, ibu tetap tidak lupa menasihati anaknya agar berusaha keras menghafaz Al-Quran dan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cerah. Siang malam aku termenung sendirian mengenangkan setiap bait kata-kata yang kau lafazkan di penghujung talian tadi, namun hatiku merasa tidak enak seakan-seakan sesuatu bakal berlaku menimpa ibu. Ku tabahkan hati dan kuatkan semangat agar apa yang aku rasakan itu hanyalah ilusi dan mimpi yang bermain-main di kotak fikiran. Kenyataannya, perkara yang tidak ku ingini itu menjadi kisah benar yang menyayat hati atas pemergiannya menghadap ilahi.
Satu Syawal bakal menjelma sedikit masa lagi. Dan kali ini kau masih belum pulang, bu. Genap 2 kali kami menyambut lebaran tanpa kehadiranmu di sisi. “Kami sangat merindukanmu, ibu. Pulanglah, kami setia menantimu.” Suara hatiku memujuk sepi bahawa ibuku pasti kan pulang, namun takdir Allah harus ku pasrahkan bahawa ibu tak akan kembali ke pangkuan keluarga kami melainkan kami yang menyusul ibu ke sana bila tiba waktunya.
Ibu, sesungguhnya ajal kematian, jodoh dan rezeki segalanya telah menjadi ketentuan Allah sejak azali kepada setiap hambaNya. Kerana itu, daku percaya bahawa suatu hari nanti aku bakal menyusulimu ke sana. Saban hari aku berdoa tanpa jemu, agar bisa dipertemukan denganmu kelak di syurgaNya atas izin dari Allah yang Maha Berkehendak. Ya Allah, pertemukanlah diriku dengan ibu yang ku cintai di jannahMu agar aku bisa kembali merasai kasih sayang seorang ibu yang amat ku dambakan darinya. Limpahkan rahmat dan berkatMu ke atas arwah dan semoga dia ditempatkan di Syurga Firdausi bersama para syuhada’ dan salafus soleh yang berkorban demi agamaMu.. Ameen.
Hanya setakat ini yang dapat ku tuliskan dalam warkah cintaku kepadamu. Merenungi sepotong kata-kata indah daripada ibnu Athoillah dalam syarah al-Hikam yang bermaksud, “Tiada rasa cinta yang lebih menggetarkan seorang hamba melainkan rasa takut kepada TuhanNya.” Janganlah terlalu mengharap, kelak kesedihan akan menghinggap dan kekecewaan akan terus menyerkap. Selamat hari raya Aidilfiri daku ucapkan buatmu, ibu.. semoga dirimu disinari rahmat Ilahi tatkala cinta berbisik, suaramu memuji Tuhan, tatakala rindu terusik RasulNya menjadi pilihan. Sebagai manusia, daku sayang padamu, ibu! Selagi roh menunjangi jasad, selagi kudrat mengampuh tenaga akan ku tetapkan niat, kuatkan tekad dan tabahkan hati dalam perjuangan mengharungi kehidupan sebagai khalifahNya di muka bumi ini.
Wassalam.
Dari anakmu,
Syakir..
Umar Mujahid
Khamis/9.00 pagi
9 September 2010/30 Ramadhan 1431 Hijrah
0 comments:
Post a Comment