SANAH HELWAH, IBU..

Ku rindu kasih sayangmu..

Kau pergi tinggalkanku..

Masih sepi di hati ini..

Kau bilangku mutiara hati..

Ya Allah,

Berikanlah aku bonda yang berhati mulia..

Sebagai ganti bonda yang pergi..

Untuk membimbing menuju redhaMu..


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Sekali lagi ku pahatkan memori dalam kenangan terindah bersamamu.. Ibu, genaplah 49 tahun dalam perkiraan usiamu sehingga ke hari ini. Tarikh keramat yang ternyata sukar untuk ku lupakan dalam takwim hidupku. Hampir 3 tahun jua kau pergi meninggalkan kami sekeluarga tanpa sebarang perkhabaran berita. Saban hari, kami menanti kepulanganmu.. walau jasadmu tidak mampu ku tatap, namun redup wajahmu yang memancarkan sinar harapan jelas tergambar dalam kotak fikiranku.

Sungguh, tidak mudah rasanya untuk melupakan insan yang amat kita sayangi. Apatah lagi seorang ibu yang telah melahirkan, menyusu, mengasuh, mendidik serta menatang anak-anaknya bagaikan minyak yang penuh. Jasa dan pengorbanannya yang tidak terkira terlalu tebal untuk ditembusi dan terlalu jauh untuk dilangkaui malahan terlalu mahal untuk ditebus. Namun , sebagai seorang anak soleh adalah sewajibnya kita mematuhi dan mentaati segala arahan yang diminta oleh ibu bapa kita. Malahan Allah S.W.T telah berfirman dalam kalamNya, berdosa besarlah mereka yang menderhakai ibu bapa sekalipun dengan ungkapan “uh!”.

Atas rasa redha dengan ketetapan Ilahi, daku merelakan pemergianmu kerana Allah. Biarpun kau pergi dahulu tanpa sempat untukku berada disisimu namun doa dan harapan akan sentiasa ku iringkan dalam warkah cintaku kepadamu. Ku panjatkan segala kesyukuran atas sunnatullah yang telah mengizinkan ibu ku pergi dalam keadaan yang penuh ketenangan dalam rahmatMu. Di sebalik keberkatan Ramadhan yang sentiasa ditunggu umat Islam seantero dunia, dikau pergi atas kehendak Ilahi setelah sekian lama kau menderita kesakitan. Setiap kali ku terima perkhabaran darimu, membuat hatiku sebak dan sedih atas sakit yang kau deritai. Biarpun puncanya masih belum diketahui namun ku doakan agar Allah sentiasa merahmatimu dalam kehidupan dunia dan akahirat.

Ibu, andai kau bisa mendengar rintihan anak sulungmu dalam warkahku ini, ku mohon agar Allah bisa mempertemukan kita dalam keadaan apa jua sekalipun kerana aku terlalu merinduimu. Biar dalam mimpi atau di syurga yang kekal abadi. “Ibu, kalau boleh along nak keluaraga kita bersatu kembali.. Along terlalu mengimpikan kebahagiaan yang pernah kita kecapi suatu ketika dahulu, jalan sama-sama, makan sama-sama, dan pernah jua along impikan unutk melihat kebahagiaan di mata ibu dan ayah saat along berjaya kelak. Sekalipun hasrat itu tidak kesampaian namun along sesekali tidak akan pernah putus asa. Along berazam dan bertekad untuk terus berusaha sedaya upaya agar dapat membantu keluaraga kita mengembalikan sinar kebahgiaan yang sekian lama suram dalam hayat ini mahupun hayat seterusnya.”

Ya Allah, dengarilah rintihan hambamu yang sarat dengan kerinduan terhadap ibu yang telah melahirkanku.. hanya Engkau yang mampu memahami hati ini di kala suka mahupun di kala duka.. tempatkanlah ibuku di syurgaMu yang kekal abadi bersama para solihin dan syuhada yang berjihad fi sabilillah.. Bersama linangan air mata yang bercucuran, ku bekalkan doa dan secebis harapan buat arwah ibu yang telah pergi untuk selamanya.. ibu, doakan anakandamu di dunia ini yang akan setia mengenangkanmu walau masa dimamah usia. Biar apapun yang terjadi kau akan sentiasa dihatiku dalam suka dan duka.. Ameen.

SANAH HELWAH, IBU..

Umar Mujahid

Khamis/2.27 petang

6 Januari 2011/2 Safar 1432 Hijrah

MUHASABAH 2010 VS. AZAM 2011


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia dariNya, dapat jua ku bersua pena dalam menyampaikan perkongsian pengalaman dan ilmu dalam usaha menyebarkan dakwah dan islah demi maslahah bersama. Sungguh lama rasanya saya berdiam diri tanpa memberikan apa-apa khabar dalam laman Tinta Secebis Harapan ini. Terlebih dahulu, seinfiniti kemaafan saya pohonkan kepada semua pembaca dan pelawat yang sudi membaca dan menghayati segala isi kandungan yang telah dicoretkan. Semoga dengan usaha yang sedikit membawa hasil yang lebih besar di kemudian hari. InsyaAllah.

Menyebut tentang Tahun Baru Masihi, masih segar diingatan saat bersama sahabat-sahabat ketika kami menyertai rush yang dianjurkan GAMIS pada awal tahun 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Pengalaman pertama yang saya perolehi cukup menggambarkan keadaan umat yang semakin parah dek kerana keruntuhan akhlak yang berlaku di kalangan remaja bawah umur mahupun yang telah dewasa. Perlakuan yang tidak senonoh dan kurang sopan menjadi bahan tontonan masyarakat umum yang turut sama hadir bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru ketika itu.

Konsert besar-besaran yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu telah diadakan bertujuan untuk menarik lebih ramai tetamu luar hadir ke sambutan Tahun Baru. Konsert yang menampilkan ramai daripada kalangan artis-artis tanah air berjaya menggegarkan Dataran Merdeka yang dibanjiri dengan ribuan manusia yang hadir. Malangnya situasi ini jarang malahan boleh dikatakan sukar berlaku seandainya ceramah perdana, forum atau majlis-majlis ilmu diadakan di sesuatu tempat. Apakah punca yang mengakibatkan masalah ini boleh berlaku? Realitinya telah berlaku di hadapan mata, adakah kita sebagai seorang muslim hanya mampu berpeluk tubuh membiarkan saudara-saudara seagama kita dihanyutkan arus dunia yang melalaikan?


MUHASABAH

Muhasabah Tahun Baru. Saya masih teringat kandungan ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz dalam radio IKIM(Institut Kefahaman Malaysia) semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh seorang wanita yang mengatakan muhasabah adalah antara ‘term’ yang cukup dibenci setiap kali menjelang tahun baru kerana muhasabah dikatakan sebagai suatu perkara lama yang tidak semestinya dilakukan. Bermuhasabah bukan merupakan kewajipan yang wajib dilakukan oleh setiap orang terutama menjelang Tahun Baru tetapi Islam telah menganjurkan kita untuk bermuhasabah dengan menghitung segala amal perbuatan yang kita lakukan sepanjang perjalanan hidup yang telah kita lalui. Bahkan muhasabah bukan hanya perlu dilakukan apabila Tahun Baru menjelang namun perlu dilakukan setiap hari dan ada pendapat yang mengatakan bahawa antara waktu yang paling sesuai untuk melakukan muhasabah ialah sebelum tidur.

Mungkin kita pernah mendengar kata-kata ini, “Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup untuk selama-lamanya, dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari”. Dalam sebuah artikel yang pernah saya postkan suatu ketika lalu ada menyatakan mengenai kepentingan berada pada hari ini sepenuhnya. Apa yang saya maksudkan di sini adalah membayangkan kehidupan kita hanya sekadar pada hari tersebut dan kita pasti menemui kematian pada hari berikutnya. Apabila perkara ini dapat di’settingkan’ dalam minda masing-masing maka berkuranglah perbuatan jahat yang dilakukan kerana memikirkan pahala yang ingin dikumpulkan sebagai bekalan kehidupan di alam yang lain. Di samping itu, seseorang yang menganggap bahawa diri mereka akan menemui ajal dalam kadar yang singkat akan melakukan taubat nasuha memohon belas ihsan daripada Allah S.W.T agar diberikan pelepasan daripada azab neraka yang dahsyat dan dikurnikan nikmat Syurga yang tiada taranya.

Oleh, kerana itu muhasabah seharusnya dilakukan oleh setiap individu bagi menghitung segala amal yang pernah dilakukan sepanjang menjalani kehidupan. Pernahkah kita membayangkan andai hasil perhitungan amalan yang telah kita lakuakan selama setahun dibentangkan di hadapan kita dalam bentuk penyata kira-kira. Di situ, pasti tertulis dan direkodkan segala pendapatan masuk dan keluar yang telah kita lakukan selama setahun kita berbelanja.

Mahukah kita seandainya dalam penyata kira-kira tersebut menunjukkan kerugian yang dialami kerana boros berbelanja? Ataupun kita ingin melihat keuntungan yang berganda hasil daripada pelaburan dan usaha gigih yang telah kita kerahkan dalam jangka masa setahun? Justeru, pendapatan masuk dalam penyata kira-kira tersebut bolehlah kita ibaratkan sebagai pahala yang dicatat oleh malaikat mungkar yang berada di sebelah kanan kita manakala kerugian yang kita dapati dalam penyata kira-kira tersebut merupakan perhitungan daripada segala amal buruk yang telah kita lakukan.

Mungkin kita tidak pernah sedar bahawa perhitungan Allah cukup teratur dan adil kepada seluruh umat manusia. Seandainya kita berniat untuk melakukan amal kebaikan sudah pasti dicatatkan satu pahala untuk kita sekalipun kita belum melakukannya lagi. Seandainya apa yang kita niatkan diterjemahkan dalam bentuk perbuatan yang baik (mahmudah) seperti bersedekah, membaca Al-Quran, sehinggalah menghilangkan perkara yang boleh mengganggu perjalanan seseorang telah dikira sebagai ibadah yang mencatatkan untuk setiap satunya kebaikan di sisi Allah.

Dari suatu sudut yang lain, Allah menetapkan perbuatan buruk yang dianggap dosa (mazmumah) tidak akan dicatatkan sebagai satu dosa seandainya diniatkan tetapi tidak dilakukan sehinggalah apa yang diniatkan itu dibuktikan melalui anggota zahir seperti menderhakai ibu bapa, menzalimi binatang, dan mengubah ciptaan Allah.

Muhasabah dengan cara bertaubat merupakan saluran paling tepat dalam menagih belas Ilahi bagi menghapuskan dosa yang telah lalu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap anak Adam memiliki kesalahan (dosa). Dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi no. 2499)


MUA’HADAH

Peringkat seterusnya setelah melakukan muhasabah dikenali sebagai Mua’hadah. Dalam erti kata lain, mua’hadah juga dimaksudkan dengan azam. Setelah kita bermuhasabah dengan bertaubat misalnya, kita perlu menetapkan azam yang mampu dicapai sama ada matlamat jangka masa pendek ataupun jangka masa panjang. Contohnya, dalam tahun yang lalu kita jarang mengerjakan solat jemaah di masjid maka pada tahun ini aku berazam untuk mengerjakan solat jemaah ‘full’ di masjid! Ini merupakan salah satu azam yang boleh diniatkan mengikut kadar kemampuan yang kita mampu kerahkan.

Berazamlah untuk memperbaiki diri daripada kesilapan lalu dan lakukanlah perubahan yang lebih baik pada tahun yang mendatang. Seseorang yang beriman pasti melalui hari-hari kehadapan dengan tenang dan yakin dengan rezeki dan limpah kurnia yang telah Allah tetapkan dalam qada’dan qadarNya. Jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang meraih kebahagian dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Apabila anda di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.

Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.

Sebuah falsafah yang boleh saya kirakan cukup bermakna untuk dijadikan sebagai prinsip kehidupan dalam diari seorang muslim yang mengimpikan kehidupan yang munazzomah sebagaimana Islam dikaitkan dengan keindahan dan kesyumulannya sebagai agama yang meyeluruh dan mencakupi segala aspek kehidupan. Maka dengan itu, berazamlah untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebaliknya manjadikan kesilapan tersebut sebagai benteng atau sempadan sebagai usaha untuk mengislahkan diri menjadi insan yang bertaqwa disisiNya. Tentu kita pernah mendengar bila mana ramai manusia yang sering berpesan kepada kita agar menjadikan yang baik sebagai tauladan dan yang buruk sebagai sempadan. Namun pesanan ini bukan hanya dilafazkan melalui lisan semata-mata namun dibuktikan dengan amalan zahir.


MUJAHADAH

Setelah bermua’hadah, kita digalakkan bermujahadah atau dalam erti kata lainnya bermaksud, melawan. Mujahadah yang dimaksudkan di sini adalah lebih merujuk kepda nafsu yang bersarang dalam diri manusia. Untuk melakukan perubahan yang segera bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan mujahadah yang kuat untuk berlawan dengan nafsu sendiri.

Suatu analogi yang cukup mudah digambarkan apabila kita mengaitkan seorang perokok tegar yang berniat untuk berhenti merokok sempena azam Tahun Baru, namun untuk berhenti secara keseluruhan memerlukan masa yang agak lama dan perlukan strategi yang berperingkat-peringkat untuk berubah. Maka dengan itu, mujahadah yang kuat diperlukan untuk melawan kehendak sendiri yang pada kebiasaannya suka merokok. Pengamalan tabiat yang baik seperti mengamalkan senaman ringan setiap hari, makan makanan berzat dan menjauhi perokok merupakan suatu tindakan yang bijak dalam usaha untuk berhenti daripada gejala perokok.

Konsep yang sama seharusnya digunakan dalam mujahadah melawan segala mehnah dan tribulasi yang menyekat potensi diri daripada terus mencuba. Pantang menyerah sebelum mencuba. Jangan sesekali menyekat potensi diri malah diasah dengan perkara yang mampu membangkitkan semangat dan kekuatan dalam menggapai sinar harapan yang pasti kunjung datang.

Dalam realiti kita sebagai seorang huffaz, mujahadah dengan Al-Quran telah banyak melatih kita untuk menjadi seorang hafiz yang mampu mengingati Al-Quran dengan sempurna. Teknik pengulangan yang kerap serta berstrategi mantap mampu menguatkan ingatan seseorang dalam penghafalan Al-Quran. Segala perkara yang ingin dicapai memerlukan mujahadah yang tinggi semasa melawan nafsu malas yang sentiasa merajai diri.

Seorang pengahafal Quran tidak hanya sekadar ditugaskan untuk mentasmi’ bacaan malah dikerah unutk mengulang(ia’dah) demi memantapkan hafalan. Maka disitu, mujahadah yang kuat amat diperlukan kerana manusia seringkali diperangkap dengan sifat malas, sombong, takbur, riya’ dan sebagainya sehingga niat baik yang terbuku jarang disampaikan.

Saya teringat akan suatu kisah berkenaan nafsu. Suatu hari Allah S.W.T telah memanggil nafsu untuk dihadapkan kepadaNya. Maka ditanyakan kepada nafsu tersebut tentang satu soalan. Tahukah anda apakah soalan tersebut? Ya, maka Allah bertanya, adakah kamu mengaku bahawa AKU adalah Tuhanmu? Lantas nafsu menafikan persoalan yang dibangkitkan lalu Allah telah memerintahkan nafsu dilemparkan ke neraka yang panas agar insaf dan bertaubat. Namun perkara yang sama tetap berlaku apabila soalan yang sama telah diajukan dan disangkal dengan tidak mengakui bahawa Allah sebagai Tuhan. Maka kali ini nafsu tersebut telah dilemparkan ke dalam neraka yang sejuk agar berubah dan menyesali perbuatannya.

Adakah sahabat-sahabat dapat meramal apa yang akan berlaku setelah nafsu dilemparkan ke dalam kedua-dua neraka tersebut? Mampukah nafsu insaf menerima azab yang pedih dari Allah? Jawapannya tetap tidak kerana ternyata keegoaan nafsu terlalu menebal melebihi apa yang kita bayangkan. Lalu dalam panggilan ketiga, nafsu telah dilemparkan ke suatu tempat yang kering kontang, tiada apa disekeliling melainkan terpaksa berlapar dan dahaga. Sehinggalah nafsu tersebut kemudiannya dipanggil lalu akhirnya dia mengalah dan mengakui bahawa Allah sebagai Tuhan.

Pengajaran ataupun ibrah yang boleh kita perolehi daripada kisah ini adalah mujahadah melawan keegoan nafsu yang sentiasa menggoda kaum Adam dan Hawa. Nafsu boleh diibaratkan sebagai binatang tunggangan yang boleh jadi terlatih seandainya dikawal dengan akal yang sihat, minda yang positif dan hati yang tawadhuk. Namun perkara sebaliknya berlaku andai nafsu tidak dikawal rapi bagaikan unta liar yang terlepas daripada tambatannya.


AKHIR KATA

Kesimpulan yang kta boleh dapati daripada apa yang cuba disampaikan adalah bagaimana kita bermuhasabah atau menghitung diri dalam meletuskan ledakan paradigma yang mencetuskan perubahan daripada segenap aspek lahiriah dan rohaniah. Pelajarilah untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dengan menjadikan kesilapan lalu sebagai benteng ampuh dari terus terjunam ke lembah kebinasaan. Sebaliknya, tanamkanlah dalam diri bahawa kita mampu untuk berubah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri.”

Hal ini jelas terbukti bahawa manusia mampu melakukan perubahan yang baik dalam diri. Antara ciri-ciri insan cemerlang adalah mereka yang sentiasa merebut peluang yang ada. Mereka kemudiaannya akan menilai peluang itu lalu digapai dan diterokai lantas dibina peluang itu sehingga menjadi sebuah kejayaan yang indah. Namun alangkah malangnya orang yang gagal kerana ia berada di takuk yang lama, tidak mahu berubah kerana menganggap peluang itu sebagai cerita dongeng yang tidak bermakna.

Sepotong kata-kata motovasi yang pernah dinukilkan oleh SAIFUL ISLAM.COM, “Manusia yang berubah kerana terpaksa adalah mangsa sedangkan manusia yang memaksa dirinya untuk berubah maka dialah orang yang berjaya!”

Sebuah lagi firman Allah S.W.T yang berbunyi :

¼çmßJ»tFÅz Ô7ó¡ÏB 4 Îûur y7Ï9ºsŒ ħsù$uZoKuù=sù tbqÝ¡Ïÿ»oYtGßJø9$# ÇËÏÈ

26. Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka Yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan;

Berdasarkan firman Allah di atas jelas sekali menggambarkan kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan menepuh ranjau kehidupan pasti akan dihalangi dengan onak dan duri yang bertindak sebagai mehnah dan tribulasi sebelum merasai kemanisan sebuah kejayaan.

Dalam ayat di atas, Allah telah menjadikan pengakhiran sesuatu perlumbaan sebagai kasturi yang dimaksudkan dengan syurga yang menyimpan 1001 nikmat yang sukar kita gambarkan. Maka untuk mencapai nikmat itu bukanlah semudah yang kita sangkakan kerana kita pasti akan menemui saingan yang hebat sebelum sampai ke garisan penamat. Dalam kata yang lain, bersainglah secara sihat dengan setiap lawan kita demi meraih kejayaan abadi di pintu Syurga Firdausi.

Wallahua’lam.

Umar Mujahid

Selasa/9.55 malam

4 Januari 2011/29 Muharram 1432 Hijrah