Doa Pengantin Baru

Bismillahirrahmanirrahim,

Barakallahulakuma wa baraka, a’laikuma wa jama’ bainakuma bil khair..

Ya Allah ya Tuhanku, limpahkanlah rahmat dan kasih sayangMu ke atas kedua mempelai yang bersatu atas dasar iman dan taqwa keranaMu.. Eratkanlah ikatan kasih yang terbina antara mereka dan kuatkanlah mereka menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam melayari samudera rumah tangga. Pimpinlah mereka agar dapat mengemudi bahtera rumah tangga dengan penuh ketenangan dan keharmonian. Selubungilah kehidupan mereka dengan sinar iman dan taqwa agar mereka mampu berhadapan segala halangan dengan hati yang ikhlas atas segala ketentuanMu.

Ya Allah, satukanlah hati hati mereka dan hati kami di dalam cahaya kasih sayangMu. Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan keselamatan dan selamatkanlah kami daripada kegelapan menuju cahaya. Ya Allah, kukuhkanlah ikatan cinta di antara mereka. Jadikanlah rumah tangga mereka rumah tangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Kuatkan mereka menghadapi segala cubaan, baik yang zahir mahupun yang tersembunyi. Ya Allah, jagalah iman, islam dan keikhlasan hati mereka dalam beribadah kepadaMu. Jadikanlah , mereka insan yang cemerlang bkan sahaja di dunia bahkan jua di akhirat. Mudah- mudahan kasih yang bersemi di antara mereka kian mekar bagaikan bungaan yang mekar di taman saat disimbahi nur rahmatMu.

Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah sebagai buah hati penyejuk mata serta pewaris keimanan dan ketaqwaan yang disemai di dalam hati. Semoga dengannya makin bertambahlah umat Muhammad di muka bumi dan menjadi insan berguna pada kedua ibu bapa, agama, masyarakat, bangsa dan Negara.

Ya Allah, jadikanlah isteri dan anak-anak kami sebagai penyejuk mata.. dan jadikanlah kami daripada golongan pemimpin yang bertakwa.

Ya Allah, pada hari ini engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun. Berkumpul atas dasar kasih sayangMu, bersatu kerana taat kepada Mu.. Bertemu kerana membantu menegakkan syariatMu. Maka satukanlah hati-hati ini dalam mengejar redhaMu.

Ameen.. Ya Rabbal A’lamin..


Nukilan:

Umar Mujahid - 6 November 2010

p/s: Sempena Walimah Saudara Shahizam & Saudari Nurul Hikmah( Kakak Fattah)

Semoga berbahagia dunia dan akhirat.. Ameen