SANAH HELWAH, IBU..

Ku rindu kasih sayangmu..

Kau pergi tinggalkanku..

Masih sepi di hati ini..

Kau bilangku mutiara hati..

Ya Allah,

Berikanlah aku bonda yang berhati mulia..

Sebagai ganti bonda yang pergi..

Untuk membimbing menuju redhaMu..


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Sekali lagi ku pahatkan memori dalam kenangan terindah bersamamu.. Ibu, genaplah 49 tahun dalam perkiraan usiamu sehingga ke hari ini. Tarikh keramat yang ternyata sukar untuk ku lupakan dalam takwim hidupku. Hampir 3 tahun jua kau pergi meninggalkan kami sekeluarga tanpa sebarang perkhabaran berita. Saban hari, kami menanti kepulanganmu.. walau jasadmu tidak mampu ku tatap, namun redup wajahmu yang memancarkan sinar harapan jelas tergambar dalam kotak fikiranku.

Sungguh, tidak mudah rasanya untuk melupakan insan yang amat kita sayangi. Apatah lagi seorang ibu yang telah melahirkan, menyusu, mengasuh, mendidik serta menatang anak-anaknya bagaikan minyak yang penuh. Jasa dan pengorbanannya yang tidak terkira terlalu tebal untuk ditembusi dan terlalu jauh untuk dilangkaui malahan terlalu mahal untuk ditebus. Namun , sebagai seorang anak soleh adalah sewajibnya kita mematuhi dan mentaati segala arahan yang diminta oleh ibu bapa kita. Malahan Allah S.W.T telah berfirman dalam kalamNya, berdosa besarlah mereka yang menderhakai ibu bapa sekalipun dengan ungkapan “uh!”.

Atas rasa redha dengan ketetapan Ilahi, daku merelakan pemergianmu kerana Allah. Biarpun kau pergi dahulu tanpa sempat untukku berada disisimu namun doa dan harapan akan sentiasa ku iringkan dalam warkah cintaku kepadamu. Ku panjatkan segala kesyukuran atas sunnatullah yang telah mengizinkan ibu ku pergi dalam keadaan yang penuh ketenangan dalam rahmatMu. Di sebalik keberkatan Ramadhan yang sentiasa ditunggu umat Islam seantero dunia, dikau pergi atas kehendak Ilahi setelah sekian lama kau menderita kesakitan. Setiap kali ku terima perkhabaran darimu, membuat hatiku sebak dan sedih atas sakit yang kau deritai. Biarpun puncanya masih belum diketahui namun ku doakan agar Allah sentiasa merahmatimu dalam kehidupan dunia dan akahirat.

Ibu, andai kau bisa mendengar rintihan anak sulungmu dalam warkahku ini, ku mohon agar Allah bisa mempertemukan kita dalam keadaan apa jua sekalipun kerana aku terlalu merinduimu. Biar dalam mimpi atau di syurga yang kekal abadi. “Ibu, kalau boleh along nak keluaraga kita bersatu kembali.. Along terlalu mengimpikan kebahagiaan yang pernah kita kecapi suatu ketika dahulu, jalan sama-sama, makan sama-sama, dan pernah jua along impikan unutk melihat kebahagiaan di mata ibu dan ayah saat along berjaya kelak. Sekalipun hasrat itu tidak kesampaian namun along sesekali tidak akan pernah putus asa. Along berazam dan bertekad untuk terus berusaha sedaya upaya agar dapat membantu keluaraga kita mengembalikan sinar kebahgiaan yang sekian lama suram dalam hayat ini mahupun hayat seterusnya.”

Ya Allah, dengarilah rintihan hambamu yang sarat dengan kerinduan terhadap ibu yang telah melahirkanku.. hanya Engkau yang mampu memahami hati ini di kala suka mahupun di kala duka.. tempatkanlah ibuku di syurgaMu yang kekal abadi bersama para solihin dan syuhada yang berjihad fi sabilillah.. Bersama linangan air mata yang bercucuran, ku bekalkan doa dan secebis harapan buat arwah ibu yang telah pergi untuk selamanya.. ibu, doakan anakandamu di dunia ini yang akan setia mengenangkanmu walau masa dimamah usia. Biar apapun yang terjadi kau akan sentiasa dihatiku dalam suka dan duka.. Ameen.

SANAH HELWAH, IBU..

Umar Mujahid

Khamis/2.27 petang

6 Januari 2011/2 Safar 1432 Hijrah

0 comments:

Post a Comment