Pandanglah menerusi MATA HATI!

Pandangan MATA selalu menipu

Pandangan AKAL selalu tersalah

Pandangan NAFSU selalu melulu

Pandangan HATI itu yang hakiki

Kalau hati itu bersih..

Artis: Hijjaz

Lirik & Lagu: Hijjaz

Album: Pelita Hidup

Demikianlah serba ringkas lirik lagu yang didendangkan oleh sebuah kumpulan nasyid yang tidak asing lagi di tanah air kita iaitu Hijjaz. Lagu yang bertajuk MATA HATI memiliki rahsia yang mendalam untuk disingkap kerana ia mempunyai perkaitan signifikan tentang seketul daging yang berada dalam diri manusia bernama HATI.

Di antara hadis yang memperkatakan tentang hati adalah salah satu hadis yang telah dimuatkan di dalam buku terkenal Imam al-Nawawi iaitu himpunan hadis 40. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui seorang sahabat bernama al-Nu’man Bin Bashir. Kita ambil penghujungnya dengan melihat kepada terjemahannya: “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam badan itu ada seketul daging .. apabia ia baik , maka baiklah seluruh badan.. dan apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhan badan.. ketahuilah bahawa ia adalah HATI..”

Pandangan MATA

Dalam sebuah ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman bertajuk “Vandalisme: Cermin Musnahnya Masyarakat” telah mengetengahkan 4 pandangan yang wujud pada diri manusia. Pertamanya ialah pandangan mata yang selalu menipu. Pandangan secara zahir melalui pancaindera mata yang telah Allah kurniakan kepada kita sering disalah gunakan oleh kebanyakan pihak dengan melihat perkara-perkara yang tidak berfaedah termasuk pornografi dan video lucah. Nikmat mata yang sepatutnya digunakan untuk melihat kebesaran dan keagungan Allah telah disalah ertikan malah menggunakannya ke jalan yang dimurkaiNya.

Adakalanya manusia melihat sesuatu melalui mata kasar tanpa menilainya melalui mata hati. Maka, keputusan drastik yang diambil akhirnya telah menzalimi pihak lain tanpa usul periksa. Analogi mudah yang ingin saya bawakan mengenai pandangan mata ialah fatamorgana dunia yang menipu daya. Pernahkah anda melihat lopakan air yang berada di atas jalanan ketika memandu? Hal ini biasanya berlaku saat mentari rembang di pertengahan ufuk langit pada siang harinya. Udara panas yang berkumpul di permukaan jalan akhirnya membentuk fatamorgana seperti cairan air namun hakikatnya, ia tidak pernah wujud.

Pandangan AKAL

Pandangan kedua yang disebutkan ialah pandangan akal yang selalunya tersalah. Hal ini berlaku apabila akal gagal mentafsir sesuatu maklumat untuk bertindak. Akal merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada manusia sekaligus membezakan manusia dengan haiwan. Malangnya, nikmat tersebut tidak pernah dihargai oleh sebilangan masyarakat hari ini bahkan lebih teruk daripada binatang. Merujuk kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: “…mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami(ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata(tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat(tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan(ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.”

Seharusnya akal digunakan sebaiknya untuk tujaun bermanfaat kepada manusia umumnya namun realiti pada hari ini telah mendedahkan senario penyalahgunaan akal atau kebijaksanaan yang dikurniakan Allah. Pernahkah sahabat sekalian mendengar kisah hidup seorang genius matematik yang ditawarkan untuk menyambung pelajaran di salah sebuah institut pengajian tinggi terkemuka dunia? Kejayaannya mengharumkan nama dunia setelah ditawarkan ke Oxford dalam usia muda telah membuka mata masyarakat tentang kehebatan anak Melayu yang mampu menempa nama di persada antarabangsa atas kearifannya dalam bidang Matematik persis adik Adi Putra.

Malangnya, apa yang telah berlaku kepada gadis secerdik Sufiah Yusof sukar untuk dipercayai. Pengakuannya menjual tubuh kepada insan-insan durjana yang dahagakan nafsu telah menukar persepsi dunia kepada gadis genius ini. Apa yang lebih menyedihkan ialah pengakuannya yang ternyata lebih selesa dengan pendapatan yang diperolehi hasil penjualan tubuh kepada lelaki rakus yang kebanyakannya terdiri daripada “millionaire”. Tuntasnya, tunaikanlah hak akal sebaiknya dan jangan gunakan ia ke jalan yang salah.

Pandangan NAFSU

Pandangan ketiga pula ialah pandangan nafsu yang selalu melulu. Nafsu merupakan watak antagonis yang memainkan peranan penting dalam filem kehidupan manusia pada hari ini. Nafsu boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu nafsu baik dan nafsu jahat. Kedua-dua nafsu ini saling berkehendak kepada sesuatu namun hanya iman yang kuat mampu memandul nafsu ke arah kebaikan. Nafsu yang jahat pula terhasil atas bisikan syaitan yang menjadikan nafsu sebagai binatang tunggangan mereka bagi memacu roh kejahatan yang tertanam dalam diri manusia. Natijahnya, lahirlah manusia derhaka yang ingkar pada perintah Allah s.w.t.

Gejala sosial yang merebak begitu pantas semakin sukar untuk dibendung berikutan penularannya yang berpunca daripada dorongan nafsu yang bergelojak deras dalam aliran darah remaja hari ini. Rempit, zina, buli, couple, rogol dan buang bayi merupakan antara isu semasa yang hangat diperkatakan di baik dada-dada akhbar dan media massa. Sedar atau tidak masalah yang berlaku ini berpunca daripada pandangan nafsu yang melulu tanpa memikirkan akbat baik atau buruk sesuatu perkara. Tiada jawapan yang lebih mudah bagi mengatasi masalah ini melainkan mereka bijak menggunakan pandangan terakhir sebagai benteng pertahanan menentang kehendak hawa nafsu.

Pandangan HATI

Pandangan tersebut tidak lain tidak bukan ialah pandangan hati yang hakiki apatah lagi sekiranya hati itu bersih dan suci dari sebarang dosa kecil mahupun besar. Semaksum-maksum Rasulullah masih tetap mengungkapkan kalimah keampunan kepada Ilahi atas segenap tindakan yang dilakukan. Basah bibir Baginda mengucap zikir dan istighfar sehingga diriwayatkan sehingga bengkak kaki dan matanya memohon keampunan kepada Allah dalam sujud Qiamnya pada dua pertiga malam. Rasullulah merupakan contoh ikutan terbaik sepertimana yang dibuktikan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh ikutan terbaik.. bagi sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat.”

Maka, sebagai umat Nabi Muhammad, umat akhir zaman yang juga merupakan umat kesayangan nabi, mahukah kita membiarkan Rasulullah bersedih dengan nasib umat hari ini? Pandangilah sesuatu melalui mata hati kerana pandangan itulah yang hakiki nan abadi. Hanya hati yang bersih mampu memandu akal dan nafsu ke jalan kebaikan, memandangkan hati merupakan raja dalam sesebuah jasad. Jika baik hati itu, maka baiklah seluruh jasad.. jika rosak hati itu, maka rosaklah seluruh jasad..

Namun, realiti masyarakat pada hari ini hanya mampu menggunakan pandangan hati saat penyesalan menimpa mereka. Pepatah melayu ada mengatakan “nasi sudah menjadi bubur” dan “sudah terngantuk baru terngadah”. Kedua-dua pepatah ini amat sinonim dengan masyarakat kini yang dilanda badai penyesalan atas perkara yang mereka lakukan.

Mat rempit menyesal dengan nasib rakannya yang diragut nyawa gara-gara aksi rempit gagal dilakukan, si gadis menyesal setelah diperkosa dan si ibu menyesal melahirkan anak luar nikah. Tidak cukup dengan itu ada yang sanggup membuang bayi mereka di tempat-tempat hina termasuk lubang jamban. Saat ini, barulah mata hati digunakan untuk melihat akibat yang berlaku kesan perbuatan sumbang yang telah mereka lakukan. Persoalannya, mengapa pandangan hati tidak digunakan sebelum melakukan setiap tindakan? Pernahkah mereka bertanyakan hal ini kepada HATI? Apakah kita juga tergolong dalam kalangan yang diperkatakan? Bermuhasbahlah…

Terdapat sebuah hadis riwayat Imam Muslim melalui sahabat bernama Hudzaifah, Rasulullah s.a.w memberitahu kita bahawa terdapat hati-hati manusia yang sampai ke tahap terlalu hitam dengan dosa dan maksiat, sehinggakan dia “tidak kenal kebaikan dan tidak menentang kemungkaran, apa yang dia tahu hanyalah apa yang diberikan nafsunya.”

Mata hati merupakan anugerah Allah buat mereka yang beriman dan bertakwa kepadaNya. Hanya sesetengah insan sahaja yang mampu melihat dengan pandangan hati dan nurani kerana kelebihan itu bakal dibuktikan ketika munculnya dajjal di akhir zaman kelak. Ketika itu dajjal laknatullah akan mengaku dirinya sebagai TUHAN, maka ramailah manusia yang terjerumus ke dalam neraka Allah atas kekufuran mereka. Sedangkan bagi mereka yang beriman ternyata menggunakan pandangan hati untuk menilai kebenaran kata-kata dajjal tersebut kerana mereka mampu melihat perkataan KUFUR yang tertulis di dahi dajal yang bermata satu.

Kesimpulan

Tuntasnya, dalam diri manusia terdapat empat jenis pandangan sepertimana yang disebutkan. Persoalan, sejauh manakah kita menggunakan pandangan-pandangan tersebut untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara? Jawapannya ada pada HATI..

Sabda Rasulullah s.a.w: “Kebaikan itu ialah kesempurnaan akhlak. Dosa pula ialah apa yang mengganggu di hatimu dan engkau tidak suka ia diketahui oleh manusia.” (riwayat Muslim)

Akhir kalam, semoga Allah s.w.t memberikan kekuatan untuk kita bertaubat dan berubah agar hati kita juga semakin sihat dan memiliki kekuatan untuk mengawal anggota badan agar tidak lagi melanggar suruhan Allah s.w.t. Wallahua'lam.

Umar Mujahid

Sabtu/12.00 pagi

17 Julai 2010/5 Syaaban 1431 Hijrah

0 comments:

Post a Comment