“Dengan Nama Allah Tuhan Sang Pemuda..”


Pernahkah sahabat-sahabiah mendengar sebuah kisah yang tercatat di dalam Al-Quran berkenaan Ghulam dan Ashabul Ukhdud. Kisah yang pernah berlaku suatu ketika dahulu mempunyai pelbagai mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada umat manusia kala ini. Antaranya menyentuh aspek kesahihan akidah dan kekuatan taqwa kita kepada Allah s.w.t. Untuk penerangan dan kefahaman yang lebih lanjut, ingin saya berkongsi dengan sahabat sekalian tentang kisah ghulam, rahib, tukang sihir dan ashabul ukhdud. Kepada pembaca yang dirahmati Allah, selamat menghayati dan selamat membaca!

Daripada Shuhaib ar-Rumi r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Ada seorang raja pada zaman sebelum kamu yang mempunyai seorang tukang sihir. Si tukang sihir mencapai umur tua, ia berkata kepada raja. “Sesungguhnya aku telah tua dan ajalku sudah pun hampir. Carikanlah seorang pemuda supaya boleh aku ajarkan sihir kepadanya untuk membantu pemerintahan raja.”

Seorang pemuda telah terpilih untuk belajar sihir dengan orang tersebut. Dalam perjalanan menuju ke rumah tukang sihir, si pemuda melalui rumah seorang rahib alim yang sedang beribadah. Pemuda tersebut singgah dan mendengar zikirnya. Dia begitu kagum dengan kata-kata rahib tersebut. Sejak hari itu, setiap kali sebelum ke rumah tukang sihir, terlebih dulu ia ke rumah rahib untuk mendengar dan belajar darinya.

Suatu hari, pemuda ini lewat tiba ke rumah tukang sihir, menyebabkan dia dipukul. Dia mengadu kepada rahib. Sang rahib mencadangkan kepadanya: Jika engkau ditanya sebab kelewatanmu dan takut dipukul tukang sihir, katakan sahaja padanya, ‘Aku terlambat kerana urusan keluargaku.’ Dan jika kamu khuatir dengan keselamatanmu dari dihukum keluargamu, katakan, ‘Aku terlambat kerana belajar dengan tukang sihir’.

Suatu ketika ia bertembung seekor binatang besar yang menakutkan menghalangi jalan, sehingga orang ramai tidak dapat melaluinya. Maka pemuda itu berkata, “Sekarang aku akan mengetahui siapakah yang lebih benar disisi Allah, sama ada rahib itu atau ahli sihir.” Dia mengambil batu seraya berkata, “Ya Allah, jika si rahib itu benar dan engkau redhai berbanding tukang sihir maka matikanlah bintang ini dengan hentaman batu ini, semoga manusia dapat lalu dengan aman.”

Dilemparkan batu itu sekuat hatinya dan dengan izin Allah matilah bintang itu. Si pemuda menceritakan hal itu kepada rahib. Sang Rahib berkata, “Wahai anakku, kini engkau telah menjadi lebih tinggi di sisi Allah. Suatu hari nanti engkau akan diuji. Pada waktu itu janganlah engkau ceritakan tentang diriku dan keadaanku.”

Seterusnya pemuda itu diberi kemampuan oleh Allah menyembuhkan orang buta, sopk dan pelbagai penyakit. Seorang pegawai istana yang buta mendapat tahu hal pemuda tersebut yang mampu mengubati. Dengan membawa hadiah yang banyak kepadanya dia berkata, “Sembuhkan aku dan kau akan memiliki semua ini.” Pemuda itu menjawab, “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Yang menyembuhkan adalah Allah s.w.t. jika kau beriman kepada Allah, aku akan berdoa kepadaNya, Dia akan menyembuhkanmu.” Ia lalu beriman kepada Allah dan dengan izin Allah matanya telah sembuh.

Apabila ia menghadap raja, sang raja bertanya, “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Ia menjawab, “Tuhanku!” Raja bertanya lagi, “Apakah engkau mempunyai Tuhan selain aku?” Ia menjawab, “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.”

Raja menyeksanya, sehinggga akhirnya ia memberitahu hal pemuda tersebut. Pemuda itu diarahkan mengadap raja. Raja berkata, “Wahai anakku, sihirmu telah mnyembuhkan orang buta dan pelbagai penyakit.” Pemuda itu menjawab, ‘’Aku tidak mampu menyembuhkan. Yang menyembuhkan ialah Allah s.w.t.”

Raja menyeksa pemuda tersebut tanpa belas, sehingga pemuda itu terpaksa memberitahu tentang rahib. Sang rahib diarah datang, dan raja berkata, “Kembalilah kepada ajaran agamamu semula!” Sang Rahib menolak, lalu raja meminta pembantunya mengambil gergaji, lalu digergajinya kepala rahib hingga terbelah dua. Pegawai kerajaan yang dulunya buta itu juga di panggil dan raja meminta dia kembali ke agama asal dan dia juga menolak. Lalu dia dihukum dengan hukuman yang sama.

Tibalah giliran si pemuda. Raja berkata: “Kembalilah kepada agamamu semula!” Ia menolak. Raja bertitah, “Bawa dia ke gunung! Sampai di puncak gunung, kalau dia mahu kembali kepada agama kita semula, lepaskanlah tetapi jika dia enggan, lemparkanlah ke dalam jurang.”

Mereka pun berangkat. Sampai di puncak gunung, sang pemuda berdoa, “Ya Allah, jagalah diriku dari tipu daya mereka, sesuai dengan kehendakMu.”

Gunung itu tiba-tiba bergegar, sehingga para pegawai raja tergelincir dan jatuh mati semuanya. Selamatlah pemuda itu. Dia datang menemui raja. Raja bertanya, “Apa yang telah berlaku?” Dia menjawab, “Allah menjagaku dari mereka.” Raja memerintahkan pula para pengawal membawanya ke laut. “Apabila kalian berada di tengah lautan, biarkan dia jika mahu kembali kepada agama kita semula , jika tidak, lemparkanlah ia ke dalam laut.”

Sampai di tengah-tengah laut, si pemuda berdoa, “Ya Allah, jagalah aku dari mereka, sesuai dengan kehendakMu.”

Perahu itu tiba-tiba terbalik dan mereka semua tenggelam kecuali si pemuda itu selamat dan dapat kembai menghadap raja. Raja pun hairan dan bertanya, “Apa yang terjadi dengan pegawai-pegawaiku?” Pemuda menjawab, “Allah menjagaku dari tipu daya mereka.”

Si pemuda berkata, “Wahai tuanku, tuan tidak akan dapat membunuhku kecuali tuan melakukan apa yang ku perintahkan.” Raja dengan tegas berkata, “Apa perintahmu?” Si pemuda menjawab, “Kumpulkanlah semua orang di suatu kawasan luas, dan saliblah aku pada sebatang pohon. Ambillah anak panah dari sarung panahku, dan arahkan ke adaku lalu ucapkan “Bismillahi Robbil Ghulam” (dengan nama Allah Tuhan sang pemuda) dan panahlah aku. Dengan itu tuan akan dapat membunuhku.”

Maka raja mengumpulkan orang ramai, menyalib si pemuda, dan mengambil panah dan mengucapkan, “Bismillahi Robbil Ghulam” kemudian memanahnya tepat mengenai tulang rusuknya. Pemuda itu meletakkan tangannnya di bahagian yang terkena panah itu, lalu meninggallah ia.

Menyaksikan tragedi ini maka orang-orang yang melihat berkata, “Amanna Birabbil Ghulam” (Kami beriman kepada Tuhan pemuda tersebut).

Seseorang datang menghadap raja dan berkata, “Tahukah tuan, kini sesuatu yang sangat tuan takutkan itu telah tiba, semua orang telah beriman!”

Raja telah memerintahkan untuk mebuat parit-parit (ukhdud) di beberapa persimpangan jalan dan dinyalakan api di dalamnya. Sang raja bertitah, “Siapa yang menolak kembali kepada agamanya semula lemparkan mereka ke dalam parit api!”

Para suruhan raja pun melaksanakan perintah itu. Ramailah rakyat yang dilemparkan ke dalam parit itu. Hingga tiba giliran seorang wanita bersama bayi yang disusuinya. Ketika ibu tersebut teragak-agak untuk terjun ke dalam nyalaan api, tiba-tiba bayinya berkata, “Bersabarlah wahai ibuku, sesungguhnya engkau berada dalam jalan yang benar.”

(Hadis Riwayat Muslim), 3005; Ahmad, 6/16; al-Tirmizi, 3340).


Umar Mujahid

Khamis/2.00 pagi

17 Jun 2010/4 Rejab 1431 Hijrah

0 comments:

Post a Comment