Demam FIFA 2010: Gelombang Bola Kini Kembali!


Ke mana kaki mahu melangkah, ke mana tekad hendak dituju, ke mana hasrat ingin ditunai pasti kita tidak pernah terlepas daripada bahang kehangatan perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia 2010. Demikianlahlah isu demam FIFA yang acap kali menjadi bahan perbualan dan perdebatan hangat dikalangan umum terutama bagi para pelajar remaja, khususnya yang lebih aktif dalam sukan bola sepak. Demi bola, apa sahaja sanggup dilakukan dan dipenuhi asal tidak terlepas sekalipun dalam mana-mana match atau sebagainya. Hatta, ada di antara remaja yang sanggup bermalam di luar rumah semata-mata untuk melihat perlawanan bola yang dijadualkan. Apatah lagi seandainya pasukan kegemaran mereka yang sedang beraksi di pentas perlawanan.

Permainan bola merupakan suatu permainan yang menarik di samping mampu menguatkan fizikal, jasmani dan stamina diri seseorang. Permainan yang biasanya menampilkan 9 pemain dan seorang penjaga gol bagi setiap pasukan memerlukan strategi dan percaturan yang terancang diketuai oleh seorang kapten sebagai pemutus arahan. Latihan yang kerap dan berdisiplin amat ditekankan dikalangan pemain demi memastikan tahap prestasi dalam keadaan stabil dan mampu mengekalkan stamina dengan baik. Biasanya jadual latihan pemain serta perlawanan pasukan dikawal dan diselia oleh jurulatih masing-masing. Kemahiran seorang jurulatih yang cekap lebih menjurus kepada prestasi anak buah masing-masing dalam setiap perlawanan yang mereka sertai.

Tahun 2010 melakar sejarah dunia untuk kesekian kalinya di mana Afrika Selatan telah menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia Bola Sepak 2010 setelah menanti selama 4 tahun untuk musim seterusnya. Justeru, bahang kehangatannya jelas dirasai oleh sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda, di negara kita atau di peringkat antarabangsa semestinya perkara ini mencuri tumpuan seluruh penduduk dunia setelah tragedi yang menimpa bantuan kemanusiaan ke Gaza tempoh hari.

Begitu cepat peristiwa tragis itu dilupakan dengan sebuah sukan yang dikaitkan dengan tragedi berdarah yang pernah berlaku di Karbala. Di mana kepala Saidina Husin iaitu cucu kesayangan Rasulullah telah dipancung dan disepak oleh kuam kuffar laknatullah. Namun, umat Islam kini jarang sekali menghayati sejarah Islam yang lampau dan terlalu asyik dengan permainan dunia yang melekakan. Sehinggakan ada di antara mereka yang sanggup bermain sehingga senja tanpa mempedulikan azan yang berkumandang di runag angkasa. Perkara itu tidak ubah seperti mensyirikkan Allah dengan mengutamakan bola melebihi tuntutan solat apatah lagi untuk berjemaah di masjid. Fikir dan renungkanlah adakah kita tergolong dalam golongan di atas? Tepuk dada tanyalah iman!

FIFA 2010 telah membuka tirai perlawanannya Jumaat lalu(11 Jun 2010) dengan perlawanan sengit antara pasukan Afrika Selatan selaku tuan rumah menentang Mexico. Saat ini seluruh televisyen di negara kita khususnya menayangkan siaran yang sama untuk menyaksikan perlawan pembukaan tersebut. Tidak ketinggalan jua di Darul Quran di mana para pelajar berpeluang menyaksikan perlawanan tersebut melalui tv plasma setelah mendapat kelulusan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar. Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 0-0 menjadi batu aras kepada perlawanan akan datang yang sudah pastnya lebih sengit demi merebut Piala Dunia daripada Itali selaku Juara Dunia beberapa tahun yang lalu.

Kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa ini diadakan selang 4 tahun sekali di mana banyak pemain baru mula diperkenalkan untuk mewakili negara masing-masing. Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Kaka, Robinho, Messi dan Roberto Carlos merupakan antara pemain terhandal dalam kejuaraan Bola Sepak Sedunia. Nama yang sering digeruni oleh mana-mana pasukan walau terpaksa berhadapan dengan mereka di gelanggang perlawanan.

Sudah menjadi adat perlawanan sama ada menang atau kalah. Bagi pasukan yang menang, nama mereka akan terus dijulang di mata dunia sedangkan bagi mereka yang kalah tidak pernah sesekali menyerah kalah malahan berusaha untuk melahirkan pemain handal bertraf dunia serta memperbaiki mutu perlawanan dengan strategi dan percaturan yang mantap sebagai menebus kekalahan yang lalu.

Beberapa keputusan perlawanan yang telah dipertandingkan menunjukkan kebangkitan beberapa psukan yang tenggelam pada mulanya namun mula menunjukkan taring kehandalan mereka kepada pasukan pencabar. Dalam asakan perlawanan yang berlangsung anata Argentina dan Nigeria telah menyaksikan perlawanan sengit antara dua pasukan hebat dalam Piala Dunia kali ini. Setiap detik menjadi taruhan kemenangan terhadap kedua pasukan sehingglah kemenangan berpihak kepada Argentina dengan keputusan 1-0 sekaligus menunddukan Nigeria. Korea Selatan juga telah memenangi perlawanan pembukannya menentang pasukan Greece dengan 2 jaringan berbalas 0. Pertarungan sengit yang dipamerkan oleh setiap pemian ketika beraksi di pentas perlawanan jelas mencetuskan debaran pada para penonton yang setia menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

Pada 13 Jun 2010, dunia telah digemparkan dengan kemenangan besar pasukan Jerman menewaskan Australia dengan jaringan gol 4-0. Jerman yang telah mendahului jaringan pada separuh masa pertama dengan mata 2 berbalas 0 akhirnya menambah jaringan pada saat terakhir dengan kemenangan besar sebagai permulaan. Kemenangan dan kekalahan akan terus dikecapi para pasukan yang melayakkan diri bagi bertanding dalam merebut kejuaraan Piala Dunia 2010 dengan satu matlamat bagi mengharumkan nama negara masing-masing di samping memperbaiki mutu persembahan ketika perlawanan berlangsung. Bagi pemain yang bermain di posisi penyerang, pastinya bersaing bagi merebut anugerah kasut emas yang pernah disandang oleh Ronaldo dari pasukan Brazil pada Piala Dunia 2002 yang lalu. Hanya mereka yang mampu menjaringkan gol terbanyak sepanjang perlawanan layak menggondol anugerah khas tersebut.

Sukan tetap sukan, namun Al-Quran jangan dilupakan sekali-sekali. Tasmi’ dan i’adah yang biasanya menjadi rutin harian kita sebagai seorang penghafaz Al-Quran haruslah ditunaikan walau dengan cara apa sekalipun. Mengutamakan aulawiyat daripada melakukan perkara furu’ adalah satu penerapan yang seharusnya dipupuk dalam jiwa setiap insan serta dibajai dengan baja iman yang bakal menghasilkan akhlak yang indah sebagai hasil lumayan. Jangan sekali-kali mengabaikan segala suruhan dan perintah Allah dengan melakukan perkara yang lagho dan jauh dari petunjukNYA. Sebagai generasi Al-Quran yang unik, sewajarnya kita menghayati segala isi kandungan Al-Quran seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Walau berada di pagi, tengahari, petang atau malam ingatlah bahawasanya kita merupakan Al-Quran bergerak yang akan menjadi panduan dan ikutan ummah dalam segala gerak perlakuan, tata tertib dan amalan seharian. Hatta dalam bersukan sehinggalah sekecil-kecil perkara, jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman dan pendinding kita daripada terus terjebak dengan kemungkaran yang bakal menjerumuskan kita ke jurang api neraka yang maha dahsyat siksaannya. Na’uzubillah!

Umar Mujahid

Selasa/7.05 petang

15 Jun 2010/2 Rejab 1431 Hijrah

0 comments:

Post a Comment