Yusuf al-Qardhawi


Yusuf al-Qardhawi dilahirkan pada 9 September 1926 di desa Shafth Turaab, Mesir. Ayahnya meninggal dunia semasa beliau berusia dua tahun dan bapa saudaranya menjadi penjaganya selepas peninggalan ayahnya.

Pendidikan

Sebelum berusia 10 tahun, Yusuf berjaya menghafaz Quran. Beliau memperoleh pendidikan awal di Maahad Thanta dan Maahad Tsanawi. Beliau adalah lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin. Selepas menamatkan ijazah sarjana muda beliau pada tahun 1952, beliau melanjutkan pengajian di universiti yang sama. Namun, beliau terpaksa meninggalkan Qatar pada tahun 1961 akibat tekanan pemerintah pada masa itu. Beliau memperoleh ijazah doktor falsafah pada tahun 1973.
Semasa muda, beliau menjadi pengikut Imam Hassan al-Banna dan ahli gerkan Ikhwanul Muslimin. Beliau pernah dipenjara ketika berusia 23 tahun iaitu pada 1949 oleh pemerintah Mesir dan tiga kali selepas penerbitan karya beliau, Antara Ulama dan Penjahat pada tahun 1956.

Pendidik

Yusuf adalah khatib dan pendidik. Beliau diberi kepercayaan bekerja di Kementerian Hal Ehwal Agama Mesir. Beliau diberi kepercayaan memegang jawatan Dekan di Fakulti Syariah, Universiti Qatar yang beliau sendiri bangunkan. Beliau juga adalah Pengarah, Pusat Kajian Sunnah dan Sejarah di Universiti Qatar.
Beliau turut dilantik sebagai Pengerusi dan Ahli Majlis Akademik Sains Islam, Universiti al-Amir’ Abd al-Qadir, Algeria. Beliau juga dilantik menjadi Penasihat Hal Ehwal Islam kepada Kementerian Hal Ehwal Islam Algeria. Di Eropah, beliau memegang jawatan Ketua Majlis Penyelidikan dan Fatwa Eropah.

Pakar Hukum Islam

Yusuf juga banyak menulis. Penulisan serta kajian beliau banyak diterbitkan di dalam jurnal dan majalah. Beliau juga menulis lebih 40 buah buku dalam pelbagai bidang terutamanya dalam permasalahan fiqh. Antara buku beliau adalah Fatwa-fatwa Kontemporari, Fiqh Keutamaan, Fiqh Zakat, dan Halal Haram dalam Islam. Kebanyakan karya beliau diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Beliau dianggap oleh banyak pihak sebagai antara pemikir Islam kontemporari dan menjadi rujukan dalam mendapatkan fatwa masalah-masalah semasa. Beliau juga percaya kepada perbezaan pendapat dan menolak sikap taksub kepada sesuatu pendapat. Pegangan beliau ini jelas dinyatakan dalam buku Kebangkitan Islam: Antara Perbezaan yang Terpuji dan yang Tercela dan Elemen-elemen Fleksibiliti dalam Syariah Islam.
Beliau seorang yang terbuka, terutamanya dalam pendidikan. Ini terbukti apabila enam daripada tujuh anaknya memilih bidang bukan agama, iaitu sains dan teknologi. Mereka melanjutkan peajaan masing-masing di Amerika dan Eropah hingga ke peringkat doktor falsafah. Yusuf berpendapat, kemajuan umat Islam dapat dicapai apabila umatnya maju dalam pelbagai bidang ilmu.
Beliau sering hadir dalam seminar-seminar antarabangsa dalam menjelaskan pegangan Islam yang sebenar. Beliau tegas dalam mempertahankan kebenaran dan prinsip Islam. Beliau juga berani mengkritik pemerintah apabila melihat ketidakadilan berlaku. Pendirian beliau disampaikan dalam khutbah-khutbahnya hingga beliau diharamkan berkhutbah di daerah Zamalik.

0 comments:

Post a Comment