Ahmad Hussein Deedat

Pendahuluan
Tinta Secebis Harapan kali ini membawakan kepada semua pembaca blog umar mujahid mengenai sebuah lagi segmen menarik yang diterbitkan berjudul “Kenali Tokoh ”. Semoga dengan tercetusnya artikel ini yang dipetik daripada sebuah karya “50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia” karangan Ahmad Amri Zainal Adnan dan Nurasyikin Ahmad bakal menambah pengetahuan kita mengenai tokoh-tokoh Islam yang telah banyak berkorban dan mencurahkan bakti daripada pelbagai sudut semata-mata demi mengembalikan kegemilangan Islam di persada dunia. Akhir kalam, Selamat Membaca!

Tokoh Intelektual
Ahmad Hussein Deedat dilahirkan pada 1 Januari 1918 di Surat, India. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang miskin. Pada tahun 1927, beliau berhijrah ke Afrika Selatan untuk tinggal bersama ayahnya.

Hikmah di Sebalik Penghinaan
Oleh kerana dibelenggu kemiskinan, beliau tidak mampu mendapatkan pendidikan secara formal sebagaimana kanak-kanak lain seusianya. Namun, semangat untuk belajar dalam diri beliau begitu membara. Pada usia 9 tahun, beliau mula belajar Bahasa Inggeris secara formal. Apabila beliau masuk ke sekolah, beliau berjaya menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik.
Oleh kerana kekurangan wang, beliau terpaksa bekerja pada usia 16 tahun. Pada tahun 1936, semasa beliau bekerja di sebuah kedai buku yang menjual buku-buku agama, suatu peristiwa yang penting berlaku. Perisitiwa itu mengubah hidup beliau. Sekumpulan pelatih missionari Kristian menghina Deedat yang beragama Islam.
Akibat penghinaan yang dilontarkan oleh pelatih-pelatih missionari itu membuatkan Deedat bersemangat mahu menyanggah propaganda pelatih-pelatih missionari apabila mereka bertemu lagi pada masa hadapan. Dengan izin Allah, beliau menemui sebuah buku bertajuk Izharal-Haq yang menerangkan teknik-teknik yang digunakan oleh orang Islam India bagi menghadapi missionari Kristian di sana.
Buku tersebut menjadi inspirasi kepada beliau untuk berhadapan dengan missionari Kristian yang datang ke kedai tempat beliau bekerja. Daripada buku inilah beliau mempelajari teknik berdebat. Seterusnya, beliau membeli kitab Injil Kristian untuk mengkaji kelemahan-kelemahan kitab tersebut. Usaha beliau berjaya dan setiap hujah pelatih missionari Kristian yang berhadapan dengan beliau berjaya dipatahkan.
Lama kelamaan, beliau bukan sahaja berjaya berhadapan dengan pelatih Missionari, bahkan missionari dan paderi di sekitar kawasan tempat tinggal beliau turut merasa terancam dengan kebolehan berhujah Deedat. Pengetahuan Deedat berkaitan agama Kristian dan kebolehannya memetik ayat-ayat dari kitab Injil menjadikannya pendebat yang digeruni lawan.
Menyedari kebolehan yang dikurniakan Allah kepadanya dalam mematahkan dakyah-dakyah Kristian, pada tahun 1942, beliau mula bersyarah kepada kelompok manusia dalam jumlah yang kecil dan lama-kelamaan hingga jumlah hadirin yang mendengarnya berjumlah ribuan orang. Semenjak itu, beliau telah menyampaikan ribuan syarahan di seluruh dunia.
Majlis-majlis debat antara beliau dengan missionri Kristian sering mendapat sambutan luar biasa. Ribuan hadirin yang mendengar hujah beliau telah memeluk agama Islam. Antara yang memeluk Islam termasuk missionari Kristian.

Sumbangan Dalam Dakwah
Sebagai seorang sarjana dalam perbandingan agama beliau bukan sahaja menyampaikan syarahan-syarahan umum, malah beliau juga mengajar kelas yang mengkaji kandungan-kandungan kitab Injil. Selain itu, beliau juga menulis buku dalam pelbagai topik dakwah termasuk kristianisasidan konflik Arab-Israel. Sejumlah lebih 20 buah karya berjaya ditulis dan jutaan naskhah buku beliau diedarkan secara percuma. Antara buku beliau yang terkenal adalah The Choice.
Deedat dan beberapa rakannya yang lain turut menubuhkan Islamic, Propagation Centre International (IPCI) bagi tujuan dakwah. Di atas sumbangan beliau dalam penyebaran dakwah, beliau dikurniakan Anugerah King Faisal pada tahun 1986.

Menderita Lumpuh
Pada tahun Mei 1996, beliau mengalami serangan strok. Akibat daripada penyakit itu, tubuh beliau menjadi lumpuh. Selepas sembilan tahun menderita, pada Ogos 2005 beliau meninggal dunia di rumah beliau di Verulam, Afrika Selatan.

0 comments:

Post a Comment