"Hari Ini Milik Anda"


JANGAN BERSEDIH... Setelah Kesulitan Pasti Ada Kemudahan
Nukilan dibawah telah saya petik daripada sebuah karya tersohor karangan Dr. ‘Aidh ‘Abdullah Al-Qarni iaitu La Tahzan, yakni yang bermaksud Jangan Bersedih dan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kehidupan seharian kita pada hari ini. Sebuah karya yang sesuai dibaca dan dihayati oleh umum pada semua peringkat. Kekemasan susun atur bahasanya yang indah dihiasi untaian kata yang sukar diungkapkan mampu memukau sesiapa sahaja yang membacanya.

Pendapat saya, buku ini amat sesuai dibaca oleh semua pihak sama ada yang tua mahupun muda khususnya buat mereka yang sering dilanda kesedihan dan kegelisahan dalam mengenal erti hakikat kehidupan. Buku yang kelihatan ringkas namun padat ini, mampu menjadi penawar bagi hati yang gelisah, penghibur bagi jiwa yang gemuruh dan pelipur diri yang sedang menderita dalam kesedihan.

Dengan itu, tinta kali ini mengambil inisiatif untuk berkongsi secubit rasa buat semua pembaca setia blog ini mengenai salah satu petikan yang terdapat di dalam buku La Tahzan yang berjudul “Hari Ini Milik Anda”. InsyaAllah, seandainya banyak kelapangan masa, tinta seterusnya bakal membawakan kepada anda semua mengenai tajuk-tajuk terpilih yang menarik dan bermanfaat sebagai santapan rohani dalam karya karangan Dr. ‘Aidh ‘Abdullah Al-Qarni sebagai salah satu bahan bacaan ilmiah yang sesuai untuk dibincangkan bersama di samping menambah pengetahuan serta memperbaiki diri ke arah yang lebih baik pada masa yang akan datang. Semoga dengan usaha murni ini, dapat menarik ramai lagi para pembaca terutamanya dikalangan remaja masa kini untuk sama-sama mendidik diri dengan menghayati karya penulis terkenal ini sebagai salah satu “tarbiyah global” ke arah penjanaan peribadi muslim yang unggul.

“Hari Ini Milik Anda”


Apabila anda di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.

Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.

Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda, sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan , masa lalu dengan berbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi pada masa itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan seringkali menakutkan.

Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari sahaja. Dan pada hari inilah, anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat yang paling khusyu’, membaca dan memahami Al-Quran secara mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dengan semua yang Allah berikan, perhatikan terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.

Untuk hari ini, anda harus mula membahagi waktu dengan bijak. Jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu; memelihara indahnya kehidupan , meminta ampunan daripada pelbagai dosa yang telah dilakukan, mengingati Tuhan, dan mempersiapkan diri untuk pergi jauh(mengharapNya). Dengan demikian, hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram, serta menerima rezeki isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, tempat tinggal dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.

“Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.” (Al-A’raf : 144)

Hidup anda pada hari ini juga tanpa kesedihan, gangguan, kemarahan, kedengkian, dan kebencian, atau sakit hati.
Jangan lupa, hendaklah anda mengukir sebuah tulisan dalam hati anda atau di meja tempat anda bekerja: “Hari ini adalah milikmu”. Yakni; apabila hari ini anda dapat memakan nasi yang harum baunya, maka apakah anda masih berfikir tentang nasi basi yang telah anda makan kelmarin, yang akan membahayakan kesihatan anda? Mungkin anda masih berfikir tentang nasi yang anda makan esok hari, padahal nasi tersebut masih ada dalam angan-angan.

Apakah pada hari ini anda dapat minum air dingin yang menyegarkan, maka mengapa anda harus bersedih atas air masin yang anda minum kelmarin, atau menginginkan air esok yang masin dan panas?
Seandainya anda percaya akan diri sendiri dan mampu mengerjakan segala sesuatu dengan semangat dan tekad yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip, “Masa hidupku hanyalah pada hari ini.” Prinsip inilah yang akn menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda.

Dan itu, akan membuat anda berkata dalam hati: “Hanya hari ini aku berkesempatan untuk aku mengatakan yang baik-baik saja; tidak bercakap kotor dan yang menjijikkan, tidak akan pernah mencela, mengherdik dan juga membicarakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berkesempatan mengemas rumah dan pejabat agar tidak berserabut dan berselerak. Dan kerana hari ini sahaja aku akan hidup, maka aku akan memperhatikan kebersihan tubuhku, kerapian penampilanku, kebaikan tutur kata dan tindak-tandukku.”

Kerana hanya akan hidup hari ini, maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Tuhanku, mengerjakan solat sesempurna mungkin, membekali diri dengan solat-solat sunat nafilah, berpegang teguh pada Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang bermanfaat yang ada di dalamnya.

Aku hanya akan hidup hari ini, kerana itu aku akan menanam dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan yang kutanam sampai ke akar-akarnya, dan mematahkan ranting-rantingnya yang berduri; seperti sifat takabbur, ujub, riya’ dan buruk sangka.

Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan, maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapapun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantarkan jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang sedang kesulitan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang-orang alim, menyayangi anak kecil dan berbakti kepada orang tua.

Aku hanya akan hidup hari ini, maka aku akan mengucapkan: “Wahai masa lalu yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi pemergianmu, dan kamu tak akan pernah melihatku termenung sedetik pun untuk mengingatimu. Kamu telah meninggalkan kami semua pergi dan tidak akan kembali lagi.”

“Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban! Maka aku tidak akan pernah bermain dengan khayalan dan menjual diri hanya untuk sebuah dugaan. Aku pun tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, kerana esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan.”

“Hari ini milik anda”, adalah ungkapan yang paling indah dalam “kamus kebahagiaaan” kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenangkan.
Sehingga bertemu di ruangan tinta yang seterusnya.. Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment